Moga Ada Ruang Buatku

Thursday 2 January 2014

Allah BersamaMu


Allah yang beri kita rezeki, dan hanya Dia yang berkuasa mengambilnya semula.

Duit dalam genggaman kita, dalam akaun bank, dalam poket seluar mahu pun beg duit belum tentu lagi menjadi milik kita. Bila-bila saja kita mungkin kehilangannya.

Andai ditakdirkan kita mati hari ini, kita kembali kepada-Nya dengan tangan yang kosong.  Tanpa wang, tanpa harta. Semuanya milik Allah. Dan Dia berhak atas segalanya.

Allah swt berfirman :

“Dan ketahuilah bahawasanya harta dan anak itu sebagai ujian; sesungguhnya Allah pada sisi-Nya itu adalah ganjaran yang besar.” – [Surah al-Anfal : 28]

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” – [Al-Baqarah 2:155]

Bila diuji, bersabarlah.. dan senyumlah..

Smile (hehehe)

Musibah datang dalam pelbagai cara. Musibah dan ujian merupakan tarbiyah daripada Allah bagi mereka yang celik hati dan akalnya.

Bila diuji, bagaimana penerimaan kita terhadap musibah tersebut? Apakah kita menerima ujian dari-Nya dengan hati yang terbuka, berlapang dada dan kembali muhasabah diri, memperbaiki kelemahan diri dan meningkatkan lagi amalan seharian..?

Atau Bagaimana?

Jarang sekali kita bersyukur dengan ujian yang diberikan. Sedangkan mungkin juga, ujian itu merupakan salah satu peringatan kepada kita, supaya kembali dekat kepada-Nya, agar perbanyakkan amalan kepada-Nya, menadah tangan bermohon doa kepada Dia.

Moga kita dijauhi dari api neraka dan dimasukkan ke syurga.

Kerana Dia kasihkan kita. Sekali-sekala Dia ‘mengejutkan’ kita dari lena yang panjang. Menyedarkan kita dari kealpaan dan kelalaian.

Kerana semuanya milik Dia. Dia memberi kepada sesiapa yang Dia ingini sebagaimana firman-Nya;

“Sesungguhnya Rab (Tuhan)mu melapangkan rezeki kepada sesiapa yang Dia (Allah) kehendaki dan menyempitkannya; sesungguhnya Dia (Allah) terhadap hamba-hamba-Nya (Allah) adalah al-Khabir (Maha Mengerti), lagi al-Basir (Maha Melihat).” – [Surah Al-Israk:30]
Wang dan harta yang kononnya milik kita juga bila-bila masa sahaja jika Dia mahu menariknya kembali, dengan pelbagai cara ia ‘pergi’ dari kita.

Contohnya tiba-tiba kita kehilangan wang, tercicir atau diragut. Atau mungkin bagi sesiapa yang miliki kereta, tetiba sahaja kereta rosak, atau tayar pecah atau terlanggar pokok; semuanya perlukan wang dan secara tidak lansung, duit itu keluar dari poket kita.

Allah swt berfirman dalam surah Al-Ankabut, ayat ke-2;

“Adakah manusia mengira, bahawa mereka akan dibiarkan saja, dengan mengatakan: Kami telah beriman, padahal mereka belum lagi mendapat cubaan?”
Maka, bila Allah menguji kita dengan rezeki yang kita miliki. Buka mata. Muhasabahlah, periksa dan koreksi diri sendiri.



Peringatan buat diri saya sendiri adanya. Muhasabah diri sendiri. Mungkin ada sesuatu yang tidak kena, sesuatu yang bukan pada tempatnya yang telah kita lakukan dan Allah mahu ‘menegur’ kita dengan cara tersebut.

Diriwayatkan dari Anas bahwa Rasulullah bersabda;

“Apabila Allah menghendaki kebaikan pada seorang hamba-Nya maka Dia menyegerakan hukuman baginya di dunia; sedang apabila Allah menghendaki keburukan pada seorang hambaNya maka Dia menangguhkan dosanya sampai Dia penuhi balasannya nanti di hari Kiamat.” – [Hadits riwayat At-Tirmidzi dan Al-Hakim]
Mungkinkah cara kita mendapatkan rezeki itu tidak diberkati oleh-Nya?

Atau mungkin kita lupa untuk mengeluarkan sebahagian dari harta kita ke jalan Allah?

Atau mungkin juga kita menyalahgunakan pinjaman Allah (contohnya kereta) dengan melakukan perkara-perkara yang dimungkari oleh Allah swt.

Suatu peringatan dari-Nya, agar kita tidak terus leka bergelumang dengan perkara-perkara yang dibenci oleh-Nya.

Atau mungkin Allah menguji kita kerana ingin melihat sejauh mana kita menerima ketentuan-Nya. Bersabar dengan dugaan yang telah Dia berikan kepada kita.

Bukankah Allah sayang kepada orang yang bersabar dan menerima ketentuan-Nya dengan hati yang tenang dan redha?

Firman Allah swt;

“Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” – [At-Taghabun:11].
Bersabarlah wahai hati, sesungguhnya Allah bersama dengan mereka yang sabar dan beriman kepada-Nya.

Allah swt berfirman :

“Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat sekali kecuali bagi orang yang khusyuk.” – [Surah al-Baqarah:45]
“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar.” – [Al-Baqarah:153]
Wahai hati, bersabarlah. Jangan berputus asa dan teruskanlah berjuang, mohonlah pertolongan dan perlindungan daripada Allah. Dan yakinlah bahawa cukuplah Allah sebagai penolong.

Jangan bersedih.. bersabarlah..
Jangan bersedih.. bersabarlah..
Bersabarlah wahai hati. Yakinlah bahawa Allah sentiasa ada bersamamu, bila ditimpa musibah, hadapilah segalanya dengan tabah dan ucapkanlah “Innalillahiwainnailaihirajiun” yang bermaksud; sesungguhnya dari Allah kita datang, dan kepada-Nya juga kita kembali.

Muhasabah buat diri kita semua. Semoga kita tergolong dalam golongan mereka yang sabar dan khusyuk. Kadang bila ujian Allah datang kita cepat mengalah dan tewas pada pertengahan, ujian datang untuk digalas bukan dilepaskan ^^

Coretanku di tahun 2013


Alhamdulillah. Maha suciMu Ya Allah. Tahun 2013 telah melabuhkan tirainya, kini masuk hari ke-2 tahun 2014. Suka duka kenangan sepanjang dihamparan tahun 2013 aku simpan buat kenangan, banyak yang telah di lalui. Sama ada suka duka, tangis dan tawa, semua itu mematangkan aku. Inilah jalan takdir yang Allah telah anugerahkan, meskipun perih ia tetap memberikan makna yang berharga buatku..

Saat ini aku terlalu bersyukur, Allah berikan nikmat Islam dan Iman, di samping keluarga, sahabat dan jemaah tersayang. Tanpa nikmat ini mungkin aku tidak bermakna untuk bergelar insan di bumi yang nyata ini. Tahun lalu, tahun yang penuh kekecewaan, terlalu banyak kegagalan aku tempuhi. Pointer rendah, UBM gagal di bentuk, bisnes hambar, prestasi delam gerak kerja sedikit merundum dan banyak lagi. Namun itulah asam garam dunia kehidupan, qodo dan qadar Allah yang Esa. Aku suka untuk membaca Ayat-Ayat Allah ini

Surah Al-Ankabut : 2-3

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: ‘Kami telah beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi ?Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”

 Inilah intipati sumber kekuatanku dalam langkah meneruskan perjuangan hidup ini. Apapun kekecewaan semalam bukan kekecewaan untuk di bawa pada hari ini, namun ia perlu di galas untuk di bawa pada hari-hari yang mendatang. Syukran pada semua yang sentiasa berikan ruang dan peluang untuk aku tempel semula kesalahan dan kegagalanku yang lalu..

Wednesday 1 January 2014

Kisah Tentang Bintang




Dia sangat merinduiku
Ketika aku muncul menghiasi langit
Dia tersenyum merenungku
Di antara beribu bintang
Aku menjadi temannya


Dia berkata..
Ya ALLAH izinkan bintang yang satu itu menjadi temanku
Yang sentiasa menghiburkan dengan kerlipan
Yang sentiasa menerangi cahaya kegembiraan

Pada suatu ketika
Aku tidak muncul menemani malamnya
Aku berselindung di balik awan nan hitam
Sedang Allah memberi sang hujan untuk menyirami bumi

Aku melihat di celah-celah awan hitam
Dia sedih , melihat hujan dan awan hitam
Dia mencari-cari ku di semua sudut langit
Aku melihat dia sunyi…
Suram dalam sepi
Seolah-olah tidak senang dengan sang hujan

Dia berkata
Ya ALLAH munculkan bintang yang satu itu
Jika dia bersembunyi di balik awan hitam
Alihkanlah agar mudah ku memandang
Jika hujan penyebab cahaya bintang padam
Hentikan hujan agar dapat terus ku melihat sinar cahayanya

Jika aku bisa berkata-kata
Aku ingin berkata kepadanya
Wahai temanku
Aku juga merindumu
Tapi malam ini bukan milik ku
Allah yang mengaturnya

Kadang kala…
Allah tidak memberikan bintang menemani mu
Tapi Dia mengantikan dengan yang lain
Lebih baik dari bintang iaitu hujan
Yang bisa memberikan kesejukan di jiwamu
Juga Membasahi kemarahan dan egoanya mu,
Cubalah menjadi temannya.

Jika suatu saat aku tidak muncul lagi…
Jangan pernah engkau menyalahkan takdir ini
Percayalah semuanya sudah di atur oleh Ilahi
Segala apa yang diberikan pada mu ALLAH Lebih mengetahui.
Dan itu jualah yang terbaik buat diri