Moga Ada Ruang Buatku

Sunday 23 December 2012

Takdir Itu KetentuanNya



Setiap orang mengimpikan sebuah perjalanan ke alam baitulmuslim yang sangat indah. Kita sentiasa merancang, tetapi pengakhirannya tetap bergantung kepada satu perkara iaitu takdir Allah SWT kerana sesungguhnya perancangan Allah itu mengatasi perancangan manusia itu sendiri.

Sebaik mana pun perancangan seseorang, namun perancangan Allah jualah yang lebih baik dan terbaik pada setiap keadaan dan waktu. Apa yang pasti, setiap perancangan dan ketentuanNya itu pastilah yang terindah walaupun di mata kasar seorang manusia, seribu manikam menikam sukmanya.

Dalam meniti usia senja, perancangan demi perancangan di bina dan di susun serapinya. Pada usia muda, pelajaran menjadi keutamaan. Namun dalam masa yang sama, tuntutan fitrah untuk membina hubungan halal turut meraih tempat dalam perancangan kita. Kita mula mengatur langkah dengan mencari bagi si teruna dan menanti bagi si puteri. Ada  yang menanti dalam diam, dan ada juga yang sama-sama menongkah zaman. Menjadi 'berani' ke hadapan namun tetap berada di dalam jagaan 'malu' dan 'rapinya' seorang wanita. Lantas, orang tengah menjadi pengantara.

Di saat kita mengatur langkah, merancang untuk menuju ke fasa yang penuh cabaran dan mehnah, adakah impian untuk membina baitulmuslim akan mempunyai pengakhiran yang indah belaka? Adakah niat kita untuk berbaitulmuslim benar-benar tepat dengan matlamat asalnya iaitu menikah di jalan dakwah?

Takdir yang bakal tiba segalanya berada digenggamanNya. Kita hanya mampu bertanya namun, jawapannya akan terjawab tatkala kita sudah pun berada di'dalamnya' - alam berumahtangga.

Terdapat beberapa kisah benar wanita solehah yang ingin ana kongsikan bersama-sama untuk dijadikan sebagai satu motivasi supaya akhowat tetap teguh sebagai seorang Da'ie di jalanNya. InsyaAllah.

Kisah 1
Kagum sungguh dengan ukhti yang seorang ini. Sebelum ukhti ini berubah, dia pernah bercouple dengan seorang akhi. Dahulu kedua-duanya masih lagi di jalan kejahilan. Dan selepas Allah memberikan hidayah kepada ukhti ini terlebih dahulu dia terus-terusan bermujahadah di jalan Allah.

Bertahun-tahun lamanya ukhti ini bermujahadah. Manakala akhi ini pula terus-terusan cuba untuk menganggu ukhti tersebut dan ingin mendapatkn kepastian mengapa dia ditinggalkan begitu sahaja. Dan akhirnya akhi ini pun mengalah dan dia pula diberikan hidayah oleh Allah. Masing-masing mula menyepi dan mantap di jalan dakwah.


Selepas bertahun-tahun menyepi akhi ini mula mencari ukhti tersebut di facebook. Dan selepas ukhti ini melakukan istikharah, yakin dengan ketentuan yang diberikan olehNya, ukhti tersebut terus memulakan langkah perkenalan untuk ke langkah seterusnya. Alhamdulillah, baru-baru ini saya menerima walimatulurus daripada mereka berdua. Bersyukur ke hadarat Illahi kerana usaha mereka mujahadah bertahun-tahun lamanya akhirnya berbaloi juga. Allahuakbar. 

Kisah 2
Seorang muslimah, alhamdulillah jodohnya ditetapkan awal oleh Allah. Menikah dengan seorang ikhwah. Yang kelihatan mantap di jalan dakwah. Gerak dakwah berterusan selepas perkahwinan sepertimana sebelum menikah. Namun kini kedua-duanya berhenti daripada terus bersama. Silapnya di mana? Wallahua'lam. Allah lebih tahu apa yang terjadi di tengah perjalanan perjuangan.

Kisah 3
Sudah beberapa tahun menunggu kedatangan seorang ikhwah. Namun belum datang bertandang. Dalam penantian, beberapa lamaran menjelma. Walaupun usia makin bertambah, namun setiap risikan dan lamaran ditolak dengan sebab lelaki tersebut bukan ikhwah yang didamba peribadinya.

Sehingga sampai ke satu masa, akhirnya tibalah saat-saat yang dinanti. Datanglah permintaan berbaitulmuslim dari seorang ikhwah, yang sangat mantap dalam gerak dakwahnya. Dan akhirnya istiqamah sehingga kini.

Saat ditanya, kenapa akak sanggup tunggu? Dia cuma tersenyum sambil berkata,

"kerana akak yakin akan janji Tuhan. Dan akak akan tetap tunggu 'ikhwah' sampai bila-bila. Dan dalam baitul muslim, bukan bergantung kepada siapa yang kita suka, tetapi kita perlu bersedia menerima sesiapa sahaja, asalkan dia tetap berpegang kepada fikrah yang sama. Itu prinsip akak."




Kisah 4
Tetap juga menunggu beberapa tahun sehingga lewat 20-an. Akhirnya datang lamaran daripada seorang lelaki, yang bukan mantap agamanya. Dan keduanya bertunang. Beberapa bulan selepas pertunangan, datanglah beberapa risikan daripada ikhwah melalui ibu usrahnya.

Namun takdir mendahului, sudah menjadi tunangan orang, yang bukan seorang ikhwah. Dan kini, alhamdulillah ukhti itu tetap bergerak, dan mendapat sokongan zaujnya walaupun bukanlah seorang pendokong. Namun tetap seorang penyokong yang baik.

Demikianlah takdir susunan Allah pasti adalah yang terbaik. Yang tinggal adalah apa yang kita betul-betul inginkan. Adakah hanya sebuah rumahtangga untuk menghalalkan hubungan? Atau sebuah perkahwinan supaya tidak bersendirian? Atau sebuah baitulmuslim untuk sama-sama berjuang di jalan dakwah?

Kesimpulannya, dalam merancang niat juga usah dilupakan. Niat awali lah ia hanya semata-mata kerana Allah. InsyaAllah, pastinya sebuah perancangan yang diniatkan keranaNya akan mendapat rahmat dan berkat dariNya. Jika seandainya perancangan kita itu tidak terjadi, pasti hati kita mudah merasa redha dan tenang menerimanya. InsyaAllah~

Wallahua'lam.

Sunday 25 November 2012

Walau Sehebat Mana Kita



Seseorang yang terukir senyuman manis di wajahnya di hadapanmu
Sesungguhnya saat ia bersendirian hatinya terukir dengan kedukaan dan kesedihan

Seseorang yang hilai tawanya menceriakan dan menghiburkan di hadapanmu
Sesungguhnya saat ia bersendirian ia menangis keseorangan memuntahkan segala penderitaan yang menyiksakan

Seseorang yang lidahnya petah berbicara meriuhkan keadaan di hadapanmu
Sesungguhnya saat ia bersendirian lidahnya sepi membisu membungkam kesepian

Seseorang yang sentiasa memberi kata-kata semangat di hadapanmu
Sesungguhnya saat ia bersendirian dia juga mencari punca menyuntik semangat dan keyakinan

Seseorang yang kelihatan begitu gigih dan sabar di hadapanmu
Sesungguhnya saat ia bersendirian ia acap kali terjelepok jatuh tersembam ke bumi dalam mengumpul kekuatan 

Seseorang yang meringankan tangan membelanjakan wang sakunya di hadapanmu
Sesungguhnya saat ia bersendirian dia akan mengikat perut  menyimpan perbelanjaan diri untuk kehidupan

Seseorang yang begitu rasional dalam berdepan sebarang keadaan  di hadapanmu
Sesungguhnya saat  ia bersendirian adakalanya emosi mengatasinya di dalam membuat sebarang keputusan

Seseorang yang memberikan segala kudrat tenaga untuk memudahkan urusan harianmu
Sesungguhnya saat ia bersendirian sering kali jasadnya mengeluh dan mengadu kesakitan

Demikianlah kita
Walau sehebat mana di hadapan manusia
Saat kita bersendirian
Kita juga perlukan sokongan
Saat kita memberi harapan
Hakikatnya kita juga inginkan dorongan
Saat kita keseorangan
Kita juga inginkan kekuatan
Kerana kita hanyalah manusia biasa
Punya kekurangan dan kelemahan

Walau sehebat mana kita
Kita perlukan Tuhan!

Friday 23 November 2012

Tinta Indah Penguat Jiwa



Bismillahirrahmanirrahim.....
Tercoret tinta ini memadahkan rahsia qalbu. Hati...tidak siapa tahu. Tidak siapa mengerti, disimpan juga tidak membawa makna. Kepada yang Haq ia berbicara. Melagukan bicara yang terkadang sumbang lakunya. Bicara pada manusia juga tidak mengurang resah.

HIDUP ini adalah suatu perjalanan. Penuh erti, penuh ranjau, penuh duri... Namun bukan sakit tertusuk duri itu yang penting tetapi nikmatnya apabila duri itu tercabut dari daging. Bagaimana ia dikeluarkan juga betapa ianya penting. Sakit, meraung... tetapi jangan berhenti mengeluarkannya. Kelak menjadi bisa yang tidak terawat. Dan setelah itu bersyukurlah dengan segala kehendakNya. Sakit tertusuk duri itu mungkin sahaja penyucian kifarah yang dilakukan. Mungkin juga mehnah dari Yang Esa untuk mendidik hati bertabah serta mensyukuri setiap kejadian tanpa keluhan.

UJIAN...  Jika ujian di bangku sekolah dapat jua dihafal formula-formula untuk melaluinya. Namun yang bernama ujian hidup adalah yang datang tanpa salam, tanpa diundang. Datangnya dengan kehendak Ilahi yang mahukan manusia memaknakan kehidupan dengan menggunakan akal berbataskan keimanan. Demikianlah didikan Allah. Memanusiakan seorang manusia!

CINTA... Manusia dihidupkan atas cinta. Cinta itu meluas. Cinta kepada Allah, kepada Rasul, kepada ibu bapa, kepada suami, kepada isteri, kepada sahabat. Malangnya cinta yang pernah dijumpai telah disempitkan dan tersepit oleh kurangnya faqih akan hakikat cinta. Cinta itu setia, jujur, kasih sayang, rindu, doa kebahagiaan. Benihlah cinta yang meniti atas dasar iman. Akan redhalah Allah pada cinta itu. Namun sayang seribu kali sayang, cinta itu tercalar keluhurannya. Terselit pengkhianatan, ketidakjujuran... dan akhirnya perpisahan... Yang meninggalkan mencari pengganti. Segala janji terlupus begitu sahaja. Ingatlah bahawa roda kehidupan ini sentiasa berputar. Hari ini kita mengkhianati. Esok mungkin kita dikhianati. Hari ini kita mencipta luka di hati yang lain, mungkin esok hati kita pula yang terluka.

SABAR... Bukan mudah untuk memahami erti sabar apatah lagi untuk melakukannya. Saat derita menjengah rasa, seakan kita sahajalah yang derita. Kita sahajalah yang terluka. Duka itu milik kita. Sedih itu juga milik kita, sehingga kita terlupa untuk mensyukuri nikmat Allah yg lainnya. Nikmat Allah yang begitu melimpah ruah jarang disyukuri tetapi bila didatangkan ujian, melaralah sekeping hati. Itu sahaja yang diingat-ingatkan. Demikianlah resam insani.


REDHA... Tidak diuji hambaNya dengan ujian yang tidak mampu ditanggung. Rebah, jatuh dan terduduk, semuanya mengajar kita untuk bangkit kembali. Sedang walangnya hati tertanya bagaimana untuk bangun?? Ya... hanya kekuatan sahaja yang mampu menarik... Maka yang bangun itu bukanlah diri yang lemah. Yang bangun itu adalah jiwa yang kuat. Redha itu adalah menerima dengan lapang dada biarpun tangisan menitis tanpa hentinya namun bertahanlah. Tangisan itu tidak apa-apa malahan menunjukkan kita hanyalah hambaNya yang lemah. Serahkan segala urusan pada Dia.

SYUKUR... Alhamdulillah segala pujian hanya selayaknya untuk Allah. Hari semalam yang berlalu, biarkanlah. hari ini yang dilalui, nikmatilah. Hari esok bakal tiba, bersedialah. Allah sentiasa memberi yang terbaik untuk hambaNya, maka kita sebagai hambaNya berkejaran lah mencari yang terbaik itu dengan segala usaha dan bermacam cara yang diredhaiNya. "Fastabiqul khairat" pesanNya. Jika berlari itu kemudiannya jatuh maka bangkitlah kembali. Tidak mengapa jika tidak ada tangan yang menghulur bantuan kerana ada 'tangan' yang lebih membahagiakan. Letaklah kebergantungan kepada Allah SWT. Semoga hidup sentiasa diberkati dan dibimbing untuk mencari wangian Jannah.

Semoga beroleh kebahagian dalam mencari warna cinta Ilahi.

Tolong Jagakan Dia Ya Allah



Hubungan antara dua jiwa
Yang berlainan jantina
Perlu ada batasnya
Perlu ada jaraknya
Perlu ada hadnya
Perlu ada pengawasnya
Melainkan sudah disatukan dalam ikatan yang teramat mulia
Dalam lafaz sakinah
Yakni dengan akad nikah.

Jika akad belum mengikat diri
Bentengilah hati
Kawallah hati
Pandulah pergaulan
Kekalkanlah jarak
Minimumkanlah urusan
Tegaskanlah peribadi

Kuatkan hati dan lisan untuk berkata 'TIDAK'
Pada perkara yang sia-sia
Pada perkara yang remeh-temeh
Pada perkara yang boleh melalaikan hati
Pada perkara yang boleh menggugah iman.

Namun, bagaimana jika sudah terlanjur mesra?
Bagaimana jika sudah terlanjur bergerak mengenali?
Bagaimana jka sudah terlanjur biasa bergurau senda?
Bagaimana jika sudah terlalu kerap berhubungan atas urusan yang tidak penting?

Usah khuatir!
Usah bimbang!
Usah risau!

Ingatlah, Allah itu Maha Pengampun
Lagi Maha Luas Pengampunannya
Serta Maha pengasih
Lagi Maha penyayang

Maka
Ayuh, mari kita mulakan dari awal!
Ayuh kita kawal hati
Ayuh kita dalami hakikat dikurniakan hati oleh Sang Pencipta
Ayuh kita dekati para solehin
Ayuh kita dampingi bacaan-bacaan motivasi penguat diri
Ayuh kita lazimi Al-Qur'an dan hayati terjemahannya
Ayuh kita dekati Sang Khaliq!

Agar langkah yang baru ini terasa lebih kuat
Agar dapat istiqomah melakukannya
Agar kelak mardhotillah dapat dicapai.

*****
Ya Allah,
Diri ini melutut, memohon dengan penuh kerendahan hati, ampuni dan terimalah taubat ini, permudahkanlah jalannya, kuat dan tegarkanlah hati serta tekad ini.
Aku berserah pada-Mu ya Allah, sesungguhnya telah kusedari semua ini dulu ya Allah, namun ternyata kekuatanku belum cukup untuk bertindak, maka kini setelah aku makin sedar dan punya sedikit kekuatan, tidak ingin lagi aku tangguhkan ya Allah, tidak sanggup lagi aku lewat-lewatkan.

Ya Allah,
Bantulah aku untuk melangkah, seandainya dia benar milikku yang telah Engkau tetapkan di Luh Mahfuz, seandainya juga dia baik untuk agamaku, kehidupanku, dan kesudahan urusanku samada cepat atau lambat, takdirkanlah dia untukku, permudahkanlah serta berkatilah dia untukku, tolong jagakan dia ya Allah..
Namun, jika sebaliknya ya Allah.. Engkau redhailah hatiku, Engkau jauhkanlah aku daripadanya dan jauhkanlah dia daripadaku, Engkau buangkanlah jua segala rasa yang mungkin timbul ini ya Allah.
Aamiin ya Rabb..

Cipta Alasan Tinggalkan Tarbiyah




Untuk mendapatkan nikmat tarbiyah bukan mudah. Begitu juga untuk sentiasa istiqomah dalam tarbiyah. "Pelbagai persoalan minda perlu dijawab. Tanyakan diri bersedia ke arah kebaikan atau katakan pada diri tunggu dulu.

"Saya masih muda. Usia remaja perlu dipenuhi dengan keseronokkan."

"Puaskan dulu dengan hiburan dan pergaulan. Bila dah puas, saya berubahlah."

Itu antara ayat lazim yang menjadi hujah para remaja bila diajak beramar makruf nahi mungkar. Mengatakan dirinya masih muda. Masih terlalu awal untuk menjadi baik. Ada juga yang mengatakan nanti lepas berkahwin saya akan berubah.

Tapi, persoalannya sampai bila memberi hujah sedemikian. Adakah kita yakin lepas ini, esok dan lusa kita masih hidup? Adakah kita tahu bila kita akan mati? Bukankah kematian itu paling hampir dengan diri kita dan semua makhluk yang bernyawa di muka bumi ini?

 Allah SWT berhak ke atas diri kita. Maka, Dia berhak berbuat apa saja ke atas diri kita tanpa berunding dan memberitahu kita. Ini termaksudlah hal kematian.

Kematian kita! Ya.. Kematian kita bila-bila saja menjemput.

Allah SWT akan menguji kita. Hidup dan mati kita itu adalah ujian daripada Allah SWT. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Quran yang bermaksud;

"Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun,"
(Surah al-Mulk ayat 2)

Ujian tersebut hanyalah untuk menguji sejauh mana keimanan kita kepada Allah SWT. Adakah kita ini benar-benar beriman atau seorang yang pendusta.

Benarlah kata Allah SWT yang bermaksud;

"Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."
(Surah al-Ankabut ayat 2-3)

Keimanan kita bukan sekadar kata-kata. Namun, perlukan pembuktian melalui ujian-ujian Allah SWT. Di situ, kita akan dilihat sejauhmana cara kita memaknai ujian-ujian yang diberikan oleh Allah SWT. Namun realitinya sekarang, kita selalu mengatakan kita berhak ke atas diri kita. Namun, kita tidak sedar bahawa kita hanya perancang kehidupan. Merancang apa saja yang kita mahukan sedangkan yang merealisasikan semua rancangan kita adalah Allah SWT.


Kita lupa bahawa Allah SWT berhak ke atas diri kita. Sebab itu, kita yakin berani mengatur kehidupan kita. kita semakin tidak memerlukan Allah SWT. Kita tidak takutkan Allah SWT. Kita tidak menghiraukan siksa-Nya dan kemurkaan-Nya.

Dengan itu, kita seolah-olah tidak memerlukan tarbiyah islamiyah.

Meninggalkan Tarbiyah

Meninggalkan tarbiyah itu sangat mudah. Pelbagai alasan mampu direka dan digunapakai oleh kita untuk menjadi hujah meninggalkan tarbiyah diterima oleh yang mendengarnya. Kita bukan ustazlah/ustazahlah, bukan pula kita orang yang layak menyampaikan islam. Ramai lagi ahli-ahli agama di luar sana lagi layak. Diri saya tidak sucilah. Ahli maksiatlah. Susah nak berikhlaslah. Aku tidak bersedialah dan macam-macam lagi alasan yang direka-reka.

Kita merasakan tarbiyah islamiyah ini hanya sekadar membuang masa. Membazirkan usia remaja. Usia remaja perlu dimanfaatkan untuk keseronokan. Usia remaja hanya sekali. Maka itu, puaskan diri dengan hiburan hanya semata-mata terasa ingin bebas.

Apabila persepsi ini telah hinggap dan sebati dengan jiwa kita... maka, tidak hairanlah tarbiyah islamiyah kita selama ini akan terkorban dengan hidangan dunia yang penuh dengan tipu daya. Akhirnya, tarbiyah islamiyah tidak lagi mempunyai makna dalam kehidupan kita.

Pelik bukan!!

Untuk meninggalkan tarbiyah, ada saja alasan direka dan dicipta. Kemudian digunapakai sebagai senjata atau hujah untuk meninggalkan tarbiyah. Namun, kita tidak pula mampu mencipta usaha dan cara untuk mendapatkan tarbiyah dan terus istiqomah dalam tarbiyah?

Kalau adapun sangat sedikit untuk berbuat sedemikian. Itulah realiti masyarakat islam sekarang. Untuk mendapatkan kebaikan susah dibuatnya. Namun, untuk mendapatkan kemungkaran sanggup berkorban apa saja untuknya.

Astaghfirullah!

Jangan sampai penyakit ini menyelinap masuk ke dalam titik kelemahan kita.

Nauzubillah!

Oleh itu, Ayuh! muhasabah diri kita.

Tarbiyah Islamiyah

Tarbiyah islamiyah bertujuan untuk mengajak kita mengingati Allah SWT. Memahami dan mengamalkan syariatnya. Bukan itu saja, dalam tarbiyah juga kita akan digerakkan dan menyampaikan nilai-nilai islam kepada orang lain. Mengajak orang lain menyertai halaqah/usrah untuk mendapatkan tarbiyah secara berterusan. Bukankah mengajak orang lain itu kepada Allah SWT adalah sebaik-baik perkataan.

Sebagaimana firman Allah SWT bermaksud;

"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?"
(Surah Fussilat ayat 33)

Perlu diingatkan!

Beramar makruf nahi mungkar perlu dilakukan secara sepenuh masa (full time) bukannya separuh masa (part time). Dugaan dan cubaan itu perkara biasa dalam meniti jalan dakwah. Maka itu, kita kena sentiasa bersedia menempuh sebarang dugaan dan cubaan. Jika kita gagal, ini yang menyebabkan kita memilih untuk mengikuti tarbiyah dan mengamalkan islam secara part time.

Seterusnya, cipta alasan meninggalkan tarbiyah.

Tidakkah kita merasa rugi!

Kita juga, terasa berat dan terbeban dengan gerak kerja dakwah. Berputus asa dan mula beralasan. Akhirnya, kita mengatakan 'saya tidak layak lagi berbuat untuk islam. Saya tidak layak lagi bersama kalian'. Ana minta maaf akhi/anti.

Itulah pengakhirannya.

Kita tidak mahu itu!


Kita perlu sedari tarbiyah islamiyah perlu berterusan sehinggalah kita menemui ajal. Bukannya program pengajian dan pekerjaan secara part time. Tarbiyah islamiyah adalah modul, program pengajian dan pekerjaan yang perlu dilakukan secara full time. Ini kerana, kematian itu dirahsiakan oleh Allah SWT. Kita tidak tahu bila kita akan mati.

Justeru, kita perlu sentiasa bersedia dan mengamalkan dan memperjuangkan islam setiap masa. Pendek kata mengambil islam secara full time bukan part time. Supaya pengakhiran hidup kita nanti sedang khusyuk beribadah kepada Allah SWT. InsyaAllah.

Islam Full Time

Adakah kita tahu penghuni syurga semuanya orang-orang beriman yang mengamalkan syariat islam 100% ?  Setiap masa mereka memperjuangkan agama Allah SWT kerana mereka yakin "Dengan kita membantu agama Allah SWT, Dia akan membantu kita juga"

Allah SWT berfirman yang bermaksud;

"Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu."
(Surah Muhammad ayat 7)

Yakinilah kita adalah umat terbaik untuk manusia dan sekalian alam. Maka, jangan sia-siakan gelaran ini. Jadilah orang-orang yang memperjuangkan agama Allah SWT. Menjadi genarasi rabbani iaitu generasi yang mempelajari al-kitab dan mengajarkannya.

FirmanNya lagi

"Akan tetapi (dia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, karena kamu selalu mengajarkan Al Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya.
(Surah ali-Imran ayat 79)

Dengan itu, Allah SWT memberikan dan menghadiahkan kita syurga.

Ingin masuk syurga?

Pastinya syurga itu menjadi idaman. Maka, apa yang perlu kalian lakukan? Meninggalkan tarbiyah atau sentiasa istiqamah berada di dalamnya?

Ayuh, jangan berlengah lagi! Mari kita aturkan langkah mengambil tarbiyah islamiyah sepenuhnya. Semoga kita tergolong bersama-sama mereka yang 
menyambung rantaian dakwah itu. InsyaAllah~






Wednesday 21 November 2012

DeritaNya..



Bismillah

Aku seorang anak palestin
Bermain dan menunggu kematian
Ibuku selalu menangis..
Dia senantiasa memakai pakaian hitam..
dek Karena dia menghadapi kegelapan setiap hari
Musuh musuh mengintai,
Mereka menembaki rumah dengan bom dan ayahku menjadi syahid...
Kini mereka menindas kami..

Aku seorang anak palestine yatim piatu
Aku tidak bisa bangun karena aku telah kehilangan satu kakiku
Aku menangis dan menjerit...

Apa kejahatanku ?
Dimana kalian ?
Innamal mu'minuuna ikhwah ?
Sudahkah kalian melepaskan kami dari tangan yahudi laknatullah ?


Thursday 8 November 2012

Seni Dalam Berbicara



Lumrahnya sebagai manusia, akan merasa cepat bosan dengan hanya mendengar sahaja. Apatah lagi, kata-kata yang didengari kurang diminati daln terlalu panjang berjela. Justeru, beberapa tips di dalam berbicara ataupun di dalam komunikasi seharian agar menjadikan komunikasi itu berkesan.

Mudah dan Ringkas

Salah satu petua yang amat penting dalam membentangkan idea atau ucapan kita kepada audiens ialah kemahiran untuk menjadikan ucapan kita ringkas dan mudah untuk difahami.
Penerangan yang terlalu panjang akan membuatkan otak audiens kita bosan. Otak juga akan letih akibat daripada usaha otak mereka untuk cuba memahami ucapan kita. Bukankah kita tidak mahu audiens bosan dengan ucapan kita ?

Selalunya ucapan yang ringkas lebih bermutu daripada ucapan yang berderet-deret. Sebagai contoh, Ucapan Abraham Lincoln yang menaikkan semangat tenteranya di dalam Peperangan  Gettysburg hanya mengambil masa 2 minit sahaja.

Saya percaya ucapan Rasullullah s.a.w juga tidak terlalu panjang. Lihat sahaja hadis-hadis baginda yang padat dan ringkas untuk kita fahami.

Berikut beberapa perkara yang kita boleh lakukan bagi memudahkan ucapan atau pembentangan kita :


1. Fokus Topik Utama

Selalunya, orang yang baru menceburi bidang pengucapan awam akan cuba membuatkan hadirin kagum dengan ucapan mereka. Namun dalam usaha untuk kagumkan hadirin. Mereka terpesong jauh daripada fokus utama topik utama mereka. Mudahkan ucapan dan ringkaskannya dengan fokus pada topik utama.
Sediakan 3 poin utama bagi setiap topik utama yang kita mahu perkatakan. Sebagai contoh, Apabila saya membincangkan potensi otak kanan dengan pelajar saya. Saya akan petik 3 poin utama fungsi otak kanan iaitu imaginasi, emosi dan muzik.

Maksudnya, Topik utama saya "Fungsi Otak Kanan". 3 poin utama pula Imaginasi.... Emosi.... Muzik...  Selepas habis huraikan 3 poin utama. Saya akan ke Topik Utama lain pula. Dengan cara ini audiens lebih mudah memahami apa yang kita mahu sampaikan dan otak mereka tidak rasa terlalu berat untuk memproses maklumat-maklumat yang kita sampaikan.

2. Buang Isi Kosong

Mulakan ucapan dengan terus ke input yang mahu diperkatakan. Perkara yang perlu diketahui oleh hadirin kita. Kata-kata aluan yang berjela-jela tidak perlu.
Saya sentiasa memulakan program saya dengan puji-pujian kepada ALLAH s.w.t, selawat ke atas Rasullullah s.a.w dan terus kepada skrip yang mahu disampaikan.
Biasanya saya akan ucapkan terima kasih kepada pihak penganjur di tengah-tengah program atau di akhir program. Cara ini lebih efektif dan nampak natural daripada kata-kata aluan di awal program yang terkadang nampak seperti hipokrit atau seperti sebuah sketsa.



3. Ulangi Perkara Penting

Sewaktu memberi ucapan, ulangi perkara penting sekiranya ia perlu diulangi. Perkara penting yang sering di ulang akan melekat di ingatan audiens kita.
Sebagai contoh, saya sering ulangi perkara penting di dalam program Team Building saya seperti ini :  "Jangan jadikan masalah sebagai masalah tetapi jadikannya sebagai satu cabaran."



Hasilnya pelajar akan ingat apa yang saya cuba tekankan.Buktinya ialah dengan maklumbalas pelajar yang saya dapat di akhir program:

"Kem ini sangat best. Dapat memberi kita semangat untuk belajar dan menyesuaikan diri dengan orang ramai. Merapatkan ukhwah silaturrahim antara pelajar dan penceramah (Abg Syed). Dapat tahu untuk duduk di tempat selesa kita harus tempuhi banyak dugaan dan cabaran. Dan jangan jadikan masalah sebagai masalah. Tapi lihat sebagai CABARAN." – Nur Fatin Hidayah Bt. Hamzah, Semester 3 , Diploma in Banking & Finance.

"Satu program yang sangat memberansangkan dan dapat membentuk satu nilai positif dalam diri saya. "Jangan jadikan masalah sebagai masalah tapi jadikan sebagai satu cabaran." kata-kata yang saya cukup kagum dan mempunyai sejuta nilai yang telah menjadikan saya untuk lebih yakin dan berani. :– Alyaa Syahira Bt. Abd Rahaman, Diploma in Islamic Banking & Finance, Semester 3.

Justeru, sebelum kita memulakan bicara, perlunya kepada 'seni'. Dengan adanya seni di dalam komunikasi, maka orang yang mendengar atau menjadi audiens kita akan tertarik dan mudah memahami setiap butir bicara kita.

Komunikasi yang baik dan teratur akan memberikan kesan yang positif antaranyamessange yang ingin disampaikan oleh penceramah akan dapat difahami oleh pendengar seterusnya dapat mencapai objektif program yang dirancang. InsyaAllah.
Semoga perkongsian ini bermanfaat buat anda semua.


Friday 26 October 2012

Cerita Ibu Buatmu




Suatu ketika, seorang anak bertanya kepada ibunya, “Ibu, mengapa ibu menangis?”
Ibunya menjawab, “Sebab ibu adalah perempuan, nak.” “Saya tak mengerti ibu,” kata si anak.
Ibunya hanya tersenyum dan memeluknya erat. “Nak, kau memang tak akan mengerti…” 

Kemudian si anak bertanya kepada ayahnya. “Ayah, mengapa ibu menangis?” “Ibumu menangis tanpa sebab yang jelas,” sang ayah menjawab. “Semua perempuan memang sering menangis tanpa alasan.” 


Si anak membesar menjadi remaja, dan dia tetap terus bertanya-tanya, mengapa perempuan menangis? Hingga pada suatu malam, ia bermimpi dan bertanya kepada Tuhan,


 “Ya Allah, mengapa perempuan mudah menangis?” Dalam mimpinya ia merasa seolah mendengar jawapannya: 

“Saat Ku ciptakan wanita, Aku membuatnya menjadi sangat utama. Kuciptakan bahunya, agar mampu menahan seluruh beban dunia dan isinya, walaupun juga bahu itu harus cukup nyaman dan lembut untuk menahan kepala bayi yang sedang tertidur.

 “Ku berikan wanita kekuatan untuk dapat melahirkan bayi dari rahimnya, walau kerap berulangkali menerima cerca dari si bayi itu apabila ia telah membesar. 

 “Kuberikan keperkasaan yang akan membuatnya tetap bertahan, pantang menyerah saat semua orang sudah putus asa. “Ku berikan kesabaran jiwa untuk merawat keluarganya walau dia sendiri letih, walau sakit, walau penat, tanpa berkeluh kesah. 

 “Kuberikan wanita perasaan peka dan kasih sayang untuk mencintai semua anaknya dalam kondisi dan situasi apapun. Walau acapkali anak-anaknya itu melukai perasaan dan hatinya. Perasaan ini pula yang akan memberikan kehangatan pada anak-anak yang mengantuk menahan lelap. Sentuhan inilah yang akan memberikan kenyamanan saat didekap dengan lembut olehnya.

 “Kuberikan wanita kekuatan untuk membimbing suaminya melalui masa-masa sulit dan menjadi pelindung baginya. Sebab bukannya tulang rusuk yang melindungi setiap hati dan jantung agar tak terkoyak.

 “Kuberikan kepadanya kebijaksanaan dan kemampuan untuk memberikan pengertian dan menyedarkan bahwa suami yang baik adalah yang tak pernah melukai isterinya. Walau seringkali pula kebijaksanaan itu akan menguji setiap kesetiaan yang diberikan kepada suami agar tetap berdiri sejajar, saling melengkapi dan saling menyayangi.  

“Dan akhirnya, Kuberikan ia air mata, agar dapat mencurahkan perasaannya. Inilah yang khusus kepada wanita, agar dapat ia gunakan bila masa pun ia inginkan. Ini bukan kelemahan bagi wanita, kerana sebenarnya air mata ini adalah


“air mata kehidupan.”

Thursday 18 October 2012

Tangisan Hamba


Air mata ibarat butiran mutiara yang sangat cantik. Namun kecantikan itu hanya terjelma dari sebuah kesedihan dan keluluhan hati. Kesedihan membuahkan kecantikan. Sungguh ianya dapat mendamaikan sekeping hati yang rawan.

Air mata ibarat embun yang menitis, sungguh menyegarkan. Namun kesegaran itu hanya bisa terjelma setelah melalui malam panjang yang dingin dan gelita. Sungguh ironi, ianya dapat menenangkan hati yang terluka.
Air mata ibarat hujan yang merenyai, sungguh menyejukkan. Namun kesejukkan itu hanya mampu terjelma setelah mendung yang menduga. Sungguh kerana  ianya mampu melegakan gelojak jiwa.
Namun, disebalik semua kesimpulan ini, apakah nilai sebenar sebuah tangisan?

Percayakah jika ku katakan hati itu adalah sangat keras? Lebih keras dari batu. Sedangkan batu bila dihempap air betubi-tubi lama-lama akan terbelah jua ianya. Demikianlah ku rasakan hatiku juga sungguh keras.
Kali terakhir air mata membelai pipi kira-kira 8-9 tahun yang lalu. Melihat orang menangis tidak meninggalkan sebarang kesan dihati. Mungkin sebak, namun tiada istilah tangisan dalam hidup. Mendengar ayat Al-Quran dibacakan ibarat tiada kesan. Bukan telinga yang dipekakkan, tetapi hati yang ditulikan. Tuli dari merasakan getarnya amaran Allah dalam Al-Quran, tuli dari merasakan cinta pada Rabb dan Rasul.


Mungkin hati itu tidak pernah merasa apa itu cinta sebenar kerana ia telah tertutup untuk merasakan cinta pada Allah dan Rasul. Mendengarkan penderitaan Rasulullah dan Sahabat langsung tidak meninggalkan parut di hati.

"Allah telah mengunci hati dan pendengaran mereka, penglihatan mereka telah tertutup, dan mereka akan mendapar azab yang amat berat"
(Surah al-Baqarah ayat 7)
Maka, apa lagi gunanya hatiku ini. Tidak mampu lagi merasa Kasih dan Sayang Allah padaku. Hati menjadi keras kerana noda-noda hitam telah membalutinya. 'Cirrhosis' jika mengikut istilah perubatan. Hati yang telah keras dan buruk sehingga menjejaskan anggota tubuh badan yang lain. Selayaknya menjalani pembedahan menggantikannya dengan hati yang baru. Teringat Firman Allah;

"Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambahkan penyakit itu, dan mereka mendapat azab yang pedih kerana mereka berdusta"
(Surah al-Baqarah ayat 10)
Namun, di satu ketika, Allah menimpakan musibah untuk diriku.. air mata lah yang menjadi suri peneman hidupku. Tatkala mencari ruang untuk mencari kekuatan, air Mata juga lah yang menjadi penawar tiap kedukaan yang menyapaku. Entah mengapa, air mata ini sering tumpah saat merasakan kesengsaraan hati yang tidak terperi. Ku cuba selongkar tiap hikmah yang tersirat di dalam ujian yang dihantarkan kepadaku.




Ibarat terpenjara dalam satu sangkar emosi yang dikurung rapat. Hati hanya mampu menangis. Tatkala berjalan sendirian, air mata mahu berjurai, namun digagahi jua agar tidak menangis di tengah jalan saat orang ramai di sepanjang jalanan. Saat berkurung dibilik, air mata berjurai laju. Saat ke kelas, air mata ditahankan sepenuh hati agar tidak bisa ternampak oleh rakan-rakan.

Allah itu Maha Mengetahui. Hati yang keras dan kalis tangisan, kini lebur. Begitu berat ujian yang diberikan Allah sehingga hati yang keras telah cair dibasahi tangisan. Menangisi kehidupan yang kian suram, menangisi cinta yang lahir dari syaitan, menangisi masa depan yang tak mampu difaham, menangisi hari-hari yang berlalu sebegitu sahaja, menangisi kegembiran yang berlalu di depan mata, tapi tidak mampu merasainya.

Tangisan itu hanya semata-mata untuk dunia. Menangisi dunia yang kian lepas dari genggaman. Terleka dan terlupa, bahawa Allah menginginkan dunia itu untuk pergi, pergi meninggalkan. Satu hari, aku meluahkan apa yg terbuku dihati pada seorang sahabat.

Lalu dia bertanya padaku, "Untuk apakah dan siapakah tangisanmu sedangkan seharusnya tangisan mu di hadapan Allah?"
Aku menjawab pertanyaan tersebut dengan sebuah pertanyaan " Untuk siapa kau rasa?" dan berlalu pergi tanpa menunggu sebuah jawapan. Kemudian, aku kembali tertanya, untuk apa dan siapa tangisan ku ini?
Aku kembali teringat akan satu peristiwa dipagi hari, saat tidur di kamar sahabat tersebut, terjaga di sepertiga malam, terdengar sendu tangisnya di dalam tahajjud, cintanya bersujud menghadap Ilahi. Hati turut menjadi sayu mendengar sendunya, tetapi tertanya mengapa dia menangis? Aku bertanya padanya selepas itu " Mengapakah kau menangis?". Jawabnya, " Kerana aku merasa sungguh kerdil di hadapan Allah, maka aku menangis".





Mendengarkan jawapan tersebut aku terpana. Aku tertanya, jika tangisnya untuk Allah, maka untuk siapakah tangisku? Baru kusedar, tangisan ku hanya untuk dunia, maka ia tiada nilai. Pernah ku terbaca sebuah hadith Nabi dalam sebuah buku karangan Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Rasulullah S.A.W menyatakan bahawa diakhirat kelak, antara golongan manusia yang mendapat perhatian Allah SWT ialah mereka yang menangis kerana Allah Taala. Allah SWT berseru, " Dimanakah hamba-hamba-Ku yang menangis?" Lalu Allah SWT memerintahkan para Malaikat-Nya supaya membawa hamba-hamba-Nya yang menangis di siang hari lebih lebih lagi di malam hari kerana mengenangkan dosa-dosa mereka.

Sebanyak mana air mata yang mengalir kerana takutkan kemurkaan Allah, maka ia akan ditimbang bersama-sama dengan darah para syuhada yang tumpah kerana memperjuangkan dan mempertahankan agama Allah. 

Air mata itu juga akan ditimbang bersama-sama dengan dakwat ulama yang telah menulis berbagai-bagai kitab yang memperjelaskan hukum-hakam dan syariat Allah SWT supaya difahami dan diamalkan oleh manusia.

Betapa besar nilai sebuah tangisan yang belum kita faham. Jauh dari kefahaman itulah, air mata itu tumpah hanya sia-sia.
Kini baru kufahami hikmah disebalik ujian yang sangat berat yang telah kuhadapi. Allah ingin melembutkan hati yang telah keras. Hati yang perlu dibasahi dengan tangisan menghadap-Nya. Namun, Allah tidak membiarkanku lemas dalam lautan air mata dunia. Di datangkan seorang sahabat setia untuk mengingati yang terlupa walau selaut dosa kuhampar padanya. Bahawa sesungguhnya, tangisan itu hanya selayaknya untuk Allah sahaja. Sungguh Allah Maha Bijaksana dan Maha Mengasihani. Memberi ujian untuk hamba-Nya dalam segunung hikmah yang sukar difahami.

Maka, tanyalah kembali diri kita, kemana telah tumpahnya air mata kita?Adakah dihadapan Allah kerana takutkan dosa yang menggunung sedangkan amal tidak bertambah? Atau didepan dunia yang hanya sementara. Kiralah berapa banyak tumpahnya air mata untuk kekasih hati bila putus cinta? Kiralah betapa banyak air mata tumpah kerana kehilangan harta disayangi. 

Kiralah berapa banyak air mata tumpah mengenangkan ahli keluarga tersayang yang telah pergi. Kiralah berapa banyak air mata yang tumpah kerana perkara yang sia-sia. Kiralah air mata itu, walau selautan jumlahnya, namun tangisan itu tiada bermakna. Tidak bernilai disisi Allah Taala, kerana ia bukan tumpah kerana cinta dan kasih hanya kepada-Nya.

Di akhirat kelak, Allah akan mengurniakan sebuah bendera yang berwarna warni kepada golongan air mata yang tumpah hanya pada-Nya. Meraka akan berada dibawah panji-panji itu yang diserahkan kepada Nabi Nuh sebagai ketuanya.
Nabi Nuh As dipilih mengetuai golongan air mata kerana pengalaman hidupnya yang dipenuhi pelbagai kepahitan, kesengsaraan, ancaman dan tentangan. Tatkala Rasulullah SAW bersedih kerana perjuangan baginda yang sukar, Allah mewahyukan perihal Nabi Nuh, yang jauh lebih getir perjuangannya untuk memotivasikan Baginda dan para sahabat.

Dicelah-celah kegersangan hati dan sukma, basahkan lah ia dengan tangisan sebagai sebenar-benar hamba.. Alirkanlah ia dan persembahkanlah hanya kepada Allah semata. Sudah terlalu banyak air mata yang tumpah sia-sia kerana dunia. Kini biar la ia tumpah di medan perjuangan ini, bukan kerana sedih atau berputus asa, tetapi kerana mendamba kasih dan Rahmat Ilahi dan cinta baginda, Muhammad SAW.

Sungguh besar nilai sebuah tangisan untuk Ilahi itu, umpama besarnya seperti darah syuhada' dan dakwat para ilmuan. Tangisan yang lahir dari hati yang mendambakan Allah bukan mudah untuk datang. Maka, ku syukuri setiap ujian yang menduga kerana dengan ujian itulah hati yang keras menjadi lembut. Hanya dengan ujianlah membawa hati lebih ingat kepada tuhanku dan hanya dengan ujian hati ini sentiasa tenang dalam rahmatNya.

"Ya Allah anugerahkanlah aku sebuah tangisan yang lahir atas cintaku hanya pada-Mu, sungguh aku rindu pada tangisan menghadap-Mu"

Wednesday 17 October 2012

Aku dikeheningan

 Alhamdulillah saat ini Allah masih bagi kekuatan serta kesempatan dalam meneruskan hari-hari di muka bumi Allah ini. Segala puji bagi Allah Tuhan yang menguasai semesta alam yang dalam genggamannya. Hebat aturan Allah ini kadang kala buat aku rasa dekat padaNya walaupun kadang kala terfikir kenapa aku di uji dengan ujian sebegini rupa, namun di sebalik ujian ini tersingkap sebuah hadiah terindah dariNya.

 Ya Allah kenapa hati ini terlalu mudah jatuh, mudah terpaut, mudah tertarik dan segalanya mudah. Aku kadang kala terasa perih untuk menahan rasa ini, namun aku tahu inilah ujian Allah berikan padaku buat aku terus mengingatiNya saat susah dan senang. Aku boleh katakan yang saat ini aku pendam rasa ini, aku bagaikan tak layak untuk milikinya dengan kelebihan dirinya yang jauh lebih baik dari aku yang banyak kekurangan ini, Ya Allah bantulah aku dalam bersabar menanti dia pilihan hatiku.




Dalam masalah hati melanda duniaku, aku juga diuji dengan ujian kehidupan harian yang berliku, Ya Allah tak layak aku mengeluh dalam aturanmu ini, bari sikit Allah uji aku dah tak mampu hadapi.. Allah..

Tafsir Al-Quran: Surah Al-Ankabut, Ayat 2 & 3

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.

Sabarlah wahai diri, andai ini ketentuan ilahi tabahkan hatimu untuk menempuhi..

Monday 15 October 2012

Langkah Menuju Ilahi




Dalam pekatnya malam
Terlalu banyak titik noda yang menggelapkan hati
Dihujani dan diterjah pelbagai persoalan
Sering kali menghantui
Masihkah punya ruang untukku bertemuMu.

Banyaknya memikirkan bagaimana dan kenapa
Tak kan pernah menemukanku jalannya
Hanya dengan satu bicara
Aku harus memulakannya
Tanpa ragu dan jemu
Tanpa bertangguh dan tunggu.

Seringkali rasa jauh itu menerpa
Terasa meronta-ronta sebuah jiwa
Minta dilepaskan pergi rasa itu
dicampakkan ke satu daerah
yang tak kan pernah bisa ia bangkit kembali.

Namun....
Rasa hanya tinggal rasa
Selagi mana belum tercipta  pembuktian
Tanda kasih dan cinta kepadaNya

Ya Allah
Sungguh hinanya diri ini
Seringkali langkah ini berpaling dariMu
Membiarkan debu dosa bertamu
Disegenap ruang nadi
Kini, ku sedar
KekuasaanMu melebihi segala.

Ya Allah
Tatkala bersamaMu saban malam
Terasa begitu indah nikmatMu
Damai terasa disegenap ruang
meneroka seluruh jiwa dan jasad.

Ya Allah
Lapang dan indahnya saat sujudku
Hanya padaMu ku mencurah segala
Kepahitan dan kesakitan
Kian tidak terasa
Pergi menjauh saat dahi mencecah sejadah

Ya Allah
Istiqamahkanlah diriku
Moga aku tidak datang kepadaMu
Dalam keadaan Engkau tidak redha
Moga saat hembus nafasku
Terukir senyuman indah
Menghiasi seri wajah

Ya Allah
Seringkali aku meminta
Pada setiap akhir sujudku
Moga kasih dan cintaMu
Hadir setiap saat dan waktu
Mendamaikan hati yang lesu
Menguatkan diri yang kaku
Menghadirkan cinta padaku
Mengelola seluruh hidupku.

Sunday 14 October 2012

Siapa kita??


 

Siapakah orang yang sombong?
Orang yang sombong adalah orang yang di beri penghidupan tapi tidak mahu sujud pada yang menjadikan kehidupan itu iaitu Allah Rabbul Alaamin, Tuhan sekelian alam. Maka bertasbihlah segala apa yang ada   di bumi dan langit pada TuhanNya kecuali jin danmanusia yang sombong diri.
 
Siapakah orang yang telah mati hatinya?
Orang yang telah mati hatinya adalah orang yang diberi petunjuk melalui ayat-ayat Qur'an, Hadith dan cerita2 kebaikan namun merasa tidak ada apa2 kesan di dalam jiwa untuk bertaubat.
 
Siapakah orang dunggu kepala otaknya?
Orang yang dunggu kepala otaknya adalah orang yang tidak mahu lakukan ibadat tapi menyangka bahawa Tuhan tidak akan menyiksanya dengan kelalaiannya itu dan sering merasa tenang dengan kemaksiatannya.
 
Siapakah orang yang kuat?
Orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan kemarahannya ketika ia di dalam kemarahan.
 
Siapakah orang yang lemah?
Orang yang lemah adalah orang yang melihat akan kemaksiatan di depan matanya tidak sedikit pun ada kebencian di dalam hatinya akan kemungkaran itu.
 
Siapakah orang yang bakhil?
Orang yang bakhil lagi kedekut adalah orang yang berat lidahnya untuk membaca selawat keatas junjungan Rasulullah s.a.w.
 
Siapakah orang yang buta?
Orang yang buta adalah orang yang tidak mahu membaca dan meneliti akan kebesaran Al Qur'an dan tidak mahu mengambil pelajaran daripadanya.
 
Siapakah orang yang tuli?
Orang yang tuli adalah orang yang di beri nasihat dan pengajaran yang baik namun tidak diendahkannya.
 
Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s.
 
Siapakah orang yang manis senyumanya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang di timpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.
 
Siapakah orang yang menangis airmata mutiara?
Orang yang menangis airmata mutiara adalah orang-orang yang sedang bersendiri lalu mengingat akan kebesaran Tuhan dan menyesal akan dosa-dosanya lalu mengalir airmatanya.
 
Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak loba akan kenikmatan dunia yang sementara ini.
 
Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.
 
Siapakah orang yang pandai?
Orang yang pandai adalah orang yang bersiap siap untuk hari kematiannya kerana dunia ini berusia pendek sedangakhirat kekal abadi
 
Siapakah orang yang bodoh?
Orang yang bodoh adalah orang yang beriya-iya berusaha sekuat tenaga untuk dunianya sedangkan akhiratnya diabaikan.
 
Siapakah orang yang maju dalam hidupnya?
Orang yang maju dalam hidupnya adalah orang-orang yang senantiasa mempertingkat ilmu agamanya.
 
Siapakah orang-orang yang mundur hidupnya?
Orang yang mundur dalam hidupnya adalah orang yang tidak memperdulikan akan halal dan haramnya akan sesuatu perkara itu.
 
Siapakah orang yang gila itu?
Orang yang gila itu adalah orang yang tidak sembahyang kerana hanya dua syarat saja yang memperbolehkan akan seorang itu meninggalkan sembahyang, pertama sekiranya ia haid dan kedua ketika ia tidak siuman akalnya.
 
Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikkan.
 
Siapakah orang yang selalu ditipu?
Orang yang selalu di tipu adalah orang muda yang menyangka bahawa kematian itu berlaku hanya pada orang tua.
 
Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.
 
Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaska saujana mata memandang.
 
Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.
 
Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka.
 

Saturday 22 September 2012

Pemilik Hati Suci





Melihat hujan turun dengan berdendangkan lagu
Hati kita turut berbunga
Menari dengan tarian tanpa arah
Cuba untuk mencapai pelangi
Hingga terlupa bila hujan ini berakhir

Lagu ini akan terhenti 
Namun hati kita masih bergelora
Kerana bisikan hati yang kita mulakan
Tidak terbatas sehingga kita mati

Jangan berikan hatimu itu padaku
Penjarakan ia dengan pagar rindu
Biarkan ia kosong agar kembali sunyi
Untuk berfikir tentang tujuan dan destinasi

Apabila cahaya iman itu bersemi
Ia akan sedar baik dan buruknya
Dan tahu bahawa aku adalah fitnah semata

Berikan iman pada hatimu
Lalu berikan hatimu itu padaku
Apabila sampai tempoh waktunya
Akan kumuliakan dengan lafaz sakinah

Jangan kau serahkan hatimu 
Sebelum sampai waktunya
Kelak kita tidak akan temui jalan pulang
Seperti bayang dalam air
Bila dicapai ia kan hilang
Kerana aku tidak sempurna
Dan kelemahan aku adalah wanita

Bersabarlah dengan kesabaran Maryam
Jangan terpedaya dengan muslihat dunia
Sekalipun ia menjanjikan seribu bahagia
Sampai masanya ia akan musnah
Hanya meninggalkan titik hitam di dalam hati

Biar berpisah dari bersalah
Biar mati dari mengingkari
Kerana Indahnya Syurga Firdausi
Hanya untuk pemilik hati yang suci

Buat Hati-hati Yang Tersungkur






“Tidak akan lurus keimanan seseorang sehingga lurus hatinya dan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus lidahnya”-HR Ahmad.

“Allah jadikan bumi dan langit, binatang dan seluruh ciptaan-nya, untuk manusia dapat mengenal ALLAH ALLAH ciptakan dunia dan seisinya. Kejayaan kita adalah dengan menunaikan perintah ALLAH dalam setiap keadaan.mengamalkan agama untuk bina iman yakin benar pada diri kita dengan zat kebesaran ALLAH”-

“Jika ketenangan yang dicari, ALLAH akan terus menguji kitasehingga pada satu masa kita akan rasa indahnya TAWAKAL padaNya dan itulah nikmat ketennangan dalam jagaanNYa”
“Anak Adam menjadi semakin tua, tetapi ada dau perkara yang menjadaikannya semakin muda, iaitu TAMAK kepada harta dan TAMAK kepada umur “-HR Muslim.

“Every second ALLAH remember you, every minute ALLAH misses you, every hour ALLAH cares for you, because every day I pray to ALLAH to take care of you…..”

“Dunia bersifat sementara, maka kebahagian yang dikandungnya juga bersifat sementara, sebaliknya akhirat bersifat kekal dan kebahagiannya juga bersifat abadi”-Hukamak

“Setiap anak Adam melakukan dosa, dan sebaik-baik manuasia yang berdosa adalah yang segera bertaubat kepada-NYA”-Hadith

“Moga hidupmu besinar dengan keimanan, matamu bercahaya dengan kalimah ALLAH, hatimu terhibur dengan ketakwaan dan akhlakmu indah bagaikan AL-QURAN, semoga hidupmu dalam keredhaan”

“Air yang jernih tidak akan keruh andai tidak ada penyebab yang mengeruhkannya, Namun hati yang suci akan menjadi keruh sekiranya tidak diisi dengan iman. Hati juga akan ditumbuhi oleh titik-titik hitam andai membaca Al-Quran tidak dijadikan amalan dengan membaca Al-Quran dan mengingati ALLAH hati akan menjadi tenang”

“Kasih saying manusia hanya setitis jika dibandingkan lautan cinta milik ALLAH dan sekioranya hilang yang setitis tidak akan menjejaskan hidupmu jika yang selautan itu masih kau miliki”

“Teruskan kehidupan masa depanmu berlandaskan Islam, Amal dan Iman. Yang penting hidup ini hanya kerana ALLAH. Tanpa keimanan dan ketakwaan hidup kita ridaka akan bermakna”.

“Inginkan Mutiara Selamilah Lautan. Inginkan Bahagia Tempuhilah Penderitaan. Inginkan Kejayaan Perlulah Pengorbanan. Ketahuilah setiap Kepahitan Itu Sebenarnya Terkandung Seribu Kemanisan”

“Ketenangan dan Kebahagiaan Itua adalah Hembusan Dari Langit, Di Turunkan Ke Dalam Lubuk Hati Orang Beriman , Mereka Akan Tetap Berhati Teguh Dikala Orang Lain Mengalami Kegoncangan”…..Syed Qutb.

Ada Kasih Mungkin Tersisih. Ada Sayang Mungkin Terbuang. Ada Rindu Mungkin Tertunggu. Ada Cinta Mungkin Terluka”

“Ingati Bila Sunyi, Rindui Bila Berjauhan, Fahami Bila Keliru, Nasihati Bila Terleka dan Maaafkan Bila Terluka. Itulah Indahnya PERSAHABATAN”…..

“Yang Dekat Itu Mati, Yang Jauh Itu Masa, Yang Besar Itu Nafsu, Yang Berat Itu Amanah, Yang Indah Itu Solat, Yang Tajam Itu Lidah”

“Orang Yang Benar Itu Bukanlah Orang Yang Tidak Pernah Melakukan Kesalahan,Melainkan Orang-orang Yang Dapat Menjadikan Kesalahan Itu Sebagai Alat Untuk Memperbaiki Diri”