Setiap manusia yang berpeluang hidup di muka bumi ini pasti
mengalami perasaan cinta. Manusia memang
dilahirkan secara fitrahnya mempunyai perasaan cinta.
Seorang ibu sanggup berkorban nyawa untuk anaknya kerana
cintanya kepada anak.
Seorang bapa sanggup berkorban harta dan tenaga kerana perasaan
cintanya kepada keluarga.
Seorang penuntut sanggup mengharungi susah dan payah kerana
cintanya kepada ilmu.
Seorang perwira sanggup berkorban jiwa kerana cintanya
kepada tanahair.
Seorang hartawan sanggup berkorban masa dan maruah kerana
cintanya kepada harta.
.. dan seorang pencinta kononnya sanggup merentasi lautan
berapi lantaran cintanya kepada kekasihnya.
Secara dasarnya, kita sanggup berbuat apa sahaja
kerana ingin menjaga dan mengejar cinta
Itulah cinta. Ia
fitrah. Dan ia juga boleh menjadi
fitnah.
Ia boleh menjadikan seseorang mulia atau hina. Ia bisa merubah manusia menjadi lebih baik di
sisi Tuhan dan manusia, dan ia juga bisa
menjatuhkan nilai seseorang dari sudut pandangan Tuhan dan manusia.
Sudah lama kita menjalani kehidupan ini, dan sudah banyak
kali perkataan 'cinta' kita ungkapkan dan luahkan.
Di kesempatan yang terbatas ini, marilah kita
bermuhasabah. Muhasabah tentang
cinta. Mudah-mudahan muhasabah ini bisa
menyedarkan kita semua akan di mana letak duduknya rasa cinta kita? Di tempat yang sepatutnyakah? Atau sudah tersasarkah cinta kita selama ini?
01.Orang yang beriman sangat cinta kepada ALLAH
"Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah
tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka
mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat cinta kepada
Allah..." - [Al-Baqarah: 165]
02.Amaran Kepada Yang Meletakkan Cinta Kepada Mahkluq
Melebihi Cinta Kepada ALLAH
Katakanlah: "Jika bapa-bapa, anak-anak,
saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu
usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang
kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad
di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya."
"Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik." -
[At-Taubah: 24]
Cukuplah dengan dua ayat al-Quran di atas bagi kita mula
bermuhasabah.
Jika selama ini kita telah meletakkan cinta dan perhatian
kepada makhluq, nah mulai hari ini marilah kita letakkan semula rasa cinta dan
kasih itu di tempat yang sepatutnya.
Menyedari bahawa meletakkan cinta kepada ALLAH mengatasi
segala-galanya, kita mesti membuktikan rasa cinta itu.
Tidak cukup dengan hanya kalimah "aku cintakan
ALLAH" atau "ALLAH adalah segala-galanya buatku" atau seumpama
dengannya. Ia mesti dibuktikan!
ALLAH subhanahu wata'ala telah berfirman di dalam al-Quran
tentang pembuktian cinta kepada ALLAH adalah dengan mengikuti segala suruhan
dan perintah yang telah disampaikan oleh Rasulullah sallAllahu 'alaihi
wasallam:
Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah,
ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu."
"Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." - [Ali-Imran: 31]
Justeru, bagi merealisasikan rasa cinta kepada ALLAH, kita
juga mesti meletakkan rasa patuh dan cinta kepada Rasulullah sallAllahu 'alaihi
wasallam. Al-hubb (cinta) dan al-ittiba' (ikut) Rasulullah sallAllahu 'alaihi
wasallam adalah suatu yang dituntut agama.
Muslimin-muslimat sekalian,
Sudah banyak rasa kecewa menyinggahi jiwa kita. Sudah tidak terkira kita rasa sedih apabila
orang yang kita cintai membuat sesuatu yang tidak kita sukai. Sudah acap kali kita didatangi keresahan
apabila harta yang kita cintai hilang atau berubah hakmilik. Ya, cinta kepada makhluk pasti mengundang
kekecewaan.
Sekiranya cinta dan kasih diletakkan kepada ALLAH melebihi
rasa cinta kita kepada makhluqNYA, nescaya kita tidak akan didatangi
kecewa. Sedih yang melanda akan segera
terubat apabila cinta kepada ALLAH menguasai jiwa. Malah, jiwa akan hidup dalam ketenangan dan
kemanisan iman akan mula menyerap ke dalam jiwa.
Hadis riwayat Anas radhiAllahu 'anhu, dia berkata bahawa
Nabi sallAllahu 'alaihi wasallam bersabda:
"Ada tiga hal yang barang siapa mengamalkannya, maka ia
dapat menemukan manisnya iman, yaitu orang yang lebih mencintai Allah dan
Rasul-Nya daripada yang lain, mencintai orang lain hanya karena Allah, tidak
suka kembali ke dalam kekufuran (setelah Allah menyelamatkannya) sebagaimana ia
tidak suka dilemparkan ke dalam neraka." - [Shahih Muslim No.60]
Semoga tulisan yang ringkas ini bisa mencetus rasa ingin
memperbaiki rasa cinta kepadaNYA.
Mudah-mudahan kita semua tergolong di dalam kumpulan manusia yang
meletakkan dambaan cinta dan redha ALLAH sebagai yang terutama, amin.
Wallahu A'lam.
No comments:
Post a Comment