Moga Ada Ruang Buatku

Monday, 10 June 2013

Mereka Mungkin Ahli Syurga


Dalam kehidupan seharian, kita sering melihat pengutip sampah, 'pak guard' dan seumpamanya.

Pernahkah kita melihat kehebatan yang dimiliki oleh pekerja-pekerja rendah am seperti mereka?

Mereka bekerja mencari rezeki yang halal demi menampung kehidupan ahli keluarga mereka. Ini adalah satu ibadah yang sangat mulia.

Mereka bertungkus lumus menjaga kebersihan alam sekitar dan tanpanya sukar untuk dibayangkan bagaimana kita berhadapan dengan permasalahan sampah dan bau busuk yang begitu menguja setiap kita.

Mereka mampu merendahkan diri untuk bekerja di sektor seumpama ini untuk menyara keluarga dan memanfaatkan masyarakat menghayati kebersihan yang merupakan sebahagian daripada Islam.

Beberapa soalan :

  • Pernahkah anda menyapa mereka?
  • Pernahkah anda menggembirakan mereka?
  • Pernahkah anda memberi salam atau mengangkat tangan kepada mereka?
  • Pernahkah anda menghadiahkan sesuatu bersempena hari perayaan seumpama hari raya dsb kepada mereka?
  • Adakah anda sentiasa memudahkan kerja-kerja mereka dengan menyediakan sampah untuk diuruskan dengan baik dan sebersih mungkin?




Walau pun anda mungkin menganggap ini adalah isu kecil tetapi hidup anda pasti sukar tanpa mereka.....


Ada seorang di kalangan mereka yang sempat saya kenali dengan lebih rapat.

Dia bekerja sebagai buruh pengutip sampah di siang hari dan kemudiannya bekerja sebagai 'jaga' atau 'security guard' di sebelah malam bagi menampung pendapatannya yang rendah.

Beliau terpaksa menyara 6 orang anaknya yang bersekolah dan yang sedang membesar. Namun beliau tidak pernah kelihatan mengeluh dan kelihatan sentiasa menjaga solatnya.

Lebih mengkagumkan lagi apabila beliau turut membayar zakat di Pusat Zakat Negeri walau pun pernah diberitahu bahawa kadar pendapatannya yang rendah menyebabkan beliau dimasukkan di dalam kategori 'tidak wajib' untuk membayar zakat.


Mereka mungkin dipandang rendah oleh orang ramai tetapi jangan lupa bahawa kehebatan mereka memungkinkan mereka mendahului kita sebagai calon ahli syurga.....!

Saturday, 8 June 2013

Mengapa Mesti Bersangka Baik?


Tujuh sebab mengapa kita mesti bersangka baik;

Satu. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana mungkin kita mempunyai sijil-sijil kecemerlangan kokurikulum atau akademik, tetapi kita tidak memiliki 'sijil' yang mengatakan bahawa kita antara yang dijanjikan syurga seperti 10 sahabat Nabi.

Dua. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana manusia lain juga seperti kita yang mempunyai setiap detik peluang untuk berubah ke arah yang lebih baik. Mungkin semalam dia seorang yang kedekut tetapi tidak mustahil dalam sekelip mata, hari ini dia menjadi seorang yang pemurah dan mungkin tiada yang menyangka bahawa hari esok dialah yang paling ikhlas dalam memberi.

Tiga. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana semua kita adalah bersaudara. Andai hati sahaja mudah berprasangka, bagaimana mahu menebar bahagia?

Empat. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana percayalah setiap sesuatu yang berlaku pasti ada sebabnya. Usah mudah mengangkat jari telunjuk menghukum namun eratkan jemari membentuk persefahaman dan kesatuan hati.

Lima. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana diri sendiri bukan seorang yang maksum dan sepi daripada melakukan dosa.

Enam. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana hanya Allah yang mengetahui segala isi hati orang lain. Adakah kita fikir kita seperti Tuhan yang boleh membaca isi hati orang lain? Na'uzubillah.

Tujuh. Kita mesti sentiasa bersangka baik kerana kita hanya seorang hamba yang mesti taat kepada Penciptanya. Husnuszonlah sentiasa selama masih bernyawa!

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain..."
(Surah al-Hujurat, ayat 12)




"Kenapa dia tak bertudung? Oh, mungkin kerana dia dibesarkan dalam suasana keluarga yang tidak menitikberatkan agama. Maka aku yang tahulah harus mengajaknya."

"Kenapa dia pulang ke universiti bersama seorang lelaki? Oh, mungkin itu abangnya kerana aku juga tidak mengenali siapa keluarganya. Atau mungkin sesuatu telah berlaku dalam perjalanan sehingga dia terpaksa menumpang lelaki tersebut."

"Kenapa dia ku rasakan makin menjauh tanpa sebarang SMS atau call? Oh, mungkin dia sedang sibuk menguruskan sesuatu. Aku sebagai sahabat mestilah memahaminya."

"Kenapa dia tak membalas senyumanku waktu berselisih ke kelas tadi? Oh, mungkin dia tidak perasan atau ada sesuatu yang membelenggu fikirannya waktu itu. Tidak mengapa, lain kali bisa memberi senyuman lagi."

"Kenapa dia mengumpat sedangkan dialah yang suka memberi tazkirah? Oh, dia juga seperti aku manusia yang sering melakukan kesilapan dan kadang-kadang terlupa. Aku dan dia sebagai sahabatlah yang mesti saling menasihati dan mengingatkan."

Seorang mukmin itu bersangka baik terhadap orang lain. Dihapuskan segala wasangka buruk yang terbit di dalam hati dengan alasan yang mungkin menjadi sebab sesuatu kelakuan dilakukan.

Dan seorang mukmin itu juga mempunyai sifat berhati-hati. Jangan bersangka baik tidak bertempat hingga meninggalkan langkah untuk berjaga-jaga.

Tatkala terbangun pada pukul 3 pagi, terdengar bunyi dari rumah jiran. Kelihatan susuk tubuh seorang lelaki yang bertopeng penuh di muka. Langsung tidak bertempat sangkaan baik mengandaikan bahawa tuan rumah yang bercuti di Pulau Langkawi baru sahaja pulang ke rumah sambil memakai topeng Spiderman sedang mengumpil pintu rumah sendiri.

Andai mulut tidak bisa berhenti daripada mengatakan sesuatu yang tidak berfaedah dan yang mungkin mengundang dosa, maka diam itu lebih baik.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia berkata akan yang baik atau hendaklah ia diam. Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan jirannya. Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan tamunya." (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)



Thursday, 23 May 2013

Allah Bersama Orang Yang Sabar



Tuhan yang beri kita rezeki, dan hanya Dia yang berkuasa mengambilnya semula.

Duit dalam genggaman kita, dalam akaun bank, dalam poket seluar mahu pun beg duit belum tentu lagi menjadi milik kita. Bila-bila saja kita mungkin kehilangannya.

Andai ditakdirkan kita mati hari ini, kita kembali kepada-Nya dengan tangan yang kosong.  Tanpa wang, tanpa harta. Semuanya milik Allah. Dan Dia berhak atas segalanya.

Allah swt berfirman;

"Dan ketahuilah bahawasanya harta dan anak itu sebagai ujian; sesungguhnya Allah pada sisi-Nya itu adalah ganjaran yang besar." - [Surah al-Anfal : 28]

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." - [Al-Baqarah 2:155]

Bila diuji, bersabarlah wahai hati.

Musibah datang dalam pelbagai cara. Musibah dan ujian merupakan tarbiyah daripada Allah bagi mereka yang celik hati dan akalnya.

Bila diuji, bagaimana penerimaan kita terhadap musibah tersebut? Apakah kita menerima ujian dari-Nya dengan hati yang terbuka, berlapang dada dan kembali muhasabah diri, memperbaiki kelemahan diri dan meningkatkan lagi amalan seharian..

Atau bagaimana?

Jarang sekali kita bersyukur dengan ujian yang diberikan. Sedangkan mungkin juga, ujian itu merupakan salah satu peringatan kepada kita, supaya kembali dekat kepada-Nya, agar perbanyakkan amalan kepada-Nya, menadah tangan bermohon doa kepada Dia.

Moga kita dijauhi dari api neraka dan dimasukkan ke syurga.

Kerana Dia kasihkan kita. Sekali-sekala Dia 'mengejutkan' kita dari lena yang panjang. Menyedarkan kita dari kealpaan dan kelalaian.

Kerana semuanya milik Dia. Dia memberi kepada sesiapa yang Dia ingini sebagaimana firman-Nya;

"Sesungguhnya Rab (Tuhan)mu melapangkan rezeki kepada sesiapa yang Dia (Allah) kehendaki dan menyempitkannya; sesungguhnya Dia (Allah) terhadap hamba-hamba-Nya (Allah) adalah al-Khabir (Maha Mengerti), lagi al-Basir (Maha Melihat)." - [Surah Al-Israk:30]

Wang dan harta yang kononnya milik kita juga bila-bila masa sahaja jika Dia mahu menariknya kembali, dengan pelbagai cara ia 'pergi' dari kita.

Contohnya tiba-tiba kita kehilangan wang, tercicir atau diragut. Atau mungkin bagi sesiapa yang miliki kereta, tetiba sahaja kereta rosak, atau tayar pecah atau terlanggar pokok, semuanya perlukan wang dan secara tidak lansung, duit itu keluar dari poket kita.

Allah swt berfirman berfirman lagi dalam surah Al-Ankabut, ayat ke-2;

"Adakah manusia mengira, bahawa mereka akan dibiarkan saja, dengan mengatakan: Kami telah beriman, padahal mereka belum lagi mendapat cubaan?"

Maka, bila Allah menguji kita dengan rezeki yang kita miliki. Buka mata. Muhasabahlah, periksa dan koreksi diri sendiri.

Peringatan buat diri saya sendiri adanya. Muhasabah diri sendiri. Mungkin ada sesuatu yang tidak kena, sesuatu yang bukan pada tempatnya yang telah kita lakukan dan Allah mahu 'menegur' kita dengan cara tersebut.

Diriwayatkan dari Anas bahwa Rasulullah bersabda;

"Apabila Allah menghendaki kebaikan pada seorang hamba-Nya maka Dia menyegerakan hukuman baginya di dunia; sedang apabila Allah menghendaki keburukan pada seorang hambaNya maka Dia menangguhkan dosanya sampai Dia penuhi balasannya nanti di hari Kiamat." - [Hadits riwayat At-Tirmidzi dan Al-Hakim]

Mungkinkah cara kita mendapatkan rezeki itu tidak diberkati oleh-Nya?

Atau mungkin kita lupa untuk mengeluarkan sebahagian dari harta kita ke jalan Allah?

Atau mungkin juga kita menyalahgunakan pinjaman Allah (contohnya kereta) dengan melakukan perkara-perkara yang dimungkari oleh Allah swt.

Suatu peringatan dari-Nya, agar kita tidak terus leka bergelumang dengan perkara-perkara yang dibenci oleh-Nya.

Atau mungkin Allah menguji kita kerana ingin melihat sejauh mana kita menerima ketentuan-Nya. Bersabar dengan dugaan yang telah Dia berikan kepada kita.

Bukankah Allah sayang kepada orang yang bersabar dan menerima ketentuan-Nya dengan hati yang tenang dan redha?

Firman Allah;

"Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." - [At-Taghabun:11].


Bersabarlah wahai hati, sesungguhnya Allah bersama dengan mereka yang sabar dan beriman kepada-Nya.

Allah berfirman lagi;

"Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat sekali kecuali bagi orang yang khusyuk." - [Surah al-Baqarah:45]

"Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar." - [Al-Baqarah:153]

Wahai hati, bersabarlah. Jangan berputus asa dan teruskanlah berjuang, mohonlah pertolongan dan perlindungan daripada Allah. Dan yakinlah bahawa cukuplah Allah sebagai penolong.

Bersabarlah wahai hati. Yakinlah bahawa Allah sentiasa ada bersamamu, bila ditimpa musibah, hadapilah segalanya dengan tabah dan ucapkanlah "Innalillahiwainnailaihirajiun". Sesungguhnya dari Allah kita datang, dan kepada-Nya juga kita kembali.

Sunday, 19 May 2013

Andai Cinta Belum Sepenuhnya Berpihak




Bagaimana rasanya jatuh cinta,
Bagaimana rasanya senyum lepas bahagia oleh hasrat yang bertaut,
Bagaimana pula ketika kemudian rasa itu berlabuh sempurna,
Indah bukan? mungkin lebih indah dari apapun..
Namun bagaimana jika nanti kecewa oleh nisbinya rasa,
Bagaimana ketika hasrat tak bertaut, rasa bertepuk sebelah tangan
Membayangkannya saja tiada hendak.

Mengutip sebuah petuah
“Meski sejatinya adalah anugerah,
Terkadang cinta memilih takdirnya sendiri”
Apapun hakikat cinta, melepas atau mempertahankan,
Membebaskan atau sepenuhnya mengekang
Terkadang semuanya banyak pilihan,
Terkadang keberpihakan akan membuat kita banyak belajar
Memilih atau meninggalkan, meneruskan atau menyudahi..

Maka sandarkanlah,
Andai kini benar-benar cintamu belum mampu berpihak,
Ikatkan mereka pada cinta hakiki,
Berawal karena Allah, berawal atas rahmatNya yang penuh cinta
Hingga cintamu berbuah keniscayaan.
Sandarkan sepenuhnya padaNya..

Friday, 22 March 2013

Aku Ingin Jadi Yang Terbaik



"Kehidupan dunia ini (jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan, dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, sekiranya mereka mengetahui." (Surah al-Ankabut , ayat 64)

Melihat kepada fenomena hari ini, terdapat pelbagai ragam manusia. Ada kehidupan mereka yang tidak berubah-ubah sedari kecil, remaja, dewasa, tua dan sehinggalah ajal datang menjemput. Tetapi ada juga yang berubah mengikut peredaran usia dan waktu serta keinginan hati mereka dalam mencari kebenaran dan arah tuju hidup.


KEINGINAN UNTUK BERUBAH

Sememangnya sudah fitrah manusia untuk kembali kepada kebenaran meskipun mereka adalah dari golongan seburuk-buruk dan sejahat-jahat manusia. Mungkin sukar untuk percaya, seorang yang digelar 'setan' itu jauh di sudut hatinya ingin menjadi seorang yang baik.

Keinginan untuk menjadi baik dan akhirnya menemui laluan ke arah kebaikan itulah sebenarnya yang dinamakan hidayah. Dengan kehendak Allah, hati yang telah ditutupi dan diselaputi dengan dosa dan noda, akan ada sedikit lubang kecil yang hanya dimuati laluan cahaya hidayah Allah untuk ditembusi terus ke dalam hati-hati manusia yang terpilih.

Sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nur ayat 35 yang bermaksud,

"Allah (memberi) nur (cahaya) langit dan bumi. Umpama cahaya-Nya seperti sebuah lubang di dinding rumah, di dalamnya ada pelita. Pelita itu di dalam gelas. Gelas itu seperti bintang yang berkilauan. Pelita itu dinyalakan dengan minyak pohon yang diberkati iaitu minyak zaitun yang (tumbuh) bukan di timur dan bukan di barat, minyak itu hampir bercahaya dengan sendirinya meskipun tiada disentuh api. Cahaya berdampingan dengan cahaya. Allah menunjuki sesiapa yang dikehendaki-Nya kepada cahaya-Nya itu. Allah menunjukkan beberapa contoh untuk manusia. Allah mengetahui setiap sesuatu."


BERSYUKUR

Tatkala kita merasakan kumpulan dosa terlalu banyak, janganlah kita berputus asa dari rahmat-Nya dan merasakan diri tiada tempat di sisi Allah untuk kembali ke pangkal jalan. Sebaliknya bersyukurlah, dengan terdetiknya sedikit penyesalan itu sebenarnya adalah satu bentuk hidayah Allah yang lahir tanpa kita sedari kecuali bagi mereka yang berfikir akan nikmat yang Allah berikan. Kerana dosa yang kita sedari itulah yang mendekatkan diri dengan Allah dan seterusnya melahirkan rasa kehambaan dalam diri dan mengakui kelemahan sebagai seorang manusia yang perlu bergantung kepada Sang Pencipta.


Berbanding dengan mereka yang berasa diri tidak pernah berbuat dosa dan sentiasa betul dalam kelakuan dan tindakan, ia cukup bahaya kerana tidak sedar diri mereka sudah berada jauh dari Allah. Mereka ini adalah golongan yang sombong dan tidak mengharapkan pertolongan Allah tetapi lebih kepada mengikut kata hati dan berbuat apa sahaja yang mendatang kebaikan dan keseronokan pada diri.

Apa yang terjadi hari ini, kita seringkali menolak seruan-seruan untuk kembali kepada Islam. Pelbagai alasan yang diberikan kerana merasakan diri masih muda dan belum tiba masanya untuk berubah. Alasan yang paling suka diberikan ialah 'belum sampai seru!' alasan tersebut langsung tidak munasabah. Mana mungkin kita mengharapkan sesuatu yang bernilai itu diberi secara percuma tanpa perlu berusaha untuk mendapatkannya!

Seringkali apabila kita diberikan ujian dan didatangkan suatu insiden barulah ia berjaya membuka hati kita untuk berubah. Insiden tersebutlah yang akhirnya mengetuk pintu hati kita untuk bertaubat dan kembali kepada jalan Allah. Kita dikira bernasib baik jika nyawa masih dikandung badan tetapi apa akan terjadi jika kita sudah tidak diberi peluang untuk bernafas dan menebus segala dosa-dosa lalu?

HIDAYAH NALURI

Hidayah datang dalam pelbagai bentuk. Bentuk yang pertama ialah hidayah naluri (keinginan). Hidayah ini adalah sesuatu yang semula jadi ada pada diri kita sejak dilahirkan ke dunia sebagai contoh, bayi yang baru dilahirkan akan menangis apabila lapar. Nalurinya inginkan makanan bagi menghilangkan rasa lapar. Yang kedua ialah hidayah melalui pancaindera. Semasa kecil, kita dapat mengenali dan membezakan sesuatu perkara dengan menggunakan pancaindera seperti mendengar suara ibu dan ayah atau dapat mengenali sesuatu objek. Kemudiannya hidayah dalam bentuk akal fikiran yang mana ia dikurniakan oleh Allah supaya dapat memandu kita berfikir secara rasional sebelum bertindak.

HIDAYAH AGAMA

Seterusnya ialah hidayah agama. Hidayah inilah yang menyelamatkan diri kita daripada kesesatan dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam dan beriman kepada Allah SWT. Ia dapat mendorong kita melakukan kebaikan dan meninggalkan larangan Allah sekali gus dapat membezakan antara perkara-perkara baik dengan perkara haram.





HIDAYAH TAUFIK

Yang terakhir ialah hidayah taufik yang mana merupakan tahap hidayah yang tertinggi kurniaan Allah kepada hambanya yang dikasihi. Tinggal sekarang, hidayah itu harus dijaga kerana nilainya tiada tara dan tidak dapat ditukar dengan apa pun. Ia menjaga kehidupan kita di dunia mahupun di akhirat kelak.

Hidayah pula diturunkan dalam dua cara iaitu hidayah pemberian makhluk sama ada dari kalangan para nabi, pendakwah ataupun sesiapa sahaja. Contohnya hidayah yang diturunkan melalui Nabi Muhammad agar membimbing umatnya beriman kepada Allah. Namun, hidayah taufik ini tidak mampu diberikan oleh makhluk tetapi hanya Allah yang berkuasa. Ia tiada pada Nabi Muhammad walaupun baginda adalah seorang Rasul sebagaimana firman Allah dalam surah al-Qashash ayat 56 yang bermaksud,

"Sesungguhnya engkau (ya Muhammad) tidak dapat memberi hidayah/petunjuk kepada orang yang engkau cintai, akan tetapi Allah lah yang memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki."

Adapun ciri-ciri orang yang sudah mendapat hidayah, mereka hebat beribadat seperti melakukan solat fardu dan sunat, mengeluarkan zakat dan rukun Islam yang lain, sentiasa memperuntukkan waktu untuk bertasbih dan bertahmid kepada Allah SWT selain mengerjakan keperluannya di dunia. Mereka ini tidak mampu melupakan Allah walau sesaat kerana begitu takut akan pembalasan di hari akhirat nanti. Mereka juga terlalu berhati-hati dalam setiap perlakuan agar tidak ditarik balik hidayah pemberian Allah.

Biarpun hidayah itu adalah pemberian Allah tetapi tidak bermakna kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu ia datang kepada kita. Hidayah perlu dicari dan boleh diusahakan jika kita benar-benar inginkannya dengan memohon kepada Allah. InsyaAllah, kita pasti akan diberikan hidayah.

Monday, 11 March 2013

Ya ALLAH Engkau Pemilik Hatiku



Aku lukiskan dalam diam
Bahawa hatiku butuh sebuah penghargaan
Yang dijaga dan menjaga
Mata dan hati bernama hamba

Istikharahku kian jelas berbicara
Bahawa inilah keharusan
Mencari yang lebih kekal dan hampir
Sedekat-dekat telingaku
Takkan pernah jatuhkan aku
Takkan pernah lemaskan aku
Bahkan memeluk diriku penuh rindu

Melepaskan bisikan yang berharap
Biar sunyi selamanya sunyi
Hati ku takkan dimiliki
Kerna jiwaku yang mengingini
Melepaskan bisikan yang berderap
Suci tanpa hubung
Sirna bersama cinta Agung

Allahurabbi
Allahurabbul Izzati
Pemilik hatiku
Istikharahku menetapkan segala
Bahawa kanku lepaskan segala
Lalu tawakkal penyambung cerita

Menitislah air mata
Kujatuhkan penuh bahagia
Kuusap penuh rela
Pada cintaku terpelihara
Hadirnya dengan izin Maha Kuasa

Saturday, 9 March 2013

Aku Dah Penat Berdoa!



Siapa yang tidak pernah rasa sedih? Siapa yang tidak pernah kecewa? Rasulullah S.A.W sendiri pernah rasa kecewa dan pernah berada dalam keadaan yang sangat sedih. Setiap orang pernah diuji dengan pelbagai dugaan berbentuk perasaan. Sedih, resah, adakalanya gembira dan ketawa dan pastinya tidak mampu terlepas dari perasaan kecewa juga.

Kecewa?

Satu perasaan di mana hadirnya mungkin kerana sesuatu yang diinginkan tidak dapat dimiliki seperti yang dibayangkan. Mungkin juga kecewa kerana kehendak hati tidak dapat dipenuhi.
Pernahkah anda mengalami situasi seperti ini?

"Aku sudah penat berdoa, tetapi Allah tidak pernah memakbulkan doa dan permintaanku. Aku sudah penat!"

Putus asa?

Ya, jelas sekali rasa putus asa yang terzahir dari situasi di atas. Kadang-kadang sepertinya kita menyalahkan takdir pula. Sedangkan Allah mengatur segalanya sesuai dengan keperluan dan kebaikan hamba-Nya. Kerana hanya Pencipta tahu apa yang diperlukan dan terbaik untuk ciptaan-Nya. Kadang-kadang apa yang kita mahukan tidak semestinya baik untuk kita, dan banyak pula perkara yang tidak kita senangi itu sebenarnya adalah baik untuk kita.

Sebagaimana penegasan Allah dalam kitab-Nya yang mulia al-Quran:

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui." (Surah al-Baqarah:ayat 216)

Persoalannya, wajarkah kita untuk kecewa? Kecewa itu fitrah perasaan. Tetapi bagaimana pula kiranya kalau kekecewaan itu menyebabkan kita berani menuding jari menyalahkan takdir ketentuan Allah?

Mungkin ramai di antara kita frust bila setiap yang diimpikan tidak menjadi kenyataan. Lalu, kita kecewa dan sedih. Kita berdoa tetapi tidak kesemuanya ditunaikan. Kecewakah? Nanti dulu, sahabat. Tanyalah pada diri. Bukankah setiap yang kita miliki saat ini tidak semuanya kita minta daripada Allah.

Tapi Allah dengan murah hati memberi sebelum kita minta. Allah tetap mengurniakan tanpa kita mengajukan kemahuan tersebut kepada-Nya.

Pernahkah kita minta pada Allah untuk dikurniakan oksigen agar kita dapat kita bernafas? Adakah kita setiap hari meminta izin daripada Allah untuk menggunakan kaki, tangan dan lain-lain anggota? Adakah kita pernah minta supaya Allah meminjamkan mata untuk melihat dan mulut untuk bercakap pada setiap hari? Besar kemungkinan jawapannya tidak, bukan?

Jadi mengapalah berkira andai baru sekali kita dibiarkan merasa kecewa. Bukankah ujian itu tanda sayangnya Allah pada hamba-Nya? Sebelum kecewa, nanti dulu. Berhentilah dan cubalah untuk berfikir kembali. Kenanglah segala nikmat yang Allah berikan sehingga tidak mampu kita kira apatah lagi untuk menyukatnya. Jangan hanya kerana kecewa, anda sudah terfikir untuk melakukan perkara yang bukan-bukan atau membunuh diri!

Jadi, tapislah kekecewaan kita supaya jangan kita melampaui batas dalam melayan rasa itu. Kekecewaan yang bermanfaat ialah kekecewaan yang membawa diri dan hati kita lebih dekat dan menyayangi Allah. Kekecewaan yang membahagiakan ialah di saat kebahagiaan itu berjaya mengukuhkan keyakinan hati kita dalam mengimani qada' dan qadar Allah.

Janganlah bersedih dan kecewa kerana di sebaliknya tersimpan kebahagiaan yang Allah hadiahkan sebagai hikmah-Nya.

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling Tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman." (Surah Ali Imran: ayat 139)

Wallahu'alam.