Moga Ada Ruang Buatku

Thursday, 13 June 2013

Pejamkan Mataku BuatMU


Tenang…
Tenangnya hati tidak boleh dibeli dengan wang ringgit,
Tenangnya jiwa tidak boleh dipinjam oleh sesiapa,
Tenangnya akal tidak dapat di capai dengan kekusutan dunia.

Tenangnya bersama Allah,
Ketika aku tidur, Engkau selalu jaga dan melihatku lena,
Ketika aku sakit, Engkau menghapus segala dosa-dosa yang lama,
Ketika aku sesat, Engkau tarik aku kembali ke jalan-Mu,
Ketika aku sujud, Engkau hadirkan ketenangan dan harapan yang baru.

Tenangnya bersama Allah,
Engkau penjagaku setiap masa,
Memerhati setiap gerak geriku,
Mengabulkan doa-doa ku,
Dan membuat ku rasa selamat.

Tenangnya bersama Allah,
Bila keyakinan terhadap Mu telah tinggi,
Maka aku tidak takut lagi,
Tidak takut untuk mencari-Mu ketika aku susah,
Tidak lupa untuk memuji-Mu ketika aku senang,
Dan tidak sanggup untuk aku mengulangi dosa dan maksiat lama.

Tuhanku,
Aku rasa tenang bersama-Mu,
Dan aku ingin kembali untuk bertemu dengan-Mu,
Dalam keadaan yang Engkau redhai,

Kabulkanlah doa ini, Ya Rabb…

Wednesday, 12 June 2013

Memahami Makna Takdir


“Oh tuhan seandainya telah kau catatkan dia milikku tercipta untuk diriku”

Potongan lagu dari Unic tentang jodoh, terpanggil untuk berkongsi soal cinta dan perasaan. Kadang ramai yang begitu sensetif soal hati dan perasaan, lebih-lebih lagi golongan berkopiah dan bertudung labu. Mungkin ada sebab yang tertentu membuat ramai yang malas mengulas isu ini dan berpendapat “jodoh itu rahsiah” dan banyak lagi alasan yang sering bergema di laman social dewasa kini.

 Ya benar jodoh itu satu rahsiah dan sama rahsiahnya dengan kematian, namun manusia tak terlepas dari memendam persaan anugerah tak ternilai ini. Cinta? Ya itulah anugerah yang amat-amat berharga dalam diri setiap insani, Cuma. Berbalik pada diri kita untuk mengawal perasaan ini, cinta boleh membawa kita dekat pada ALLAH dan cinta juga boleh mendatangkan murkah ALLAH pada kita. Kesimpulan ringkas saya tentang isu ini adalah tiap manusia (kita) kena berbalik pada ISLAM.

 Ya aku juga pernah alami benda ini, mengharap sesuatu yang tak pasti, mengimpikan sesuatu yang mustahil untuk aku miliki, dan dari itu aku belajar untuk tidak berharap dan mengharap. ALLAH uji hati kita sesuai dengan diri kita, jika orang yang beriman ALLAH uji dengan ajakkan minum arak, masuk club dan berzina mungkin hakikatnya mustahil bukan untuk orang sebegitu melakukannya? hebatNya ALLAH Dia uji kita selembut-lembut ke imanan kita.

 Peristiwa itu mengajar aku makna “memahami keredhaan” dalam sangat maknanya, sukar untuk aku coretkan di sini. Aku faham setiap yang berlaku itu ada hikmahnya, bagiku cinta yang hakiki itu cinta insani pada robbani, Allah..

 Biarlah kenangan berlalu jadi sejarah dalam hidupku dan penghias taman sejarah untuk di kenangkan, satu pengajaran sebenarnya buat aku. Nama insan itu aku pahatkan dalam cerita perjalanan hidupku, impian untuk menyatukan dua negeri antara Terengganu dan Sabah gagal aku ciptakan. Mungkin salahku menerima hasratnya dulu, hehehe dalam aku rasa lucu aku terseyum kehampaan. Dia pernah cakap “Terima kasih sebab berikan dia kebahagiaan walaupun sekejap” ya, dia sahabat yang baik, dia selalu menjadi penasihat kesihatanku dulu, sekarang aku belajar untuk berdikari, belajar untuk layarkan bahtera diriku di lautan kehidupan ini, masih jauh perjalanan ini untuk mengalah. Aku mampu berdoa dan mengubat hatiku dengan ayat-ayat ALLAH serta memujiNya.

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." 
(Surah Al-Baqarah ayat 286)

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." 
(Surah Al-Imran ayat 139)


Cinta..
Dikau itu fitrahnya suci
Sesuci embunan pagi
Seputih turunan salji


Cinta..
Syukran Ya Ilahi
Sesungguhnya kurniaan-Mu ini ibarat pelangi
Mewarnai segenap hidupan duniawi

Cinta..
Andai manusia itu bijak pekerti
Pastinya dikau tidak sesekali dinodai
Tentunya dikau aman di lubuk sanubari

Cinta..
Kenapa dikau selalu disalaherti?
Dituduh, dihina.. sering dicaci
Tatkala manusia terlajur diri

Cinta..
Usah dikau bersedih hati
Dikala manusia menunjuk benci
Bukan salahmu sekali-kali

Cinta..
Dikau sebenarnya penyeri
Buat kami khalifah di bumi
Juga buat anak cucu kami

Cinta..
Hapuslah air matamu di pipi
Imbaulah kembali indahnya memori
Disaat dikau penyatu kasih yang murni

Cinta..
Adakah dikau masih ingati?
Saat Adam dan Hawa menyemai kasih syurgawi
Bukankah terbukti dikau penyatu dua hati?

Cinta..
Zaman ini banyak sekali tragedi
Menarik dikau ke lembah penuh misteri
Habislah dikau andai manusia hilang pedoman diri

Cinta..
Zaman ini dikau tidak lagi selalu disanjung tinggi
Namamu hanya menjadi zikir pemuda pemudi
Peroleh kepuasan penuhi nafsu meninggi

Cinta..
Ingin sekali aku bersimpati
Namun aku sendiri serupa insani
Mungkin dikau mangsaku sejurus ini


Cinta..
Percayalah, andai aku miliki iman di hati
Dikau tidak sesekali akan aku sakiti
Kerna dikau hanya halal buat insan bernama isteri

Cinta..
Aku ini seorang lelaki
Miliki gelojak nafsu juga naluri
Semoga dikau tidak membawaku ke jalan mati

Cinta..
Aku ingin miliki seorang suri
Kalau bisa, seanggun bidadari
Namun semuanya dalam lukisan rezeki..

Cinta..
Andai suatu hari aku akan dicintai
Andai suatu masa aku akan mencintai
Sudilah engkau terbit menemani jiwa kami

Cinta..
Buat masa ini
Aku ingin sekali kau dikunci rapi
Kerna kini aku  ingin menimba ilmu Ilahi

Cinta..
Sabarlah dikau buat sementara ini
Tatkala sudah tiba masanya nanti

Datanglah kembali menghiasi bahtera kasih abadi…

Maha suci ALLAH dan kerajaanNya yang Agung.. Moga kita bertemu lagi S.M

( Cerita ini tiada kaitan dengan "penulis coretan si pengemudi", cerita dari seorang sahabat dan di coretkan dalam blog ini sebagai tauladan dan muhasabah bersama. Harap maklum )

Tuesday, 11 June 2013

Berbakti Kepada Ibu Bapa



Seorang anak kebiasaan akan lebih menghargai ibu bapanya setelah dia memiliki cahaya mata yang pertama. Betapa rumitnya membesarkan bayi yang baru dilahirkan hinggalah usia meningkat dari tahun ke tahun dipenuhi dengan pelbagai cabaran.

Saat itulah, baru menceritakan semula penat lelah ibu dan bapa yang membesarkannya suatu ketika dahulu. Selain, kepayahan ketika mengandung hinggalah tiba waktu melahirkan.

Pengorbanan ibu bapa sebenarnya telah ditegaskan oleh Allah Taala dalam firman-Nya yang bermaksud:

"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapa mu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." [Surah Luqman ayat: 14]

Maka, soal kebaktian seorang anak terhadap ibu bapanya perlu diutamakan dan diletakkan sebagai tugas yang penting untuk dilaksanakan. Menjelang hari tua, ibu dan bapa kita akan lebih mendalam kerinduan terhadap anak yang pernah dibesarkannya.

Tahap sensitifnya akan cepat terasa sekiranya anak yang dijaga bersikap kurang menyenangkan, atau melakukan perbuatan yang mengguriskan hati. Kita sebagai anak harus sedar akan kewajipan mentaati dan membahagiakan hati kedua ibu bapa. Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah" dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)." [Surah al-Isra' ayat: 23]


Maksud "berbuat baik kepada kedua ibu bapa" sebagai mana yang disebutkan dalam ayat suci al-Quran selain dari menjaga tingkah laku, perkataan dan perbuatan dari sebarang kekasaran yang boleh melukai hati keduanya, kita dituntut untuk menjaga ibu bapa setelah mereka berada di usia yang tua.

Menjelang saat-saat hari tua adalah penantian kehidupan yang menggusarkan fikiran. Pasti semua ibu bapa akan kerisauan mengingatkan tentang kehidupan hari tua kelak. Dalam Islam, anak lelaki yang paling berkewajipan menjaga ibu bapanya berbanding dengan anak perempuan. Seorang ibu boleh membesarkan anaknya yang ramai, sebaliknya anak-anak yang ramai belum pasti dapat memelihara kedua ibu bapanya.

Maka, antara jalan untuk tergolong sebagai orang-orang yang beriman ialah keutamaan melihat ibu bapa sebagai tanggungjawab yang besar yang perlu dilaksanakan. Kegagalan berbakti kepada ibu bapa boleh mengakibatkan kita sukar untuk sampai ke pintu syurga sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

"Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Seseorang yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya telah tua namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka)." [Riwayat Muslim]

Pengorbanan Ibu Bapa

Menyentuh tentang jasa ibu bapa terhadap anaknya terlalu banyak. Sudah pasti, para ibu dan bapa akan menitiskan air mata jikalau ditanya tentang pengorbanan untuk membesarkan anak apatah lagi bagi golongan yang hidup dalam kemiskinan dan serba kekurangan dengan seratus peratus menggunakan kudrat sendiri untuk membela dan membesarkan anak-anaknya.

Ada sedikit perbezaan berbanding para ibu hari ini yang banyak bergantung kepada pembantu rumah serta penggunaan alat teknologi yang membantu meringankan beban atau tugas seorang ibu.

Imam Bukhari telah meriwayatkan sebuah kisah daripada Said bin Abi Burdah tentang seorang lelaki Yaman yang bertawaf sambil mendukung ibunya dengan penuh cermat. Sebaik selesai tawaf, beliau bertanya kepada Ibnu Umar :

"Apakah dengan khidmat dan pengorbananku ini telah dapat membalas jasa bakti ibuku?"

Jawab Ibnu Umar : "Tidak, apa yang telah kamu lakukan tadi tidak akan dapat menebus jasa ibumu sekalipun sekadar hembusan nafas ketika kesakitan melahirkan kamu."

Justeru, berbuat baik serta melayan kedua ibu bapa dengan nilai budi bahasa yang sopan adalah amalan yang terpenting untuk disemat di hati.

Sebagai seorang anak kewajipan mendoakan ibu bapanya  perlu diamalkan setiap hari. Apatah lagi sekiranya  kedua-duanya telah meninggal dunia. Doa anak yang soleh akan terus-menerus sampai kepada ibu bapanya yang berada di alam kubur. Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata) : 'Wahai Tuhan kami! Cucuri rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil." [Surah al-Isra' ayat : 24]


Pengorbanan ibu dan bapa yang tidak terkira nilainya dan amat tidak wajar dipandang remeh atau ringan oleh anak-anak. Apabila keduanya menghampiri daerah usia yang lanjut, bermusyarawarahlah sesama adik-beradik untuk saling berbakti selagi usia ibu bapa kita belum terhenti.

Peranan Isteri

Para isteri perlu menyedari hakikat kewajipan suami terhadap orang tuanya dengan merelakan suami menunaikan tugasnya terhadap kedua ibu bapanya dengan sempurna sekalipun memerlukan masa, wang dan pengorbanan lain. Menghalang suami dari berbakti kepada kedua ibu bapanya di hari tua adalah satu pilihan yang kejam.

Mengambil hak seorang ibunya yang benar-benar mengharapkan adanya anak yang akan mengingati jasa dan pengorbanan silam dengan menjaganya saat-saat tidak berkeupayaan adalah satu sifat yang tidak berperikemanusiaan. Alangkah baiknya sekiranya masih ada isteri akan mengingatkan suami akan kewajipan menjaga orang tuanya.

Kita perlu mengambil iktibar dari apa yang berlaku pada Alqamah, seorang pemuda yang hidup pada zaman Rasulullah SAW. Dia tidak dapat mengucap kalimah syahadah lantaran sikapnya yang mengutamakan isteri daripada ibunya. Sedangkan Alqamah merupakan seorang yang taat kepada perintah Allah, rajin menunaikan solat, suka bersedekah dan sering berpuasa.

Lantas, Rasululllah SAW memanggil ibunya bagi mendapatkan keampunan, sebaliknya ibunya menolak kerana masih berkecil hati dengan sikap Alqamah yang mengutamakan isterinya. Akhirnya Rasulullah SAW bertindak untuk membakar Alqamah hidup-hidup di hadapan ibunya jika ibunya tidak memaafkannya.

Akhirnya tindakan Rasulullah SAW itu menyebabkan ibunya segera memaafkannya dan seterusnya Alqamah dengan mudah mengucapkan dua kalimah syahadah.

Sebaik sahaja Alqamah dikebumikan, Rasulullah SAW berdiri di kuburnya lalu bersabda bermaksud:

"Wahai kaum Muhajirin dan Ansar! Sesiapa yang lebih mengutamakan isterinya daripada ibunya, nescaya akan ditimpa kepadanya laknat Allah dan juga tidak akan diterima daripadanya taubat dan tebusannya." [Hadis riwayat Abu al-Laith]

Para isteri perlu lebih memahami hak-hak ibu ke atas anaknya yang diberi keutamaan dalam Islam. Lantaran, anak-anak kita juga akan bertindak dengan apa yang pernah kita perlakukan terhadap ibu bapa  kerana kesaksamaan Allah yang maha adil. Justeru, isteri harus bersikap reda dengan ruang-ruang yang perlu dipenuhi oleh suami terhadap ibu bapanya.

Kehadiran anak adalah sesuatu yang berharga di hari tua. Nabi Ibrahim meluahkan kesyukuran kepada Allah kerana diberi anak yang bakal menemani di hari tua sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud:


"Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua (ku) Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa."  [Surah Ibrahim, ayat 39]

Monday, 10 June 2013

Mereka Mungkin Ahli Syurga


Dalam kehidupan seharian, kita sering melihat pengutip sampah, 'pak guard' dan seumpamanya.

Pernahkah kita melihat kehebatan yang dimiliki oleh pekerja-pekerja rendah am seperti mereka?

Mereka bekerja mencari rezeki yang halal demi menampung kehidupan ahli keluarga mereka. Ini adalah satu ibadah yang sangat mulia.

Mereka bertungkus lumus menjaga kebersihan alam sekitar dan tanpanya sukar untuk dibayangkan bagaimana kita berhadapan dengan permasalahan sampah dan bau busuk yang begitu menguja setiap kita.

Mereka mampu merendahkan diri untuk bekerja di sektor seumpama ini untuk menyara keluarga dan memanfaatkan masyarakat menghayati kebersihan yang merupakan sebahagian daripada Islam.

Beberapa soalan :

  • Pernahkah anda menyapa mereka?
  • Pernahkah anda menggembirakan mereka?
  • Pernahkah anda memberi salam atau mengangkat tangan kepada mereka?
  • Pernahkah anda menghadiahkan sesuatu bersempena hari perayaan seumpama hari raya dsb kepada mereka?
  • Adakah anda sentiasa memudahkan kerja-kerja mereka dengan menyediakan sampah untuk diuruskan dengan baik dan sebersih mungkin?




Walau pun anda mungkin menganggap ini adalah isu kecil tetapi hidup anda pasti sukar tanpa mereka.....


Ada seorang di kalangan mereka yang sempat saya kenali dengan lebih rapat.

Dia bekerja sebagai buruh pengutip sampah di siang hari dan kemudiannya bekerja sebagai 'jaga' atau 'security guard' di sebelah malam bagi menampung pendapatannya yang rendah.

Beliau terpaksa menyara 6 orang anaknya yang bersekolah dan yang sedang membesar. Namun beliau tidak pernah kelihatan mengeluh dan kelihatan sentiasa menjaga solatnya.

Lebih mengkagumkan lagi apabila beliau turut membayar zakat di Pusat Zakat Negeri walau pun pernah diberitahu bahawa kadar pendapatannya yang rendah menyebabkan beliau dimasukkan di dalam kategori 'tidak wajib' untuk membayar zakat.


Mereka mungkin dipandang rendah oleh orang ramai tetapi jangan lupa bahawa kehebatan mereka memungkinkan mereka mendahului kita sebagai calon ahli syurga.....!

Saturday, 8 June 2013

Mengapa Mesti Bersangka Baik?


Tujuh sebab mengapa kita mesti bersangka baik;

Satu. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana mungkin kita mempunyai sijil-sijil kecemerlangan kokurikulum atau akademik, tetapi kita tidak memiliki 'sijil' yang mengatakan bahawa kita antara yang dijanjikan syurga seperti 10 sahabat Nabi.

Dua. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana manusia lain juga seperti kita yang mempunyai setiap detik peluang untuk berubah ke arah yang lebih baik. Mungkin semalam dia seorang yang kedekut tetapi tidak mustahil dalam sekelip mata, hari ini dia menjadi seorang yang pemurah dan mungkin tiada yang menyangka bahawa hari esok dialah yang paling ikhlas dalam memberi.

Tiga. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana semua kita adalah bersaudara. Andai hati sahaja mudah berprasangka, bagaimana mahu menebar bahagia?

Empat. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana percayalah setiap sesuatu yang berlaku pasti ada sebabnya. Usah mudah mengangkat jari telunjuk menghukum namun eratkan jemari membentuk persefahaman dan kesatuan hati.

Lima. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana diri sendiri bukan seorang yang maksum dan sepi daripada melakukan dosa.

Enam. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana hanya Allah yang mengetahui segala isi hati orang lain. Adakah kita fikir kita seperti Tuhan yang boleh membaca isi hati orang lain? Na'uzubillah.

Tujuh. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana kita hanya seorang hamba yang mesti taat kepada Penciptanya. Husnuszonlah sentiasa selama masih bernyawa!

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain..."
(Surah al-Hujurat, ayat 12)




"Kenapa dia tak bertudung? Oh, mungkin kerana dia dibesarkan dalam suasana keluarga yang tidak menitikberatkan agama. Maka aku yang tahulah harus mengajaknya."

"Kenapa dia pulang ke universiti bersama seorang lelaki? Oh, mungkin itu abangnya kerana aku juga tidak mengenali siapa keluarganya. Atau mungkin sesuatu telah berlaku dalam perjalanan sehingga dia terpaksa menumpang lelaki tersebut."

"Kenapa dia ku rasakan makin menjauh tanpa sebarang SMS atau call? Oh, mungkin dia sedang sibuk menguruskan sesuatu. Aku sebagai sahabat mestilah memahaminya."

"Kenapa dia tak membalas senyumanku waktu berselisih ke kelas tadi? Oh, mungkin dia tidak perasan atau ada sesuatu yang membelenggu fikirannya waktu itu. Tidak mengapa, lain kali bisa memberi senyuman lagi."

"Kenapa dia mengumpat sedangkan dialah yang suka memberi tazkirah? Oh, dia juga seperti aku manusia yang sering melakukan kesilapan dan kadang-kadang terlupa. Aku dan dia sebagai sahabatlah yang mesti saling menasihati dan mengingatkan."

Seorang mukmin itu bersangka baik terhadap orang lain. Dihapuskan segala wasangka buruk yang terbit di dalam hati dengan alasan yang mungkin menjadi sebab sesuatu kelakuan dilakukan.

Dan seorang mukmin itu juga mempunyai sifat berhati-hati. Jangan bersangka baik tidak bertempat hingga meninggalkan langkah untuk berjaga-jaga.

Tatkala terbangun pada pukul 3 pagi, terdengar bunyi dari rumah jiran. Kelihatan susuk tubuh seorang lelaki yang bertopeng penuh di muka. Langsung tidak bertempat sangkaan baik mengandaikan bahawa tuan rumah yang bercuti di Pulau Langkawi baru sahaja pulang ke rumah sambil memakai topeng Spiderman sedang mengumpil pintu rumah sendiri.

Andai mulut tidak bisa berhenti daripada mengatakan sesuatu yang tidak berfaedah dan yang mungkin mengundang dosa, maka diam itu lebih baik.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia berkata akan yang baik atau hendaklah ia diam. Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan jirannya. Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan tamunya." (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)



Thursday, 23 May 2013

Allah Bersama Orang Yang Sabar



Tuhan yang beri kita rezeki, dan hanya Dia yang berkuasa mengambilnya semula.

Duit dalam genggaman kita, dalam akaun bank, dalam poket seluar mahu pun beg duit belum tentu lagi menjadi milik kita. Bila-bila saja kita mungkin kehilangannya.

Andai ditakdirkan kita mati hari ini, kita kembali kepada-Nya dengan tangan yang kosong.  Tanpa wang, tanpa harta. Semuanya milik Allah. Dan Dia berhak atas segalanya.

Allah swt berfirman;

"Dan ketahuilah bahawasanya harta dan anak itu sebagai ujian; sesungguhnya Allah pada sisi-Nya itu adalah ganjaran yang besar." - [Surah al-Anfal : 28]

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." - [Al-Baqarah 2:155]

Bila diuji, bersabarlah wahai hati.

Musibah datang dalam pelbagai cara. Musibah dan ujian merupakan tarbiyah daripada Allah bagi mereka yang celik hati dan akalnya.

Bila diuji, bagaimana penerimaan kita terhadap musibah tersebut? Apakah kita menerima ujian dari-Nya dengan hati yang terbuka, berlapang dada dan kembali muhasabah diri, memperbaiki kelemahan diri dan meningkatkan lagi amalan seharian..

Atau bagaimana?

Jarang sekali kita bersyukur dengan ujian yang diberikan. Sedangkan mungkin juga, ujian itu merupakan salah satu peringatan kepada kita, supaya kembali dekat kepada-Nya, agar perbanyakkan amalan kepada-Nya, menadah tangan bermohon doa kepada Dia.

Moga kita dijauhi dari api neraka dan dimasukkan ke syurga.

Kerana Dia kasihkan kita. Sekali-sekala Dia 'mengejutkan' kita dari lena yang panjang. Menyedarkan kita dari kealpaan dan kelalaian.

Kerana semuanya milik Dia. Dia memberi kepada sesiapa yang Dia ingini sebagaimana firman-Nya;

"Sesungguhnya Rab (Tuhan)mu melapangkan rezeki kepada sesiapa yang Dia (Allah) kehendaki dan menyempitkannya; sesungguhnya Dia (Allah) terhadap hamba-hamba-Nya (Allah) adalah al-Khabir (Maha Mengerti), lagi al-Basir (Maha Melihat)." - [Surah Al-Israk:30]

Wang dan harta yang kononnya milik kita juga bila-bila masa sahaja jika Dia mahu menariknya kembali, dengan pelbagai cara ia 'pergi' dari kita.

Contohnya tiba-tiba kita kehilangan wang, tercicir atau diragut. Atau mungkin bagi sesiapa yang miliki kereta, tetiba sahaja kereta rosak, atau tayar pecah atau terlanggar pokok, semuanya perlukan wang dan secara tidak lansung, duit itu keluar dari poket kita.

Allah swt berfirman berfirman lagi dalam surah Al-Ankabut, ayat ke-2;

"Adakah manusia mengira, bahawa mereka akan dibiarkan saja, dengan mengatakan: Kami telah beriman, padahal mereka belum lagi mendapat cubaan?"

Maka, bila Allah menguji kita dengan rezeki yang kita miliki. Buka mata. Muhasabahlah, periksa dan koreksi diri sendiri.

Peringatan buat diri saya sendiri adanya. Muhasabah diri sendiri. Mungkin ada sesuatu yang tidak kena, sesuatu yang bukan pada tempatnya yang telah kita lakukan dan Allah mahu 'menegur' kita dengan cara tersebut.

Diriwayatkan dari Anas bahwa Rasulullah bersabda;

"Apabila Allah menghendaki kebaikan pada seorang hamba-Nya maka Dia menyegerakan hukuman baginya di dunia; sedang apabila Allah menghendaki keburukan pada seorang hambaNya maka Dia menangguhkan dosanya sampai Dia penuhi balasannya nanti di hari Kiamat." - [Hadits riwayat At-Tirmidzi dan Al-Hakim]

Mungkinkah cara kita mendapatkan rezeki itu tidak diberkati oleh-Nya?

Atau mungkin kita lupa untuk mengeluarkan sebahagian dari harta kita ke jalan Allah?

Atau mungkin juga kita menyalahgunakan pinjaman Allah (contohnya kereta) dengan melakukan perkara-perkara yang dimungkari oleh Allah swt.

Suatu peringatan dari-Nya, agar kita tidak terus leka bergelumang dengan perkara-perkara yang dibenci oleh-Nya.

Atau mungkin Allah menguji kita kerana ingin melihat sejauh mana kita menerima ketentuan-Nya. Bersabar dengan dugaan yang telah Dia berikan kepada kita.

Bukankah Allah sayang kepada orang yang bersabar dan menerima ketentuan-Nya dengan hati yang tenang dan redha?

Firman Allah;

"Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." - [At-Taghabun:11].


Bersabarlah wahai hati, sesungguhnya Allah bersama dengan mereka yang sabar dan beriman kepada-Nya.

Allah berfirman lagi;

"Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat sekali kecuali bagi orang yang khusyuk." - [Surah al-Baqarah:45]

"Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar." - [Al-Baqarah:153]

Wahai hati, bersabarlah. Jangan berputus asa dan teruskanlah berjuang, mohonlah pertolongan dan perlindungan daripada Allah. Dan yakinlah bahawa cukuplah Allah sebagai penolong.

Bersabarlah wahai hati. Yakinlah bahawa Allah sentiasa ada bersamamu, bila ditimpa musibah, hadapilah segalanya dengan tabah dan ucapkanlah "Innalillahiwainnailaihirajiun". Sesungguhnya dari Allah kita datang, dan kepada-Nya juga kita kembali.

Sunday, 19 May 2013

Andai Cinta Belum Sepenuhnya Berpihak




Bagaimana rasanya jatuh cinta,
Bagaimana rasanya senyum lepas bahagia oleh hasrat yang bertaut,
Bagaimana pula ketika kemudian rasa itu berlabuh sempurna,
Indah bukan? mungkin lebih indah dari apapun..
Namun bagaimana jika nanti kecewa oleh nisbinya rasa,
Bagaimana ketika hasrat tak bertaut, rasa bertepuk sebelah tangan
Membayangkannya saja tiada hendak.

Mengutip sebuah petuah
“Meski sejatinya adalah anugerah,
Terkadang cinta memilih takdirnya sendiri”
Apapun hakikat cinta, melepas atau mempertahankan,
Membebaskan atau sepenuhnya mengekang
Terkadang semuanya banyak pilihan,
Terkadang keberpihakan akan membuat kita banyak belajar
Memilih atau meninggalkan, meneruskan atau menyudahi..

Maka sandarkanlah,
Andai kini benar-benar cintamu belum mampu berpihak,
Ikatkan mereka pada cinta hakiki,
Berawal karena Allah, berawal atas rahmatNya yang penuh cinta
Hingga cintamu berbuah keniscayaan.
Sandarkan sepenuhnya padaNya..