Moga Ada Ruang Buatku

Friday, 22 March 2013

Aku Ingin Jadi Yang Terbaik



"Kehidupan dunia ini (jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan, dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, sekiranya mereka mengetahui." (Surah al-Ankabut , ayat 64)

Melihat kepada fenomena hari ini, terdapat pelbagai ragam manusia. Ada kehidupan mereka yang tidak berubah-ubah sedari kecil, remaja, dewasa, tua dan sehinggalah ajal datang menjemput. Tetapi ada juga yang berubah mengikut peredaran usia dan waktu serta keinginan hati mereka dalam mencari kebenaran dan arah tuju hidup.


KEINGINAN UNTUK BERUBAH

Sememangnya sudah fitrah manusia untuk kembali kepada kebenaran meskipun mereka adalah dari golongan seburuk-buruk dan sejahat-jahat manusia. Mungkin sukar untuk percaya, seorang yang digelar 'setan' itu jauh di sudut hatinya ingin menjadi seorang yang baik.

Keinginan untuk menjadi baik dan akhirnya menemui laluan ke arah kebaikan itulah sebenarnya yang dinamakan hidayah. Dengan kehendak Allah, hati yang telah ditutupi dan diselaputi dengan dosa dan noda, akan ada sedikit lubang kecil yang hanya dimuati laluan cahaya hidayah Allah untuk ditembusi terus ke dalam hati-hati manusia yang terpilih.

Sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nur ayat 35 yang bermaksud,

"Allah (memberi) nur (cahaya) langit dan bumi. Umpama cahaya-Nya seperti sebuah lubang di dinding rumah, di dalamnya ada pelita. Pelita itu di dalam gelas. Gelas itu seperti bintang yang berkilauan. Pelita itu dinyalakan dengan minyak pohon yang diberkati iaitu minyak zaitun yang (tumbuh) bukan di timur dan bukan di barat, minyak itu hampir bercahaya dengan sendirinya meskipun tiada disentuh api. Cahaya berdampingan dengan cahaya. Allah menunjuki sesiapa yang dikehendaki-Nya kepada cahaya-Nya itu. Allah menunjukkan beberapa contoh untuk manusia. Allah mengetahui setiap sesuatu."


BERSYUKUR

Tatkala kita merasakan kumpulan dosa terlalu banyak, janganlah kita berputus asa dari rahmat-Nya dan merasakan diri tiada tempat di sisi Allah untuk kembali ke pangkal jalan. Sebaliknya bersyukurlah, dengan terdetiknya sedikit penyesalan itu sebenarnya adalah satu bentuk hidayah Allah yang lahir tanpa kita sedari kecuali bagi mereka yang berfikir akan nikmat yang Allah berikan. Kerana dosa yang kita sedari itulah yang mendekatkan diri dengan Allah dan seterusnya melahirkan rasa kehambaan dalam diri dan mengakui kelemahan sebagai seorang manusia yang perlu bergantung kepada Sang Pencipta.


Berbanding dengan mereka yang berasa diri tidak pernah berbuat dosa dan sentiasa betul dalam kelakuan dan tindakan, ia cukup bahaya kerana tidak sedar diri mereka sudah berada jauh dari Allah. Mereka ini adalah golongan yang sombong dan tidak mengharapkan pertolongan Allah tetapi lebih kepada mengikut kata hati dan berbuat apa sahaja yang mendatang kebaikan dan keseronokan pada diri.

Apa yang terjadi hari ini, kita seringkali menolak seruan-seruan untuk kembali kepada Islam. Pelbagai alasan yang diberikan kerana merasakan diri masih muda dan belum tiba masanya untuk berubah. Alasan yang paling suka diberikan ialah 'belum sampai seru!' alasan tersebut langsung tidak munasabah. Mana mungkin kita mengharapkan sesuatu yang bernilai itu diberi secara percuma tanpa perlu berusaha untuk mendapatkannya!

Seringkali apabila kita diberikan ujian dan didatangkan suatu insiden barulah ia berjaya membuka hati kita untuk berubah. Insiden tersebutlah yang akhirnya mengetuk pintu hati kita untuk bertaubat dan kembali kepada jalan Allah. Kita dikira bernasib baik jika nyawa masih dikandung badan tetapi apa akan terjadi jika kita sudah tidak diberi peluang untuk bernafas dan menebus segala dosa-dosa lalu?

HIDAYAH NALURI

Hidayah datang dalam pelbagai bentuk. Bentuk yang pertama ialah hidayah naluri (keinginan). Hidayah ini adalah sesuatu yang semula jadi ada pada diri kita sejak dilahirkan ke dunia sebagai contoh, bayi yang baru dilahirkan akan menangis apabila lapar. Nalurinya inginkan makanan bagi menghilangkan rasa lapar. Yang kedua ialah hidayah melalui pancaindera. Semasa kecil, kita dapat mengenali dan membezakan sesuatu perkara dengan menggunakan pancaindera seperti mendengar suara ibu dan ayah atau dapat mengenali sesuatu objek. Kemudiannya hidayah dalam bentuk akal fikiran yang mana ia dikurniakan oleh Allah supaya dapat memandu kita berfikir secara rasional sebelum bertindak.

HIDAYAH AGAMA

Seterusnya ialah hidayah agama. Hidayah inilah yang menyelamatkan diri kita daripada kesesatan dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam dan beriman kepada Allah SWT. Ia dapat mendorong kita melakukan kebaikan dan meninggalkan larangan Allah sekali gus dapat membezakan antara perkara-perkara baik dengan perkara haram.





HIDAYAH TAUFIK

Yang terakhir ialah hidayah taufik yang mana merupakan tahap hidayah yang tertinggi kurniaan Allah kepada hambanya yang dikasihi. Tinggal sekarang, hidayah itu harus dijaga kerana nilainya tiada tara dan tidak dapat ditukar dengan apa pun. Ia menjaga kehidupan kita di dunia mahupun di akhirat kelak.

Hidayah pula diturunkan dalam dua cara iaitu hidayah pemberian makhluk sama ada dari kalangan para nabi, pendakwah ataupun sesiapa sahaja. Contohnya hidayah yang diturunkan melalui Nabi Muhammad agar membimbing umatnya beriman kepada Allah. Namun, hidayah taufik ini tidak mampu diberikan oleh makhluk tetapi hanya Allah yang berkuasa. Ia tiada pada Nabi Muhammad walaupun baginda adalah seorang Rasul sebagaimana firman Allah dalam surah al-Qashash ayat 56 yang bermaksud,

"Sesungguhnya engkau (ya Muhammad) tidak dapat memberi hidayah/petunjuk kepada orang yang engkau cintai, akan tetapi Allah lah yang memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki."

Adapun ciri-ciri orang yang sudah mendapat hidayah, mereka hebat beribadat seperti melakukan solat fardu dan sunat, mengeluarkan zakat dan rukun Islam yang lain, sentiasa memperuntukkan waktu untuk bertasbih dan bertahmid kepada Allah SWT selain mengerjakan keperluannya di dunia. Mereka ini tidak mampu melupakan Allah walau sesaat kerana begitu takut akan pembalasan di hari akhirat nanti. Mereka juga terlalu berhati-hati dalam setiap perlakuan agar tidak ditarik balik hidayah pemberian Allah.

Biarpun hidayah itu adalah pemberian Allah tetapi tidak bermakna kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu ia datang kepada kita. Hidayah perlu dicari dan boleh diusahakan jika kita benar-benar inginkannya dengan memohon kepada Allah. InsyaAllah, kita pasti akan diberikan hidayah.

Monday, 11 March 2013

Ya ALLAH Engkau Pemilik Hatiku



Aku lukiskan dalam diam
Bahawa hatiku butuh sebuah penghargaan
Yang dijaga dan menjaga
Mata dan hati bernama hamba

Istikharahku kian jelas berbicara
Bahawa inilah keharusan
Mencari yang lebih kekal dan hampir
Sedekat-dekat telingaku
Takkan pernah jatuhkan aku
Takkan pernah lemaskan aku
Bahkan memeluk diriku penuh rindu

Melepaskan bisikan yang berharap
Biar sunyi selamanya sunyi
Hati ku takkan dimiliki
Kerna jiwaku yang mengingini
Melepaskan bisikan yang berderap
Suci tanpa hubung
Sirna bersama cinta Agung

Allahurabbi
Allahurabbul Izzati
Pemilik hatiku
Istikharahku menetapkan segala
Bahawa kanku lepaskan segala
Lalu tawakkal penyambung cerita

Menitislah air mata
Kujatuhkan penuh bahagia
Kuusap penuh rela
Pada cintaku terpelihara
Hadirnya dengan izin Maha Kuasa

Saturday, 9 March 2013

Aku Dah Penat Berdoa!



Siapa yang tidak pernah rasa sedih? Siapa yang tidak pernah kecewa? Rasulullah S.A.W sendiri pernah rasa kecewa dan pernah berada dalam keadaan yang sangat sedih. Setiap orang pernah diuji dengan pelbagai dugaan berbentuk perasaan. Sedih, resah, adakalanya gembira dan ketawa dan pastinya tidak mampu terlepas dari perasaan kecewa juga.

Kecewa?

Satu perasaan di mana hadirnya mungkin kerana sesuatu yang diinginkan tidak dapat dimiliki seperti yang dibayangkan. Mungkin juga kecewa kerana kehendak hati tidak dapat dipenuhi.
Pernahkah anda mengalami situasi seperti ini?

"Aku sudah penat berdoa, tetapi Allah tidak pernah memakbulkan doa dan permintaanku. Aku sudah penat!"

Putus asa?

Ya, jelas sekali rasa putus asa yang terzahir dari situasi di atas. Kadang-kadang sepertinya kita menyalahkan takdir pula. Sedangkan Allah mengatur segalanya sesuai dengan keperluan dan kebaikan hamba-Nya. Kerana hanya Pencipta tahu apa yang diperlukan dan terbaik untuk ciptaan-Nya. Kadang-kadang apa yang kita mahukan tidak semestinya baik untuk kita, dan banyak pula perkara yang tidak kita senangi itu sebenarnya adalah baik untuk kita.

Sebagaimana penegasan Allah dalam kitab-Nya yang mulia al-Quran:

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui." (Surah al-Baqarah:ayat 216)

Persoalannya, wajarkah kita untuk kecewa? Kecewa itu fitrah perasaan. Tetapi bagaimana pula kiranya kalau kekecewaan itu menyebabkan kita berani menuding jari menyalahkan takdir ketentuan Allah?

Mungkin ramai di antara kita frust bila setiap yang diimpikan tidak menjadi kenyataan. Lalu, kita kecewa dan sedih. Kita berdoa tetapi tidak kesemuanya ditunaikan. Kecewakah? Nanti dulu, sahabat. Tanyalah pada diri. Bukankah setiap yang kita miliki saat ini tidak semuanya kita minta daripada Allah.

Tapi Allah dengan murah hati memberi sebelum kita minta. Allah tetap mengurniakan tanpa kita mengajukan kemahuan tersebut kepada-Nya.

Pernahkah kita minta pada Allah untuk dikurniakan oksigen agar kita dapat kita bernafas? Adakah kita setiap hari meminta izin daripada Allah untuk menggunakan kaki, tangan dan lain-lain anggota? Adakah kita pernah minta supaya Allah meminjamkan mata untuk melihat dan mulut untuk bercakap pada setiap hari? Besar kemungkinan jawapannya tidak, bukan?

Jadi mengapalah berkira andai baru sekali kita dibiarkan merasa kecewa. Bukankah ujian itu tanda sayangnya Allah pada hamba-Nya? Sebelum kecewa, nanti dulu. Berhentilah dan cubalah untuk berfikir kembali. Kenanglah segala nikmat yang Allah berikan sehingga tidak mampu kita kira apatah lagi untuk menyukatnya. Jangan hanya kerana kecewa, anda sudah terfikir untuk melakukan perkara yang bukan-bukan atau membunuh diri!

Jadi, tapislah kekecewaan kita supaya jangan kita melampaui batas dalam melayan rasa itu. Kekecewaan yang bermanfaat ialah kekecewaan yang membawa diri dan hati kita lebih dekat dan menyayangi Allah. Kekecewaan yang membahagiakan ialah di saat kebahagiaan itu berjaya mengukuhkan keyakinan hati kita dalam mengimani qada' dan qadar Allah.

Janganlah bersedih dan kecewa kerana di sebaliknya tersimpan kebahagiaan yang Allah hadiahkan sebagai hikmah-Nya.

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling Tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman." (Surah Ali Imran: ayat 139)

Wallahu'alam.

Saturday, 23 February 2013

Muhasabah Cintaku padaNya



Setiap manusia yang berpeluang hidup di muka bumi ini pasti mengalami perasaan cinta.  Manusia memang dilahirkan secara fitrahnya mempunyai perasaan cinta.


Seorang ibu sanggup berkorban nyawa untuk anaknya kerana cintanya kepada anak.
Seorang bapa sanggup berkorban harta dan tenaga kerana perasaan cintanya kepada keluarga.
Seorang penuntut sanggup mengharungi susah dan payah kerana cintanya kepada ilmu.
Seorang perwira sanggup berkorban jiwa kerana cintanya kepada tanahair.
Seorang hartawan sanggup berkorban masa dan maruah kerana cintanya kepada harta.
.. dan seorang pencinta kononnya sanggup merentasi lautan berapi lantaran cintanya kepada kekasihnya.
Secara dasarnya, kita sanggup berbuat apa sahaja kerana ingin menjaga dan mengejar cinta

Itulah cinta.  Ia fitrah.  Dan ia juga boleh menjadi fitnah.

Ia boleh menjadikan seseorang mulia atau hina.  Ia bisa merubah manusia menjadi lebih baik di sisi Tuhan dan manusia, dan ia  juga bisa menjatuhkan nilai seseorang dari sudut pandangan Tuhan dan manusia.

Sudah lama kita menjalani kehidupan ini, dan sudah banyak kali perkataan 'cinta' kita ungkapkan dan luahkan.

Di kesempatan yang terbatas ini, marilah kita bermuhasabah.  Muhasabah tentang cinta.  Mudah-mudahan muhasabah ini bisa menyedarkan kita semua akan di mana letak duduknya rasa cinta kita?  Di tempat yang sepatutnyakah?  Atau sudah tersasarkah cinta kita selama ini?


01.Orang yang beriman sangat cinta kepada ALLAH

"Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat cinta kepada Allah..." - [Al-Baqarah: 165]

02.Amaran Kepada Yang Meletakkan Cinta Kepada Mahkluq Melebihi Cinta Kepada ALLAH


Katakanlah: "Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." "Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik." - [At-Taubah: 24]

Cukuplah dengan dua ayat al-Quran di atas bagi kita mula bermuhasabah.

Jika selama ini kita telah meletakkan cinta dan perhatian kepada makhluq, nah mulai hari ini marilah kita letakkan semula rasa cinta dan kasih itu di tempat yang sepatutnya.

Menyedari bahawa meletakkan cinta kepada ALLAH mengatasi segala-galanya, kita mesti membuktikan rasa cinta itu.

Tidak cukup dengan hanya kalimah "aku cintakan ALLAH" atau "ALLAH adalah segala-galanya buatku" atau seumpama dengannya.  Ia mesti dibuktikan!

ALLAH subhanahu wata'ala telah berfirman di dalam al-Quran tentang pembuktian cinta kepada ALLAH adalah dengan mengikuti segala suruhan dan perintah yang telah disampaikan oleh Rasulullah sallAllahu 'alaihi wasallam:

Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." "Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." - [Ali-Imran: 31]

Justeru, bagi merealisasikan rasa cinta kepada ALLAH, kita juga mesti meletakkan rasa patuh dan cinta kepada Rasulullah sallAllahu 'alaihi wasallam. Al-hubb (cinta) dan al-ittiba' (ikut) Rasulullah sallAllahu 'alaihi wasallam adalah suatu yang dituntut agama.

Muslimin-muslimat sekalian,


Sudah banyak rasa kecewa menyinggahi jiwa kita.  Sudah tidak terkira kita rasa sedih apabila orang yang kita cintai membuat sesuatu yang tidak kita sukai.  Sudah acap kali kita didatangi keresahan apabila harta yang kita cintai hilang atau berubah hakmilik.  Ya, cinta kepada makhluk pasti mengundang kekecewaan.

Sekiranya cinta dan kasih diletakkan kepada ALLAH melebihi rasa cinta kita kepada makhluqNYA, nescaya kita tidak akan didatangi kecewa.  Sedih yang melanda akan segera terubat apabila cinta kepada ALLAH menguasai jiwa.  Malah, jiwa akan hidup dalam ketenangan dan kemanisan iman akan mula menyerap ke dalam jiwa.

Hadis riwayat Anas radhiAllahu 'anhu, dia berkata bahawa Nabi sallAllahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Ada tiga hal yang barang siapa mengamalkannya, maka ia dapat menemukan manisnya iman, yaitu orang yang lebih mencintai Allah dan Rasul-Nya daripada yang lain, mencintai orang lain hanya karena Allah, tidak suka kembali ke dalam kekufuran (setelah Allah menyelamatkannya) sebagaimana ia tidak suka dilemparkan ke dalam neraka." - [Shahih Muslim No.60]

Semoga tulisan yang ringkas ini bisa mencetus rasa ingin memperbaiki rasa cinta kepadaNYA.  Mudah-mudahan kita semua tergolong di dalam kumpulan manusia yang meletakkan dambaan cinta dan redha ALLAH sebagai yang terutama, amin.

Wallahu A'lam.

Sunday, 17 February 2013

Dirimu Istemewa



Setiap orang ada lapangannya yang tersendiri. Jika semua orang di dunia ni sama sahaja, pasti kehidupan terasa hambar, tiada warnanya. Bosan!

Maha AgungNya Allah SWT, diciptakan pelbagai variasi kelebihan buat orang yang berbeza-beza. Saling melengkapi, cukup mencukupi, menampung yang kurang dan menongkat yang pincang.

Ada orang yang pandai berkarya
Ada yang power berkata-kata
Ada yang macam atlas thaqafahnya
Ada yang tough muscle macam Hulk fizikalnya

Tapi..

Kalau semua orang berkarya, siapa yang nak baca karya yang terhasil?
Kalau semua orang power berkata-kata, mesti telinga kita sakit  mendengar debat di setiap penjuru yang ada.
Kalau semua orang macam atlas thiqahnya, apa perlunya perpustakaan? Peluang untuk meraih pahala dengan menyebarkan ilmu pun menghilang lantaran semua orang semakin pandai..
Kalau semua orang tough muscle macam Hulk, ramai pula yang mula tunjuk belang

Kita diciptakan oleh Tuhan. Dia Maha Mengatur, Maha Mentadbir. Setiap apa yang ada di bumi ini adalah di bawah pentadbiran Allah SWT hatta kita juga adalah sebahagian ciptaan-Nya yang melengkapi alam ini. Tidak salah merasa syukur dengan kelebihan yang Allah kurniakan. Yang salahnya merasa kehebatan diri melebihi rasa hebatnya pada Allah SWT sedangkan kelebihan itu DIA yang berikan.



Kamu rasa diri lemah, tak berguna?

Rasa lemah dan tidak pandai Matematik? Mungkin kamu pandai sastera.
Tidak cukup power berkata-kata? Mungkin kamu tajam akalnya.
Tidak berani dan gemuruh berdepan ramai orang? Mungkin kamu berbakat ICT.
Lemah ingatan dan tidak kuat hafalan? Mungkin kamu expert memasak.

Marilah kita hargai diri diri sendiri, kita syukuri apa jua yang Allah kurniakan pada kita. Syukur atas segala nikmat samada kecil mahupun besar. Baik atau pun tidak. Senang atau sukar. Mungkin, ada nikmat pada diri sendiri yang kita anggap kecil umpamanya seperti tiada nilai di sisi manusia, namun hakikatnya sangat besar nilainya pada orang lain.

Pada pandangan mereka yang kekurangan,  mereka berkata..

"Alangkah bestnya kalau aku ada apa yang dia ada"

"Alangkah bertuahnya dia dengan kereta mewahnya"

"Beruntungnya dia, dapat melancong setiap tahun ke luar negara"


Kesimpulannya, usah tanamkan rasa lebih pada manusia. Apa jua yang ada pada manusia lain adalah pinjaman semata. Hakikatnya segalanya adalah milik Allah SWT. Jadilah manusia yang sentiasa bersifat perlukan qanaah dan merasa syukur ketika merasa cukup dan lebih dari manusia lainnya.

Jadilah diri anda sendiri, kerana diri anda adalah yang terbaik!

"Tapi, bagaimana?"

"Ucapkanlah Alhamdulillah..."


Bersyukurlah walau dengan yang sedikit. Pujilah Allah yang Maha Kaya. Hakikatnya kita memang tiada apa-apa, kita bukan siapa-siapa. Pandai, bodoh, glamer, isolated, mulia, hina... semuanya hanyalah 'wayang' di dunia fana ini. Semua orang memainkan wataknya. Semua orang sama asalnya. Hanya dipilih untuk beraksi sebaik mungkin. Anugerah pula diberikan buat mereka yang ikhlas. Mereka yang tetap teguh pada Islam dalam apa-apa jua keadaan. Insan rabbani berfirasat sufi.

Apa lah yang ada pada raut keangkuhan. Berjalan di mandala sebagai makhluk, tidak layak menandingi Sang Khaliq. Kalau sombong, tak kan ada siapa yang suka hatta Allah juga benci kepadanya. Berlagak sempurna pada 'barang' yang bukan miliknya.

Hidup ini adalah anugerah, hadiah oleh-Nya agar kita mengenal erti buat diri. Agar kita menyempurnakan misi tertentu yang disusun oleh Allah di aturan taqdir. Ketentuan setiap kita berbeza. Hadapilah ia sebagaimana yang kamu mahukan, asal tidak menyimpang dari laluan menuju redha Tuhan. Hiduplah dengan kehendakmu hatta 1 trilion tahun sekalipun, tanpa redha Allah..segalanya tidak bernilai sesaat sekalipun. Padang Mahsyar tiada kenal harga susah kerana perkara yang sia-sia. Hanya kala langkah berjalan di keredhaan Tuhan, barulah ia dijunjung penuh penghormatan.

Mari kembali di hening malam, bergalaskan jiwa hamba, hargai segala pemberian-Nya. Nyawa telah diberi percuma, dihiasi lagi dengan Iman dan Islam. Apa lagi yang lebih mahal dari anugerah ini?

Friday, 1 February 2013

Perjalan Di Bukit TV Tawau



 Buat pertama kalinya 20 tahan aku bernafas dan merasai nikmat kehidupan di muka bumi ALLAH ini, hari ini aku berkesempatan untuk melihat Tawau bumi kelahiranku dari puncak tertinggi. SubahanALLAH itulah kata-kata yang pertama keluar dari mulutku lalu hati kecilku menyambut dengan penuh rasa kesyukuran. Sungguh Agung dan hebatNya ALLAH. Pemandanganku dihiasi dengan kehijauan bumi tawau yang kaya dengan flora dan fauna.

Berada di puncak tertinggi bumi kelahiranku aku melihat bahawa dunia ALLAH ini terlalu besar nikmatnya, dalam kesibukan manusia mengejar kejayaan dunia dan akhirat saat ini ada yang melalui ujian ALLAH dengan hati yang terbuka dan ada juga yang terpaksa demi mendapatkan kemewahan.

 Dipuncak ini aku berazam agar diriku dan masyarakat seluruh bumi tawau subur dengan islam dan iman insaALLAH..


Saturday, 19 January 2013

Bingkai Hidupnya


 Dalam dakapan dunia yang semakin mengejar usia, aku melihat sejauh pandangan mata, melihat sedalam-dalam diriku, melihat dan memerhatikan lagat pelik manusia serta mengkaji alam dunia yang milik ALLAH. Sejauh ini kaki si anak muda melangkah, asalnya dari seorang bayi yang kecil yang baginya dunia ini sangat asing untuk diterokai, berjalan di muka bumi dengan seribu tanda Tanya, mendengar serta belajar memahami tiap-tiap sebutan dari suara ibu dan ayah yang asik tersenyum dan gembira melihatnya, di perlihatkan sekeliling dunia yang kaya dengan kebesaranNya, kini diri kecil sudah meningkat remaja.

 Bermulalah sudah kehidupan sebenar untuk diterjah isi dunia didalamnya, merasai apa yang tek pernah dirasai, melaui satu perjalanan hidup yang perih, merentas  ujian Allah dengan menabahkan hati, kadang dirinya jatuh tersungkur lalu kaku tak bermaya, namun dia yakin dia ada ALLAH buatnya, membawa amanah ibu dan ayah untuk melihatnya Berjaya setara dengan insan yang lain. Dia memaksa diri untuk melangkah keluar dari rumahnya tempat dimana dia dilahirkan dan di besarkan bagi menimbah ilmu dan mencapai cita-cita ke ibu kota.

 Saat berjauhan dari keluarga, dia ada Allah sebagi sandaran, dia tahu dia milik ALLAH yang Esa, suka dan duka dia lalui sendiri, ada kalanya mencuri masa mendengar suara ibu dan ayah ratu hatiny serta mendengar suara adik-adiknya sebagai penghibur diri. Itulah kehidupan si anak muda yang telah terlakar.

 Sampai satu ketika dia teruji dengan isi dunia, dia keliru melihat dan menilai CINTA, hatinya kadang mudah jatuh, mudah suka dan mudah ingin mengejar dunia. Namun doa penguat jiwa, usaha sebagai benteng penghalang dari dihanyutkan sekali lagi dengan makna CINTA yang telah banyak menghancurkan masa depannya satu ketika dahulu, cinta yang pernah melenyapkan keperibadiannya dan cinta yang pernah menjadikan dia manusia bertopengkan syaitan. Jauh di bennak fikirannya untuk kembali kejalan “jahiliah itu” namun tak mustahil andai diri telah jauh dari ALLAH dan merasakan manisnya isi dunia.

 Bukan mudah untuk hidup andai inginkan kesenangan di akhirat dan amat senang di fahami erti hidup andai mengangap hidup ini satu destinasi hiburan dalam kehidupan, itulah kata-kata yang sering membuat dirinya mempelajar rangkap hidupan serta mempelajari kamus hidup dengan berbekalkan ketabahan dan dirinya yakin dia ada ALLAH di sisinya.