Moga Ada Ruang Buatku

Friday, 26 October 2012

Cerita Ibu Buatmu




Suatu ketika, seorang anak bertanya kepada ibunya, “Ibu, mengapa ibu menangis?”
Ibunya menjawab, “Sebab ibu adalah perempuan, nak.” “Saya tak mengerti ibu,” kata si anak.
Ibunya hanya tersenyum dan memeluknya erat. “Nak, kau memang tak akan mengerti…” 

Kemudian si anak bertanya kepada ayahnya. “Ayah, mengapa ibu menangis?” “Ibumu menangis tanpa sebab yang jelas,” sang ayah menjawab. “Semua perempuan memang sering menangis tanpa alasan.” 


Si anak membesar menjadi remaja, dan dia tetap terus bertanya-tanya, mengapa perempuan menangis? Hingga pada suatu malam, ia bermimpi dan bertanya kepada Tuhan,


 “Ya Allah, mengapa perempuan mudah menangis?” Dalam mimpinya ia merasa seolah mendengar jawapannya: 

“Saat Ku ciptakan wanita, Aku membuatnya menjadi sangat utama. Kuciptakan bahunya, agar mampu menahan seluruh beban dunia dan isinya, walaupun juga bahu itu harus cukup nyaman dan lembut untuk menahan kepala bayi yang sedang tertidur.

 “Ku berikan wanita kekuatan untuk dapat melahirkan bayi dari rahimnya, walau kerap berulangkali menerima cerca dari si bayi itu apabila ia telah membesar. 

 “Kuberikan keperkasaan yang akan membuatnya tetap bertahan, pantang menyerah saat semua orang sudah putus asa. “Ku berikan kesabaran jiwa untuk merawat keluarganya walau dia sendiri letih, walau sakit, walau penat, tanpa berkeluh kesah. 

 “Kuberikan wanita perasaan peka dan kasih sayang untuk mencintai semua anaknya dalam kondisi dan situasi apapun. Walau acapkali anak-anaknya itu melukai perasaan dan hatinya. Perasaan ini pula yang akan memberikan kehangatan pada anak-anak yang mengantuk menahan lelap. Sentuhan inilah yang akan memberikan kenyamanan saat didekap dengan lembut olehnya.

 “Kuberikan wanita kekuatan untuk membimbing suaminya melalui masa-masa sulit dan menjadi pelindung baginya. Sebab bukannya tulang rusuk yang melindungi setiap hati dan jantung agar tak terkoyak.

 “Kuberikan kepadanya kebijaksanaan dan kemampuan untuk memberikan pengertian dan menyedarkan bahwa suami yang baik adalah yang tak pernah melukai isterinya. Walau seringkali pula kebijaksanaan itu akan menguji setiap kesetiaan yang diberikan kepada suami agar tetap berdiri sejajar, saling melengkapi dan saling menyayangi.  

“Dan akhirnya, Kuberikan ia air mata, agar dapat mencurahkan perasaannya. Inilah yang khusus kepada wanita, agar dapat ia gunakan bila masa pun ia inginkan. Ini bukan kelemahan bagi wanita, kerana sebenarnya air mata ini adalah


“air mata kehidupan.”

Thursday, 18 October 2012

Tangisan Hamba


Air mata ibarat butiran mutiara yang sangat cantik. Namun kecantikan itu hanya terjelma dari sebuah kesedihan dan keluluhan hati. Kesedihan membuahkan kecantikan. Sungguh ianya dapat mendamaikan sekeping hati yang rawan.

Air mata ibarat embun yang menitis, sungguh menyegarkan. Namun kesegaran itu hanya bisa terjelma setelah melalui malam panjang yang dingin dan gelita. Sungguh ironi, ianya dapat menenangkan hati yang terluka.
Air mata ibarat hujan yang merenyai, sungguh menyejukkan. Namun kesejukkan itu hanya mampu terjelma setelah mendung yang menduga. Sungguh kerana  ianya mampu melegakan gelojak jiwa.
Namun, disebalik semua kesimpulan ini, apakah nilai sebenar sebuah tangisan?

Percayakah jika ku katakan hati itu adalah sangat keras? Lebih keras dari batu. Sedangkan batu bila dihempap air betubi-tubi lama-lama akan terbelah jua ianya. Demikianlah ku rasakan hatiku juga sungguh keras.
Kali terakhir air mata membelai pipi kira-kira 8-9 tahun yang lalu. Melihat orang menangis tidak meninggalkan sebarang kesan dihati. Mungkin sebak, namun tiada istilah tangisan dalam hidup. Mendengar ayat Al-Quran dibacakan ibarat tiada kesan. Bukan telinga yang dipekakkan, tetapi hati yang ditulikan. Tuli dari merasakan getarnya amaran Allah dalam Al-Quran, tuli dari merasakan cinta pada Rabb dan Rasul.


Mungkin hati itu tidak pernah merasa apa itu cinta sebenar kerana ia telah tertutup untuk merasakan cinta pada Allah dan Rasul. Mendengarkan penderitaan Rasulullah dan Sahabat langsung tidak meninggalkan parut di hati.

"Allah telah mengunci hati dan pendengaran mereka, penglihatan mereka telah tertutup, dan mereka akan mendapar azab yang amat berat"
(Surah al-Baqarah ayat 7)
Maka, apa lagi gunanya hatiku ini. Tidak mampu lagi merasa Kasih dan Sayang Allah padaku. Hati menjadi keras kerana noda-noda hitam telah membalutinya. 'Cirrhosis' jika mengikut istilah perubatan. Hati yang telah keras dan buruk sehingga menjejaskan anggota tubuh badan yang lain. Selayaknya menjalani pembedahan menggantikannya dengan hati yang baru. Teringat Firman Allah;

"Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambahkan penyakit itu, dan mereka mendapat azab yang pedih kerana mereka berdusta"
(Surah al-Baqarah ayat 10)
Namun, di satu ketika, Allah menimpakan musibah untuk diriku.. air mata lah yang menjadi suri peneman hidupku. Tatkala mencari ruang untuk mencari kekuatan, air Mata juga lah yang menjadi penawar tiap kedukaan yang menyapaku. Entah mengapa, air mata ini sering tumpah saat merasakan kesengsaraan hati yang tidak terperi. Ku cuba selongkar tiap hikmah yang tersirat di dalam ujian yang dihantarkan kepadaku.




Ibarat terpenjara dalam satu sangkar emosi yang dikurung rapat. Hati hanya mampu menangis. Tatkala berjalan sendirian, air mata mahu berjurai, namun digagahi jua agar tidak menangis di tengah jalan saat orang ramai di sepanjang jalanan. Saat berkurung dibilik, air mata berjurai laju. Saat ke kelas, air mata ditahankan sepenuh hati agar tidak bisa ternampak oleh rakan-rakan.

Allah itu Maha Mengetahui. Hati yang keras dan kalis tangisan, kini lebur. Begitu berat ujian yang diberikan Allah sehingga hati yang keras telah cair dibasahi tangisan. Menangisi kehidupan yang kian suram, menangisi cinta yang lahir dari syaitan, menangisi masa depan yang tak mampu difaham, menangisi hari-hari yang berlalu sebegitu sahaja, menangisi kegembiran yang berlalu di depan mata, tapi tidak mampu merasainya.

Tangisan itu hanya semata-mata untuk dunia. Menangisi dunia yang kian lepas dari genggaman. Terleka dan terlupa, bahawa Allah menginginkan dunia itu untuk pergi, pergi meninggalkan. Satu hari, aku meluahkan apa yg terbuku dihati pada seorang sahabat.

Lalu dia bertanya padaku, "Untuk apakah dan siapakah tangisanmu sedangkan seharusnya tangisan mu di hadapan Allah?"
Aku menjawab pertanyaan tersebut dengan sebuah pertanyaan " Untuk siapa kau rasa?" dan berlalu pergi tanpa menunggu sebuah jawapan. Kemudian, aku kembali tertanya, untuk apa dan siapa tangisan ku ini?
Aku kembali teringat akan satu peristiwa dipagi hari, saat tidur di kamar sahabat tersebut, terjaga di sepertiga malam, terdengar sendu tangisnya di dalam tahajjud, cintanya bersujud menghadap Ilahi. Hati turut menjadi sayu mendengar sendunya, tetapi tertanya mengapa dia menangis? Aku bertanya padanya selepas itu " Mengapakah kau menangis?". Jawabnya, " Kerana aku merasa sungguh kerdil di hadapan Allah, maka aku menangis".





Mendengarkan jawapan tersebut aku terpana. Aku tertanya, jika tangisnya untuk Allah, maka untuk siapakah tangisku? Baru kusedar, tangisan ku hanya untuk dunia, maka ia tiada nilai. Pernah ku terbaca sebuah hadith Nabi dalam sebuah buku karangan Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Rasulullah S.A.W menyatakan bahawa diakhirat kelak, antara golongan manusia yang mendapat perhatian Allah SWT ialah mereka yang menangis kerana Allah Taala. Allah SWT berseru, " Dimanakah hamba-hamba-Ku yang menangis?" Lalu Allah SWT memerintahkan para Malaikat-Nya supaya membawa hamba-hamba-Nya yang menangis di siang hari lebih lebih lagi di malam hari kerana mengenangkan dosa-dosa mereka.

Sebanyak mana air mata yang mengalir kerana takutkan kemurkaan Allah, maka ia akan ditimbang bersama-sama dengan darah para syuhada yang tumpah kerana memperjuangkan dan mempertahankan agama Allah. 

Air mata itu juga akan ditimbang bersama-sama dengan dakwat ulama yang telah menulis berbagai-bagai kitab yang memperjelaskan hukum-hakam dan syariat Allah SWT supaya difahami dan diamalkan oleh manusia.

Betapa besar nilai sebuah tangisan yang belum kita faham. Jauh dari kefahaman itulah, air mata itu tumpah hanya sia-sia.
Kini baru kufahami hikmah disebalik ujian yang sangat berat yang telah kuhadapi. Allah ingin melembutkan hati yang telah keras. Hati yang perlu dibasahi dengan tangisan menghadap-Nya. Namun, Allah tidak membiarkanku lemas dalam lautan air mata dunia. Di datangkan seorang sahabat setia untuk mengingati yang terlupa walau selaut dosa kuhampar padanya. Bahawa sesungguhnya, tangisan itu hanya selayaknya untuk Allah sahaja. Sungguh Allah Maha Bijaksana dan Maha Mengasihani. Memberi ujian untuk hamba-Nya dalam segunung hikmah yang sukar difahami.

Maka, tanyalah kembali diri kita, kemana telah tumpahnya air mata kita?Adakah dihadapan Allah kerana takutkan dosa yang menggunung sedangkan amal tidak bertambah? Atau didepan dunia yang hanya sementara. Kiralah berapa banyak tumpahnya air mata untuk kekasih hati bila putus cinta? Kiralah betapa banyak air mata tumpah kerana kehilangan harta disayangi. 

Kiralah berapa banyak air mata tumpah mengenangkan ahli keluarga tersayang yang telah pergi. Kiralah berapa banyak air mata yang tumpah kerana perkara yang sia-sia. Kiralah air mata itu, walau selautan jumlahnya, namun tangisan itu tiada bermakna. Tidak bernilai disisi Allah Taala, kerana ia bukan tumpah kerana cinta dan kasih hanya kepada-Nya.

Di akhirat kelak, Allah akan mengurniakan sebuah bendera yang berwarna warni kepada golongan air mata yang tumpah hanya pada-Nya. Meraka akan berada dibawah panji-panji itu yang diserahkan kepada Nabi Nuh sebagai ketuanya.
Nabi Nuh As dipilih mengetuai golongan air mata kerana pengalaman hidupnya yang dipenuhi pelbagai kepahitan, kesengsaraan, ancaman dan tentangan. Tatkala Rasulullah SAW bersedih kerana perjuangan baginda yang sukar, Allah mewahyukan perihal Nabi Nuh, yang jauh lebih getir perjuangannya untuk memotivasikan Baginda dan para sahabat.

Dicelah-celah kegersangan hati dan sukma, basahkan lah ia dengan tangisan sebagai sebenar-benar hamba.. Alirkanlah ia dan persembahkanlah hanya kepada Allah semata. Sudah terlalu banyak air mata yang tumpah sia-sia kerana dunia. Kini biar la ia tumpah di medan perjuangan ini, bukan kerana sedih atau berputus asa, tetapi kerana mendamba kasih dan Rahmat Ilahi dan cinta baginda, Muhammad SAW.

Sungguh besar nilai sebuah tangisan untuk Ilahi itu, umpama besarnya seperti darah syuhada' dan dakwat para ilmuan. Tangisan yang lahir dari hati yang mendambakan Allah bukan mudah untuk datang. Maka, ku syukuri setiap ujian yang menduga kerana dengan ujian itulah hati yang keras menjadi lembut. Hanya dengan ujianlah membawa hati lebih ingat kepada tuhanku dan hanya dengan ujian hati ini sentiasa tenang dalam rahmatNya.

"Ya Allah anugerahkanlah aku sebuah tangisan yang lahir atas cintaku hanya pada-Mu, sungguh aku rindu pada tangisan menghadap-Mu"

Wednesday, 17 October 2012

Aku dikeheningan

 Alhamdulillah saat ini Allah masih bagi kekuatan serta kesempatan dalam meneruskan hari-hari di muka bumi Allah ini. Segala puji bagi Allah Tuhan yang menguasai semesta alam yang dalam genggamannya. Hebat aturan Allah ini kadang kala buat aku rasa dekat padaNya walaupun kadang kala terfikir kenapa aku di uji dengan ujian sebegini rupa, namun di sebalik ujian ini tersingkap sebuah hadiah terindah dariNya.

 Ya Allah kenapa hati ini terlalu mudah jatuh, mudah terpaut, mudah tertarik dan segalanya mudah. Aku kadang kala terasa perih untuk menahan rasa ini, namun aku tahu inilah ujian Allah berikan padaku buat aku terus mengingatiNya saat susah dan senang. Aku boleh katakan yang saat ini aku pendam rasa ini, aku bagaikan tak layak untuk milikinya dengan kelebihan dirinya yang jauh lebih baik dari aku yang banyak kekurangan ini, Ya Allah bantulah aku dalam bersabar menanti dia pilihan hatiku.




Dalam masalah hati melanda duniaku, aku juga diuji dengan ujian kehidupan harian yang berliku, Ya Allah tak layak aku mengeluh dalam aturanmu ini, bari sikit Allah uji aku dah tak mampu hadapi.. Allah..

Tafsir Al-Quran: Surah Al-Ankabut, Ayat 2 & 3

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.

Sabarlah wahai diri, andai ini ketentuan ilahi tabahkan hatimu untuk menempuhi..

Monday, 15 October 2012

Langkah Menuju Ilahi




Dalam pekatnya malam
Terlalu banyak titik noda yang menggelapkan hati
Dihujani dan diterjah pelbagai persoalan
Sering kali menghantui
Masihkah punya ruang untukku bertemuMu.

Banyaknya memikirkan bagaimana dan kenapa
Tak kan pernah menemukanku jalannya
Hanya dengan satu bicara
Aku harus memulakannya
Tanpa ragu dan jemu
Tanpa bertangguh dan tunggu.

Seringkali rasa jauh itu menerpa
Terasa meronta-ronta sebuah jiwa
Minta dilepaskan pergi rasa itu
dicampakkan ke satu daerah
yang tak kan pernah bisa ia bangkit kembali.

Namun....
Rasa hanya tinggal rasa
Selagi mana belum tercipta  pembuktian
Tanda kasih dan cinta kepadaNya

Ya Allah
Sungguh hinanya diri ini
Seringkali langkah ini berpaling dariMu
Membiarkan debu dosa bertamu
Disegenap ruang nadi
Kini, ku sedar
KekuasaanMu melebihi segala.

Ya Allah
Tatkala bersamaMu saban malam
Terasa begitu indah nikmatMu
Damai terasa disegenap ruang
meneroka seluruh jiwa dan jasad.

Ya Allah
Lapang dan indahnya saat sujudku
Hanya padaMu ku mencurah segala
Kepahitan dan kesakitan
Kian tidak terasa
Pergi menjauh saat dahi mencecah sejadah

Ya Allah
Istiqamahkanlah diriku
Moga aku tidak datang kepadaMu
Dalam keadaan Engkau tidak redha
Moga saat hembus nafasku
Terukir senyuman indah
Menghiasi seri wajah

Ya Allah
Seringkali aku meminta
Pada setiap akhir sujudku
Moga kasih dan cintaMu
Hadir setiap saat dan waktu
Mendamaikan hati yang lesu
Menguatkan diri yang kaku
Menghadirkan cinta padaku
Mengelola seluruh hidupku.

Sunday, 14 October 2012

Siapa kita??


 

Siapakah orang yang sombong?
Orang yang sombong adalah orang yang di beri penghidupan tapi tidak mahu sujud pada yang menjadikan kehidupan itu iaitu Allah Rabbul Alaamin, Tuhan sekelian alam. Maka bertasbihlah segala apa yang ada   di bumi dan langit pada TuhanNya kecuali jin danmanusia yang sombong diri.
 
Siapakah orang yang telah mati hatinya?
Orang yang telah mati hatinya adalah orang yang diberi petunjuk melalui ayat-ayat Qur'an, Hadith dan cerita2 kebaikan namun merasa tidak ada apa2 kesan di dalam jiwa untuk bertaubat.
 
Siapakah orang dunggu kepala otaknya?
Orang yang dunggu kepala otaknya adalah orang yang tidak mahu lakukan ibadat tapi menyangka bahawa Tuhan tidak akan menyiksanya dengan kelalaiannya itu dan sering merasa tenang dengan kemaksiatannya.
 
Siapakah orang yang kuat?
Orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan kemarahannya ketika ia di dalam kemarahan.
 
Siapakah orang yang lemah?
Orang yang lemah adalah orang yang melihat akan kemaksiatan di depan matanya tidak sedikit pun ada kebencian di dalam hatinya akan kemungkaran itu.
 
Siapakah orang yang bakhil?
Orang yang bakhil lagi kedekut adalah orang yang berat lidahnya untuk membaca selawat keatas junjungan Rasulullah s.a.w.
 
Siapakah orang yang buta?
Orang yang buta adalah orang yang tidak mahu membaca dan meneliti akan kebesaran Al Qur'an dan tidak mahu mengambil pelajaran daripadanya.
 
Siapakah orang yang tuli?
Orang yang tuli adalah orang yang di beri nasihat dan pengajaran yang baik namun tidak diendahkannya.
 
Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s.
 
Siapakah orang yang manis senyumanya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang di timpa musibah lalu dia kata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.
 
Siapakah orang yang menangis airmata mutiara?
Orang yang menangis airmata mutiara adalah orang-orang yang sedang bersendiri lalu mengingat akan kebesaran Tuhan dan menyesal akan dosa-dosanya lalu mengalir airmatanya.
 
Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak loba akan kenikmatan dunia yang sementara ini.
 
Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.
 
Siapakah orang yang pandai?
Orang yang pandai adalah orang yang bersiap siap untuk hari kematiannya kerana dunia ini berusia pendek sedangakhirat kekal abadi
 
Siapakah orang yang bodoh?
Orang yang bodoh adalah orang yang beriya-iya berusaha sekuat tenaga untuk dunianya sedangkan akhiratnya diabaikan.
 
Siapakah orang yang maju dalam hidupnya?
Orang yang maju dalam hidupnya adalah orang-orang yang senantiasa mempertingkat ilmu agamanya.
 
Siapakah orang-orang yang mundur hidupnya?
Orang yang mundur dalam hidupnya adalah orang yang tidak memperdulikan akan halal dan haramnya akan sesuatu perkara itu.
 
Siapakah orang yang gila itu?
Orang yang gila itu adalah orang yang tidak sembahyang kerana hanya dua syarat saja yang memperbolehkan akan seorang itu meninggalkan sembahyang, pertama sekiranya ia haid dan kedua ketika ia tidak siuman akalnya.
 
Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikkan.
 
Siapakah orang yang selalu ditipu?
Orang yang selalu di tipu adalah orang muda yang menyangka bahawa kematian itu berlaku hanya pada orang tua.
 
Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.
 
Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaska saujana mata memandang.
 
Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.
 
Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka.