Fitrah manusia ingin disayangi dan menyayangi, ingin
dicintai dan menyintai, ingin dikasihi dan mengasihi, ingin dirindui dan
merindui. Dari yang si kecil sehinggalah dewasa. Semua menginginkannya. Hatta
Nabi Adam a.s sendiri menginginkannya. Walau pun diberi kebijaksanaan mengenal
seluruh isi bumi, dianugerahkan segala-galanya namun Nabi Adam a.s tetap terasa
sepi dan sunyi.
Maka lahirlah Hawa untuknya. Begitulah juga kita,
menginginkan untuk memiliki seseorang yang disayangi dan pada masa yang sama
turut dicintai.
Inginkan seseorang yang memiliki ciri-ciri yang sempurna
juga fitrah manusia. Menginginkan yang cantik, lawa, menarik dan mempesonakan
pandangan mata. Pendek kata yang memiliki keindahan, kekayaan, kebijaksanaan,
kejayaan. Semuanya menjadi pilihan. Dengan pelbagai usaha digunakan untuk
mendapatkannya, hinggalah ada yang sanggup bertumpahan darah seperti Qabil dan
Habil, bergadai nyawa seperti Laila dan Majnun, sehidup semati ibarat Romeo dan
Juliet.
Kerana ingin memiliki kasih sayang dan kononnya demi cinta
suci. Akhirnya terkubur jasad ke tanah tanpa pengakhiran yang membahagiakan.
Beginikah dikatakan ingin memiliki dan dimiliki. Apa yang pasti janji cuma
tinggal janji..
Agama tidak melarang seseorang menginginkan teman dalam
hidupnya. Namun apakah yang kita inginkan adalah yang kita perlukan? Adakah
pasti yang diingini akan kita miliki? Seseorang yang kita inginkan belum tentu
yang kita perlukan, dan seseorang yang kita perlukan juga belum tentu yang kita
inginkan. Jadi, mana yang akan dipilih, yang diinginkan ataukah yang
diperlukan? Ikut hati tentulah yang diingini tapi tanya akal pula pastilah yang
diperlukan. Alamak, akal dan hati sentiasa berperang dan bermusuhan.
Lantaran itulah Allah s.w.t turunkan Al-Quran sebagai
panduan dan sunnah Rasullullah s.a.w sebagai ikutan. Kandungannya banyak
memberi petunjuk jalan agar usaha dan keputusan yang kita lalui sentiasa lurus,
diredhai dan penuh keberkatan.
Malangnya, ramai antara kita belajar dari artis-artis Hollywood , Bollywood dan
entah apa entah wood lagi. Novel-novel, majalah-majalah cinta pula sebagai rujukan
utama. Maka, lahirlah ‘sektor perkapalan’ haram yang mengemudi bahtera bersama
kelasinya. Ke hulu ke hilir membelah lautan biru menuju ke destinasi bahagia,
kononnya. Tapi, yakinkah kita itulah kebahagiaan, itukah yang kita inginkan dan
adakah itu yang kita perlukan? Tatkala, ada di antara kita yang tidak
menginginkan seseorang itu sebagai teman hidupnya namun ditakdirkan menjadi
miliknya. Umpama Nabi Yusuf a.s menolak cinta Siti Zulaikha akhirnya menjadi
isteri yang paling disayangi dan dikasihi. Bukan didesak oleh keinginan hati
tapi kerana memerlukan insan seperti Siti Zulaikha, menjadi isteri kerana
Allah.
Kini, kenyataan telah terukir. Sesuatu yang kita perlukan
itulah yang kita inginkan. Maka agama itulah yang kita perlukan bukan selain
darinya. Sebagaimana yang tercoret dalam hadis Rasulullah s.a.w pilihlah
seseorang itu kerana kecantikannya, hartanya, keturunan dan agamanya. Maka,
pilihlah agamanya insya Allah kita akan temui kebahagiaan yang sebenar,
wallahua’lam..
No comments:
Post a Comment