Bismillahirrahmanirrahim.....
Tercoret tinta ini memadahkan rahsia qalbu. Hati...tidak
siapa tahu. Tidak siapa mengerti, disimpan juga tidak membawa makna. Kepada
yang Haq ia berbicara. Melagukan bicara yang terkadang sumbang lakunya. Bicara
pada manusia juga tidak mengurang resah.
HIDUP ini adalah suatu perjalanan. Penuh erti, penuh ranjau,
penuh duri... Namun bukan sakit tertusuk duri itu yang penting tetapi nikmatnya
apabila duri itu tercabut dari daging. Bagaimana ia dikeluarkan juga betapa
ianya penting. Sakit, meraung... tetapi jangan berhenti mengeluarkannya. Kelak
menjadi bisa yang tidak terawat. Dan setelah itu bersyukurlah dengan segala
kehendakNya. Sakit tertusuk duri itu mungkin sahaja penyucian kifarah yang
dilakukan. Mungkin juga mehnah dari Yang Esa untuk mendidik hati bertabah serta
mensyukuri setiap kejadian tanpa keluhan.
UJIAN... Jika ujian
di bangku sekolah dapat jua dihafal formula-formula untuk melaluinya. Namun
yang bernama ujian hidup adalah yang datang tanpa salam, tanpa diundang.
Datangnya dengan kehendak Ilahi yang mahukan manusia memaknakan kehidupan
dengan menggunakan akal berbataskan keimanan. Demikianlah didikan Allah.
Memanusiakan seorang manusia!
CINTA... Manusia dihidupkan atas cinta. Cinta itu meluas.
Cinta kepada Allah, kepada Rasul, kepada ibu bapa, kepada suami, kepada isteri,
kepada sahabat. Malangnya cinta yang pernah dijumpai telah disempitkan dan
tersepit oleh kurangnya faqih akan hakikat cinta. Cinta itu setia, jujur, kasih
sayang, rindu, doa kebahagiaan. Benihlah cinta yang meniti atas dasar iman.
Akan redhalah Allah pada cinta itu. Namun sayang seribu kali sayang, cinta itu
tercalar keluhurannya. Terselit pengkhianatan, ketidakjujuran... dan akhirnya
perpisahan... Yang meninggalkan mencari pengganti. Segala janji terlupus begitu
sahaja. Ingatlah bahawa roda kehidupan ini sentiasa berputar. Hari ini kita
mengkhianati. Esok mungkin kita dikhianati. Hari ini kita mencipta luka di hati
yang lain, mungkin esok hati kita pula yang terluka.
SABAR... Bukan mudah untuk memahami erti sabar apatah lagi untuk
melakukannya. Saat derita menjengah rasa, seakan kita sahajalah yang derita.
Kita sahajalah yang terluka. Duka itu milik kita. Sedih itu juga milik kita,
sehingga kita terlupa untuk mensyukuri nikmat Allah yg lainnya. Nikmat Allah
yang begitu melimpah ruah jarang disyukuri tetapi bila didatangkan ujian,
melaralah sekeping hati. Itu sahaja yang diingat-ingatkan. Demikianlah resam
insani.
REDHA... Tidak diuji hambaNya dengan ujian yang tidak mampu
ditanggung. Rebah, jatuh dan terduduk, semuanya mengajar kita untuk bangkit
kembali. Sedang walangnya hati tertanya bagaimana untuk bangun?? Ya... hanya
kekuatan sahaja yang mampu menarik... Maka yang bangun itu bukanlah diri yang
lemah. Yang bangun itu adalah jiwa yang kuat. Redha itu adalah menerima dengan lapang
dada biarpun tangisan menitis tanpa hentinya namun bertahanlah. Tangisan itu
tidak apa-apa malahan menunjukkan kita hanyalah hambaNya yang lemah. Serahkan
segala urusan pada Dia.
SYUKUR... Alhamdulillah segala pujian hanya selayaknya untuk
Allah. Hari semalam yang berlalu, biarkanlah. hari ini yang dilalui,
nikmatilah. Hari esok bakal tiba, bersedialah. Allah sentiasa memberi yang
terbaik untuk hambaNya, maka kita sebagai hambaNya berkejaran lah mencari yang
terbaik itu dengan segala usaha dan bermacam cara yang diredhaiNya.
"Fastabiqul khairat" pesanNya. Jika berlari itu kemudiannya jatuh
maka bangkitlah kembali. Tidak mengapa jika tidak ada tangan yang menghulur
bantuan kerana ada 'tangan' yang lebih membahagiakan. Letaklah kebergantungan
kepada Allah SWT. Semoga hidup sentiasa diberkati dan dibimbing untuk mencari
wangian Jannah.
Semoga beroleh kebahagian dalam mencari warna cinta Ilahi.
No comments:
Post a Comment