Moga Ada Ruang Buatku

Friday 22 March 2013

Aku Ingin Jadi Yang Terbaik



"Kehidupan dunia ini (jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan, dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, sekiranya mereka mengetahui." (Surah al-Ankabut , ayat 64)

Melihat kepada fenomena hari ini, terdapat pelbagai ragam manusia. Ada kehidupan mereka yang tidak berubah-ubah sedari kecil, remaja, dewasa, tua dan sehinggalah ajal datang menjemput. Tetapi ada juga yang berubah mengikut peredaran usia dan waktu serta keinginan hati mereka dalam mencari kebenaran dan arah tuju hidup.


KEINGINAN UNTUK BERUBAH

Sememangnya sudah fitrah manusia untuk kembali kepada kebenaran meskipun mereka adalah dari golongan seburuk-buruk dan sejahat-jahat manusia. Mungkin sukar untuk percaya, seorang yang digelar 'setan' itu jauh di sudut hatinya ingin menjadi seorang yang baik.

Keinginan untuk menjadi baik dan akhirnya menemui laluan ke arah kebaikan itulah sebenarnya yang dinamakan hidayah. Dengan kehendak Allah, hati yang telah ditutupi dan diselaputi dengan dosa dan noda, akan ada sedikit lubang kecil yang hanya dimuati laluan cahaya hidayah Allah untuk ditembusi terus ke dalam hati-hati manusia yang terpilih.

Sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nur ayat 35 yang bermaksud,

"Allah (memberi) nur (cahaya) langit dan bumi. Umpama cahaya-Nya seperti sebuah lubang di dinding rumah, di dalamnya ada pelita. Pelita itu di dalam gelas. Gelas itu seperti bintang yang berkilauan. Pelita itu dinyalakan dengan minyak pohon yang diberkati iaitu minyak zaitun yang (tumbuh) bukan di timur dan bukan di barat, minyak itu hampir bercahaya dengan sendirinya meskipun tiada disentuh api. Cahaya berdampingan dengan cahaya. Allah menunjuki sesiapa yang dikehendaki-Nya kepada cahaya-Nya itu. Allah menunjukkan beberapa contoh untuk manusia. Allah mengetahui setiap sesuatu."


BERSYUKUR

Tatkala kita merasakan kumpulan dosa terlalu banyak, janganlah kita berputus asa dari rahmat-Nya dan merasakan diri tiada tempat di sisi Allah untuk kembali ke pangkal jalan. Sebaliknya bersyukurlah, dengan terdetiknya sedikit penyesalan itu sebenarnya adalah satu bentuk hidayah Allah yang lahir tanpa kita sedari kecuali bagi mereka yang berfikir akan nikmat yang Allah berikan. Kerana dosa yang kita sedari itulah yang mendekatkan diri dengan Allah dan seterusnya melahirkan rasa kehambaan dalam diri dan mengakui kelemahan sebagai seorang manusia yang perlu bergantung kepada Sang Pencipta.


Berbanding dengan mereka yang berasa diri tidak pernah berbuat dosa dan sentiasa betul dalam kelakuan dan tindakan, ia cukup bahaya kerana tidak sedar diri mereka sudah berada jauh dari Allah. Mereka ini adalah golongan yang sombong dan tidak mengharapkan pertolongan Allah tetapi lebih kepada mengikut kata hati dan berbuat apa sahaja yang mendatang kebaikan dan keseronokan pada diri.

Apa yang terjadi hari ini, kita seringkali menolak seruan-seruan untuk kembali kepada Islam. Pelbagai alasan yang diberikan kerana merasakan diri masih muda dan belum tiba masanya untuk berubah. Alasan yang paling suka diberikan ialah 'belum sampai seru!' alasan tersebut langsung tidak munasabah. Mana mungkin kita mengharapkan sesuatu yang bernilai itu diberi secara percuma tanpa perlu berusaha untuk mendapatkannya!

Seringkali apabila kita diberikan ujian dan didatangkan suatu insiden barulah ia berjaya membuka hati kita untuk berubah. Insiden tersebutlah yang akhirnya mengetuk pintu hati kita untuk bertaubat dan kembali kepada jalan Allah. Kita dikira bernasib baik jika nyawa masih dikandung badan tetapi apa akan terjadi jika kita sudah tidak diberi peluang untuk bernafas dan menebus segala dosa-dosa lalu?

HIDAYAH NALURI

Hidayah datang dalam pelbagai bentuk. Bentuk yang pertama ialah hidayah naluri (keinginan). Hidayah ini adalah sesuatu yang semula jadi ada pada diri kita sejak dilahirkan ke dunia sebagai contoh, bayi yang baru dilahirkan akan menangis apabila lapar. Nalurinya inginkan makanan bagi menghilangkan rasa lapar. Yang kedua ialah hidayah melalui pancaindera. Semasa kecil, kita dapat mengenali dan membezakan sesuatu perkara dengan menggunakan pancaindera seperti mendengar suara ibu dan ayah atau dapat mengenali sesuatu objek. Kemudiannya hidayah dalam bentuk akal fikiran yang mana ia dikurniakan oleh Allah supaya dapat memandu kita berfikir secara rasional sebelum bertindak.

HIDAYAH AGAMA

Seterusnya ialah hidayah agama. Hidayah inilah yang menyelamatkan diri kita daripada kesesatan dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam dan beriman kepada Allah SWT. Ia dapat mendorong kita melakukan kebaikan dan meninggalkan larangan Allah sekali gus dapat membezakan antara perkara-perkara baik dengan perkara haram.





HIDAYAH TAUFIK

Yang terakhir ialah hidayah taufik yang mana merupakan tahap hidayah yang tertinggi kurniaan Allah kepada hambanya yang dikasihi. Tinggal sekarang, hidayah itu harus dijaga kerana nilainya tiada tara dan tidak dapat ditukar dengan apa pun. Ia menjaga kehidupan kita di dunia mahupun di akhirat kelak.

Hidayah pula diturunkan dalam dua cara iaitu hidayah pemberian makhluk sama ada dari kalangan para nabi, pendakwah ataupun sesiapa sahaja. Contohnya hidayah yang diturunkan melalui Nabi Muhammad agar membimbing umatnya beriman kepada Allah. Namun, hidayah taufik ini tidak mampu diberikan oleh makhluk tetapi hanya Allah yang berkuasa. Ia tiada pada Nabi Muhammad walaupun baginda adalah seorang Rasul sebagaimana firman Allah dalam surah al-Qashash ayat 56 yang bermaksud,

"Sesungguhnya engkau (ya Muhammad) tidak dapat memberi hidayah/petunjuk kepada orang yang engkau cintai, akan tetapi Allah lah yang memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki."

Adapun ciri-ciri orang yang sudah mendapat hidayah, mereka hebat beribadat seperti melakukan solat fardu dan sunat, mengeluarkan zakat dan rukun Islam yang lain, sentiasa memperuntukkan waktu untuk bertasbih dan bertahmid kepada Allah SWT selain mengerjakan keperluannya di dunia. Mereka ini tidak mampu melupakan Allah walau sesaat kerana begitu takut akan pembalasan di hari akhirat nanti. Mereka juga terlalu berhati-hati dalam setiap perlakuan agar tidak ditarik balik hidayah pemberian Allah.

Biarpun hidayah itu adalah pemberian Allah tetapi tidak bermakna kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu ia datang kepada kita. Hidayah perlu dicari dan boleh diusahakan jika kita benar-benar inginkannya dengan memohon kepada Allah. InsyaAllah, kita pasti akan diberikan hidayah.

Monday 11 March 2013

Ya ALLAH Engkau Pemilik Hatiku



Aku lukiskan dalam diam
Bahawa hatiku butuh sebuah penghargaan
Yang dijaga dan menjaga
Mata dan hati bernama hamba

Istikharahku kian jelas berbicara
Bahawa inilah keharusan
Mencari yang lebih kekal dan hampir
Sedekat-dekat telingaku
Takkan pernah jatuhkan aku
Takkan pernah lemaskan aku
Bahkan memeluk diriku penuh rindu

Melepaskan bisikan yang berharap
Biar sunyi selamanya sunyi
Hati ku takkan dimiliki
Kerna jiwaku yang mengingini
Melepaskan bisikan yang berderap
Suci tanpa hubung
Sirna bersama cinta Agung

Allahurabbi
Allahurabbul Izzati
Pemilik hatiku
Istikharahku menetapkan segala
Bahawa kanku lepaskan segala
Lalu tawakkal penyambung cerita

Menitislah air mata
Kujatuhkan penuh bahagia
Kuusap penuh rela
Pada cintaku terpelihara
Hadirnya dengan izin Maha Kuasa

Saturday 9 March 2013

Aku Dah Penat Berdoa!



Siapa yang tidak pernah rasa sedih? Siapa yang tidak pernah kecewa? Rasulullah S.A.W sendiri pernah rasa kecewa dan pernah berada dalam keadaan yang sangat sedih. Setiap orang pernah diuji dengan pelbagai dugaan berbentuk perasaan. Sedih, resah, adakalanya gembira dan ketawa dan pastinya tidak mampu terlepas dari perasaan kecewa juga.

Kecewa?

Satu perasaan di mana hadirnya mungkin kerana sesuatu yang diinginkan tidak dapat dimiliki seperti yang dibayangkan. Mungkin juga kecewa kerana kehendak hati tidak dapat dipenuhi.
Pernahkah anda mengalami situasi seperti ini?

"Aku sudah penat berdoa, tetapi Allah tidak pernah memakbulkan doa dan permintaanku. Aku sudah penat!"

Putus asa?

Ya, jelas sekali rasa putus asa yang terzahir dari situasi di atas. Kadang-kadang sepertinya kita menyalahkan takdir pula. Sedangkan Allah mengatur segalanya sesuai dengan keperluan dan kebaikan hamba-Nya. Kerana hanya Pencipta tahu apa yang diperlukan dan terbaik untuk ciptaan-Nya. Kadang-kadang apa yang kita mahukan tidak semestinya baik untuk kita, dan banyak pula perkara yang tidak kita senangi itu sebenarnya adalah baik untuk kita.

Sebagaimana penegasan Allah dalam kitab-Nya yang mulia al-Quran:

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui." (Surah al-Baqarah:ayat 216)

Persoalannya, wajarkah kita untuk kecewa? Kecewa itu fitrah perasaan. Tetapi bagaimana pula kiranya kalau kekecewaan itu menyebabkan kita berani menuding jari menyalahkan takdir ketentuan Allah?

Mungkin ramai di antara kita frust bila setiap yang diimpikan tidak menjadi kenyataan. Lalu, kita kecewa dan sedih. Kita berdoa tetapi tidak kesemuanya ditunaikan. Kecewakah? Nanti dulu, sahabat. Tanyalah pada diri. Bukankah setiap yang kita miliki saat ini tidak semuanya kita minta daripada Allah.

Tapi Allah dengan murah hati memberi sebelum kita minta. Allah tetap mengurniakan tanpa kita mengajukan kemahuan tersebut kepada-Nya.

Pernahkah kita minta pada Allah untuk dikurniakan oksigen agar kita dapat kita bernafas? Adakah kita setiap hari meminta izin daripada Allah untuk menggunakan kaki, tangan dan lain-lain anggota? Adakah kita pernah minta supaya Allah meminjamkan mata untuk melihat dan mulut untuk bercakap pada setiap hari? Besar kemungkinan jawapannya tidak, bukan?

Jadi mengapalah berkira andai baru sekali kita dibiarkan merasa kecewa. Bukankah ujian itu tanda sayangnya Allah pada hamba-Nya? Sebelum kecewa, nanti dulu. Berhentilah dan cubalah untuk berfikir kembali. Kenanglah segala nikmat yang Allah berikan sehingga tidak mampu kita kira apatah lagi untuk menyukatnya. Jangan hanya kerana kecewa, anda sudah terfikir untuk melakukan perkara yang bukan-bukan atau membunuh diri!

Jadi, tapislah kekecewaan kita supaya jangan kita melampaui batas dalam melayan rasa itu. Kekecewaan yang bermanfaat ialah kekecewaan yang membawa diri dan hati kita lebih dekat dan menyayangi Allah. Kekecewaan yang membahagiakan ialah di saat kebahagiaan itu berjaya mengukuhkan keyakinan hati kita dalam mengimani qada' dan qadar Allah.

Janganlah bersedih dan kecewa kerana di sebaliknya tersimpan kebahagiaan yang Allah hadiahkan sebagai hikmah-Nya.

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling Tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman." (Surah Ali Imran: ayat 139)

Wallahu'alam.