Air mata ibarat butiran mutiara yang sangat cantik. Namun
kecantikan itu hanya terjelma dari sebuah kesedihan dan keluluhan hati.
Kesedihan membuahkan kecantikan. Sungguh ianya dapat mendamaikan sekeping hati
yang rawan.
Air mata ibarat embun yang menitis, sungguh menyegarkan.
Namun kesegaran itu hanya bisa terjelma setelah melalui malam panjang yang
dingin dan gelita. Sungguh ironi, ianya dapat menenangkan hati yang terluka.
Air mata ibarat hujan yang merenyai, sungguh menyejukkan.
Namun kesejukkan itu hanya mampu terjelma setelah mendung yang menduga. Sungguh
kerana ianya mampu melegakan gelojak
jiwa.
Namun, disebalik semua kesimpulan ini, apakah nilai sebenar
sebuah tangisan?
Percayakah jika ku katakan hati itu adalah sangat keras?
Lebih keras dari batu. Sedangkan batu bila dihempap air betubi-tubi lama-lama
akan terbelah jua ianya. Demikianlah ku rasakan hatiku juga sungguh keras.
Kali terakhir air mata membelai pipi kira-kira 8-9 tahun
yang lalu. Melihat orang menangis tidak meninggalkan sebarang kesan dihati.
Mungkin sebak, namun tiada istilah tangisan dalam hidup. Mendengar ayat
Al-Quran dibacakan ibarat tiada kesan. Bukan telinga yang dipekakkan, tetapi
hati yang ditulikan. Tuli dari merasakan getarnya amaran Allah dalam Al-Quran,
tuli dari merasakan cinta pada Rabb dan Rasul.
Mungkin hati itu tidak pernah merasa apa itu cinta sebenar
kerana ia telah tertutup untuk merasakan cinta pada Allah dan Rasul.
Mendengarkan penderitaan Rasulullah dan Sahabat langsung tidak meninggalkan
parut di hati.
"Allah telah mengunci hati dan pendengaran mereka,
penglihatan mereka telah tertutup, dan mereka akan mendapar azab yang amat
berat"
(Surah al-Baqarah ayat 7)
Maka, apa lagi gunanya hatiku ini. Tidak mampu lagi merasa
Kasih dan Sayang Allah padaku. Hati menjadi keras kerana noda-noda hitam telah
membalutinya. 'Cirrhosis' jika mengikut istilah perubatan. Hati yang telah
keras dan buruk sehingga menjejaskan anggota tubuh badan yang lain. Selayaknya
menjalani pembedahan menggantikannya dengan hati yang baru. Teringat Firman
Allah;
"Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambahkan
penyakit itu, dan mereka mendapat azab yang pedih kerana mereka berdusta"
(Surah al-Baqarah ayat 10)
Namun, di satu ketika, Allah menimpakan musibah untuk
diriku.. air mata lah yang menjadi suri peneman hidupku. Tatkala mencari ruang
untuk mencari kekuatan, air Mata juga lah yang menjadi penawar tiap kedukaan
yang menyapaku. Entah mengapa, air mata ini sering tumpah saat merasakan
kesengsaraan hati yang tidak terperi. Ku cuba selongkar tiap hikmah yang
tersirat di dalam ujian yang dihantarkan kepadaku.
Ibarat terpenjara dalam satu sangkar emosi yang dikurung
rapat. Hati hanya mampu menangis. Tatkala berjalan sendirian, air mata mahu
berjurai, namun digagahi jua agar tidak menangis di tengah jalan saat orang
ramai di sepanjang jalanan. Saat berkurung dibilik, air mata berjurai laju.
Saat ke kelas, air mata ditahankan sepenuh hati agar tidak bisa ternampak oleh
rakan-rakan.
Allah itu Maha Mengetahui. Hati yang keras dan kalis
tangisan, kini lebur. Begitu berat ujian yang diberikan Allah sehingga hati
yang keras telah cair dibasahi tangisan. Menangisi kehidupan yang kian suram,
menangisi cinta yang lahir dari syaitan, menangisi masa depan yang tak mampu
difaham, menangisi hari-hari yang berlalu sebegitu sahaja, menangisi kegembiran
yang berlalu di depan mata, tapi tidak mampu merasainya.
Tangisan itu hanya semata-mata untuk dunia. Menangisi dunia
yang kian lepas dari genggaman. Terleka dan terlupa, bahawa Allah menginginkan
dunia itu untuk pergi, pergi meninggalkan. Satu hari, aku meluahkan apa yg
terbuku dihati pada seorang sahabat.
Lalu dia bertanya padaku, "Untuk apakah dan siapakah
tangisanmu sedangkan seharusnya tangisan mu di hadapan Allah?"
Aku menjawab pertanyaan tersebut dengan sebuah pertanyaan
" Untuk siapa kau rasa?" dan berlalu pergi tanpa menunggu sebuah
jawapan. Kemudian, aku kembali tertanya, untuk apa dan siapa tangisan ku ini?
Aku kembali teringat akan satu peristiwa dipagi hari, saat
tidur di kamar sahabat tersebut, terjaga di sepertiga malam, terdengar sendu
tangisnya di dalam tahajjud, cintanya bersujud menghadap Ilahi. Hati turut
menjadi sayu mendengar sendunya, tetapi tertanya mengapa dia menangis? Aku
bertanya padanya selepas itu " Mengapakah kau menangis?". Jawabnya,
" Kerana aku merasa sungguh kerdil di hadapan Allah, maka aku
menangis".
Mendengarkan jawapan tersebut aku terpana. Aku tertanya,
jika tangisnya untuk Allah, maka untuk siapakah tangisku? Baru kusedar,
tangisan ku hanya untuk dunia, maka ia tiada nilai. Pernah ku terbaca sebuah
hadith Nabi dalam sebuah buku karangan Tok Guru Nik Abdul Aziz.
Rasulullah S.A.W menyatakan bahawa diakhirat kelak, antara
golongan manusia yang mendapat perhatian Allah SWT ialah mereka yang menangis
kerana Allah Taala. Allah SWT berseru, " Dimanakah hamba-hamba-Ku yang
menangis?" Lalu Allah SWT memerintahkan para Malaikat-Nya supaya membawa
hamba-hamba-Nya yang menangis di siang hari lebih lebih lagi di malam hari
kerana mengenangkan dosa-dosa mereka.
Sebanyak mana air mata yang mengalir kerana takutkan
kemurkaan Allah, maka ia akan ditimbang bersama-sama dengan darah para syuhada
yang tumpah kerana memperjuangkan dan mempertahankan agama Allah.
Air mata itu
juga akan ditimbang bersama-sama dengan dakwat ulama yang telah menulis
berbagai-bagai kitab yang memperjelaskan hukum-hakam dan syariat Allah SWT
supaya difahami dan diamalkan oleh manusia.
Betapa besar nilai sebuah tangisan yang belum kita faham.
Jauh dari kefahaman itulah, air mata itu tumpah hanya sia-sia.
Kini baru kufahami hikmah disebalik ujian yang sangat berat
yang telah kuhadapi. Allah ingin melembutkan hati yang telah keras. Hati yang
perlu dibasahi dengan tangisan menghadap-Nya. Namun, Allah tidak membiarkanku
lemas dalam lautan air mata dunia. Di datangkan seorang sahabat setia untuk
mengingati yang terlupa walau selaut dosa kuhampar padanya. Bahawa
sesungguhnya, tangisan itu hanya selayaknya untuk Allah sahaja. Sungguh Allah
Maha Bijaksana dan Maha Mengasihani. Memberi ujian untuk hamba-Nya dalam
segunung hikmah yang sukar difahami.
Maka, tanyalah kembali diri kita, kemana telah tumpahnya air
mata kita?Adakah dihadapan Allah kerana takutkan dosa yang menggunung sedangkan
amal tidak bertambah? Atau didepan dunia yang hanya sementara. Kiralah berapa
banyak tumpahnya air mata untuk kekasih hati bila putus cinta? Kiralah betapa
banyak air mata tumpah kerana kehilangan harta disayangi.
Kiralah berapa banyak
air mata tumpah mengenangkan ahli keluarga tersayang yang telah pergi. Kiralah
berapa banyak air mata yang tumpah kerana perkara yang sia-sia. Kiralah air
mata itu, walau selautan jumlahnya, namun tangisan itu tiada bermakna. Tidak
bernilai disisi Allah Taala, kerana ia bukan tumpah kerana cinta dan kasih
hanya kepada-Nya.
Di akhirat kelak, Allah akan mengurniakan sebuah bendera
yang berwarna warni kepada golongan air mata yang tumpah hanya pada-Nya. Meraka
akan berada dibawah panji-panji itu yang diserahkan kepada Nabi Nuh sebagai
ketuanya.
Nabi Nuh As dipilih mengetuai golongan air mata kerana
pengalaman hidupnya yang dipenuhi pelbagai kepahitan, kesengsaraan, ancaman dan
tentangan. Tatkala Rasulullah SAW bersedih kerana perjuangan baginda yang
sukar, Allah mewahyukan perihal Nabi Nuh, yang jauh lebih getir perjuangannya
untuk memotivasikan Baginda dan para sahabat.
Dicelah-celah kegersangan hati dan sukma, basahkan lah ia
dengan tangisan sebagai sebenar-benar hamba.. Alirkanlah ia dan persembahkanlah
hanya kepada Allah semata. Sudah terlalu banyak air mata yang tumpah sia-sia
kerana dunia. Kini biar la ia tumpah di medan perjuangan ini, bukan kerana
sedih atau berputus asa, tetapi kerana mendamba kasih dan Rahmat Ilahi dan
cinta baginda, Muhammad SAW.
Sungguh besar nilai sebuah tangisan untuk Ilahi itu, umpama
besarnya seperti darah syuhada' dan dakwat para ilmuan. Tangisan yang lahir
dari hati yang mendambakan Allah bukan mudah untuk datang. Maka, ku syukuri
setiap ujian yang menduga kerana dengan ujian itulah hati yang keras menjadi
lembut. Hanya dengan ujianlah membawa hati lebih ingat kepada tuhanku dan hanya
dengan ujian hati ini sentiasa tenang dalam rahmatNya.
"Ya Allah anugerahkanlah aku sebuah tangisan yang lahir
atas cintaku hanya pada-Mu, sungguh aku rindu pada tangisan menghadap-Mu"
No comments:
Post a Comment