Moga Ada Ruang Buatku

Wednesday, 1 January 2014

Kisah Tentang Bintang




Dia sangat merinduiku
Ketika aku muncul menghiasi langit
Dia tersenyum merenungku
Di antara beribu bintang
Aku menjadi temannya


Dia berkata..
Ya ALLAH izinkan bintang yang satu itu menjadi temanku
Yang sentiasa menghiburkan dengan kerlipan
Yang sentiasa menerangi cahaya kegembiraan

Pada suatu ketika
Aku tidak muncul menemani malamnya
Aku berselindung di balik awan nan hitam
Sedang Allah memberi sang hujan untuk menyirami bumi

Aku melihat di celah-celah awan hitam
Dia sedih , melihat hujan dan awan hitam
Dia mencari-cari ku di semua sudut langit
Aku melihat dia sunyi…
Suram dalam sepi
Seolah-olah tidak senang dengan sang hujan

Dia berkata
Ya ALLAH munculkan bintang yang satu itu
Jika dia bersembunyi di balik awan hitam
Alihkanlah agar mudah ku memandang
Jika hujan penyebab cahaya bintang padam
Hentikan hujan agar dapat terus ku melihat sinar cahayanya

Jika aku bisa berkata-kata
Aku ingin berkata kepadanya
Wahai temanku
Aku juga merindumu
Tapi malam ini bukan milik ku
Allah yang mengaturnya

Kadang kala…
Allah tidak memberikan bintang menemani mu
Tapi Dia mengantikan dengan yang lain
Lebih baik dari bintang iaitu hujan
Yang bisa memberikan kesejukan di jiwamu
Juga Membasahi kemarahan dan egoanya mu,
Cubalah menjadi temannya.

Jika suatu saat aku tidak muncul lagi…
Jangan pernah engkau menyalahkan takdir ini
Percayalah semuanya sudah di atur oleh Ilahi
Segala apa yang diberikan pada mu ALLAH Lebih mengetahui.
Dan itu jualah yang terbaik buat diri

Tuesday, 25 June 2013

Perjalananku



Akhir-akhir ni aku kerap bermusafir, bukan pergi ke luar, tapi perjalanan ke dalam diri ku sendiri. Aku meneroka hidup yang aku jalani sejak aku dilahirkan, hingga usia mencecah 22 tahun ni. Dan akhirnya, satu soalan aku timbulkan pada diri sendiri, KENAPA? Kenapa aku melakukan semua yang pernah aku lakukan sepanjang aku hidup ini?


Berkali-kali Allah berikan petunjuk untuk aku dekat pada-Nya. Untuk menyintai Allah dengan sebenar-benar cinta, mengutamakan pandangan Dia melebihi pandangan hamba-hambaNya. Bukan sekadar pandai mengungkapkan “aku cinta Allah” namun perlakuan menidakkan kata-kata.

Berkali-kali aku cuba bangkit, bangkit untuk hidup dalam landasan Islam dari segi apa pun. Perbuatan, percakapan, pakaian, cinta, luaran, dalaman, semua… Berkali-kali. Namun untuk berubah tidak mudah seperti mengungkapnya. Aku kerap kali jatuh dan terbangun.

Saat hawa nafsu menguasai, aku rebah. Namun bila iman jadi sandaran, aku kuat. Aku tetap cuba dan terus mencuba. Bermain dengan emosi, melawan diri sendiri. Hingga terkadang timbul perasaan sangsi, masihkah Allah mendengar rintihan ku ini? Sedangkan kerap kali aku datang dan pergi daripada-Nya.

Ampunkan aku ya Rabb.

Tiada duka yang abadi di dunia,
Tiada sepi merantaimu selamanya..
Malam kan berakhir, hari kan berganti,
Takdir hidup kan dijalani..
Tangis dan tawa nyanyian yang mengiringi,
Hati yang rindu tanda cinta di jalan-Nya,
Namun ku percaya hati meyakini,
Semua akan indah pada akhirnya..
Andai bisa ku mengulang waktu hilang dan terbuang,
Andai bisa perbaiki segala yang terjadi..
Tapi waktu tak berhenti,
Tapi detik tak kembali,
Harap ampunkan hamba-Mu ini.. 




Akhirnya aku mendapat jawapan pada persoalan ku. Kerna itu fitrah manusia. Fitrah manusia yang tidak akan pernah lekang daripada melakukan kesilapan, fitrah manusia yang sentiasa ingin menyayangi dan disayangi hingga terkadang melebihi kasih sayangnya pada Pencipta kita sendiri, fitrah manusia yang memang tidak akan pernah sempurna. Ya, tidak akan pernah sempurna. Itulah jawapannya.

Namun, sesekali tidak akan aku jadikan ‘fitrah’ itu sebagai modal untuk aku melakukan kesalahan. Malah itulah kekuatan ku kini untuk aku kembali kepada-Nya. Kerna aku hanya manusia biasa, fitrah ku yang penuh dengan kelemahan dan ketidaksempurnaan yang memerlukan Pencipta ku untuk sentiasa membimbing ‘jalan’ ini.

Ya, fitrah ini sangat memerlukanMu ya Allah…


Alhamdulillah, kini hati ini makin menyakini-Nya detik demi detik. Makin banyak bermuhasabah diri. Makin sedar bahawa hidup ini hanyalah suatu perjalanan yang singkat. Makin mengerti ujian itu tanda Dia menyayangi kita. Makin ikhlas dalam menerima takdir-Nya. Makin meghargai segala nikmat yang Engkau kurniakan. Makin melepaskan cinta pada manusia demi mencari redha-Nya. Makin yakin Allah lah Perancang yang terbaik buat diri ini. Makin berpegang teguh pada tali ALLAH. Dengan satu kepercayaan yang pasti, bermujahadah itu pahit, namun penghujungnya terdapat kemanisan yang tak tercapai oleh akal. Hanya akan dapat merasainya dengan hati yang disulami iman yang tulus kepadaMu ya Rabbi. InsyaAllah.

Wahai Pemegang hati-hati kami,

” Izinkan hari ini aku bahagia ya Allah, bebas bahagia saat kembali pada fitrah ku sebagai hamba ciptaan-Mu. Ya Rahman ya Rahim, sungguhku takut aku kan jauh dari-Mu. Walaupun aku mengaku beriman kepada-Mu, namun sesungguhnya dalam diri ku yang terdalam ku sedar masih belum mengenali-Mu, aku tahu aku masih jauh dari-Mu ya Allah. Ampunkan hamba-Mu ini. Berikan lah kekuatan pada ku di sepanjang perjalanan ku menuju-Mu. Tetapkanlah aku hanya pada jalan-Mu, jalan yang benar-benar Engkau redhai. Genggamlah hatiku, lindungiku dari putus asa kepada-Mu. “


Amin, amin, amin ya Rabbal alamin.

Monday, 24 June 2013

Saat Cinta Bermonolog



Dia merenung dalam bait tinta yang ditangkap lensa miliknya. Sepasang mata yang bening itu bergerak-gerak kiri ke kanan. Dia cuba untuk memahami kata-kata itu.

“Cinta bukan tujuan, tapi hanyalah jalan. Cinta itu bukan matlamat, tapi hanyalah alat…”

Dahinya dikerutkan. Keningnya dirapatkan. Tanda dirinya sedang memikirkan sesuatu yang mengusik perasaan.

“Cinta bukan tujuan. Tapi jalan. Cinta bukan matlamat. Tapi alat..” Bait tinta itu bergema dalam sanubarinya.

“Apa ertinya?” Dia bermonolog.

Lama dia merenung. Sesekali, dia menghantar pandangan ke luar jendela. Dia menatap ke arah langit. Cerah. Subhanallah, indah ciptaan-Mu – Burung-burung berkicauan, tanda bertasbih kepada-Nya. Sang unggas bernyanyi riang, tanda memuji kepada-Nya. Segala yang ada di langit mahupun di bumi sujud pada keEsaan-Nya. Dalam asyik dia merenung keindahan ciptaan Tuhan, ada sesuatu yang mengusik kalbunya.


Cinta. Ya. Dia tahu dia masih muda remaja. Dia tahu masih banyak tanggungjawab yang harus digalasnya. Dia tahu masih banyak impian yang belum diraihnya. Dia tahu, mak dan ayahnya mengharapkan sesuatu daripadanya. Dia tahu perjalanan hidupnya baru bermula. Dia tahu dia tidak seharusnya leka dalam cinta dunia. Dia tahu dan dia mengerti segala-galanya. Namun, entah mengapa setiap kali dia cuba mengusir satu rasa yang bertamu di dada, tiap kali juga dia kalah melawan perasaannya.

Ya Allah, begitu kuat rasa itu hadir ke dalam kalbunya.

Apa yang perlu dia lakukan? Langkah apa yang perlu dia aturkan? Strategi apa yang perlu dia rencanakan?

Segala-galanya kelihatan suram. Segala-galanya kelihatan tidak berjalan. Hatinya kembali rawan. Mengapa dirinya tidak mampu melawan? Mengapa perasaannya seringkali kecundang? Mengapa hatinya seringkali bermusuhan dengan apa yang dia fikirkan? Hati dan akalnya tidak sehaluan.
Dia tidak mahu lemas dalam dakapan cinta yang melekakan. Dia hanya mahu lemas dalam dakapan cinta Tuhan. Tapi, makin kuat dia mencuba, makin kuat pula dia diduga.




Dia tahu, dia harus kuat menghadapinya. Dia tahu, dia harus melawan rasa cinta yang bertamu dalam hatinya. Dia tahu, dia harus mengusir rasa cinta pada manusia. Mengusir cinta bukan bererti membenci. Tetapi lebih kepada menjaga jarak antara dirinya dan dia. Hatinya cuma ada satu. Dia tahu, sakit rasanya apabila terluka. Pedih rasanya apabila kecewa. Pasti, dia akan berduka. Lalu, amanah yang dipertanggungjawabkan ke atasnya akan terbang dan hilang entah ke mana.

Dia harus memilih. Ya. Memilih sama ada dia mahu terus berfantasi atau menjejak realiti? Mahu terus berada dalam mimpi atau mahu menjejak bumi? Dia sedar. Cinta manusia itu adalah sesuatu yang tidak pasti. Cinta yang hakiki adalah berpaksikan pada DIA Sang Ilahi.

Dia juga sedar, kehidupan kini penuh dengan ujian Ilahi. Jika iman tidak terus diasah, maka dia akan tersungkur rebah. Jika akidah tidak terus dipelihara, maka dia akan terus bergelumang dengan dosa. Jika ilmu-Nya tidak terus diteroka, maka dia akan terus terleka dalam arus dunia. Dia juga sedar. Perjalanannya masih jauh. Banyak lagi yang harus ditempuh. Jika ujian sebegini dia tidak mampu menempuh, apatah lagi ujian lain yang mewajibkan imannya untuk terus teguh.

Dia nekad. Segala rasa cinta yang hadir sebelum waktunya perlu segera diusir. Bimbang pula hatinya akan terus terusik. Kini dia memegang pada satu prinsip!

“Cinta itu fitrah. Ilmu itu amanah. Iman itu perlu diasah. Maksiat itu perlu dicegah!”


Ashadu Anla Ilahailallah Wa Ash Hadu Anna Muhammad Rasulullah. Hanya padaMu Tuhan, aku berserah…

Friday, 21 June 2013

Coretan Buat Si Ayah



Beratnya untuk melepaskan dia pergi. Selama ini, tangan ini yang membelainya. Selama ini, hati ini yang selalu bimbangkannya.

Sejak suara tangisnya yang pertama, sejak ku laungkan azan di telinganya, aku begitu mengasihinya. Ya, dia adalah permata hatiku. Namun, dia bukan selamanya milikku….


Rumah ini, cuma persinggahan dalam perjalanannya menuju kedewasaan. Dan kini sudah hampir masanya kau pamit. Walaupun di hatiku tercalar sedikit rasa pahit, tapi siapalah aku yang boleh menahan perjalanan waktu? Siapakah aku untuk menahan realiti kedewasaan? Maafkan aku wahai anak….

Bukan aku tidak tega, tetapi kerana terlalu cinta!

Hatiku tertanya-tanya, apakah ada insan lain yang boleh menjaganya sepenuh hati. Sejak bertatih, aku melihat jatuh bangunnya tanpa rasa letih. Siapakah yang membalut luka hatinya dalam kembara itu nanti?

Aku jauh……bila segalanya bertukar tangan, amanah akan diserahkan. Aku tahu saat itu aku mesti mula melepaskan. Itu satu hakikat.

Cinta bukan bereti mengikat… tetapi melepaskan, membebaskan.

Kau umpama anak burung yang telah bersayap, telah mampu terbang membelah awan, meninggalkan sarang. Apakah aku terlalu dungu untuk terus membelenggu?

Putera dan Puteriku… kau terpaksa ku lepaskan…. Apakah si dia mampu menyayanginya seperti aku? Ah, mengapa rasa curiga ini datang bertandang. Bukankah segalanya telah di putuskan sejak dia membisikkan bahawa hatinya telah diserahkan kepada ‘si dia’- lelaki dan perempuan pilihannya? Bukankah segala perbincangan musim lalu telah terungkai dan keputusannya telah dimeterai?

Namun… hati ayah…. Hati seorang bapa… pasti ada gundah. Sudah pasrah, tapi diguris goyah. Bolak-balik hati ini wahai anak…terlalu laju untuk dipaku.

Tepatkah plihanmu? Tepatkah keputusanku? Namun siapakah kita yang boleh membaca masa depan? Layakkah kita mengukur kesudahan di batas permulaan?

Sangka baik jadi penawar. Kau anak yang baik, insyaAllah pilihanmu juga baik. Tuhan tidak akan mengecewakanmu. Jodohmu telah ditentukan. Dan ketentuan Allah itu pasti ada kebaikan!

Kekadang, aku diserbu seribu pertanyaan. Apakah aku masih di hatinya setelah dia bersuami dan beristeri nanti? Atau aku hanya akan menjadi tugu kenangan yang dijengah sekali-sekala?

Bukan, bukan aku membangkit, jauh sekali mengungkit…upayaku mendidikmu bukan suatu jasa. Itu hanya satu amanah.

Namun, ketika usia menjangkau senja, aku pasti semakin sepi……aku akan mengulang-ulang kisah lama yang penuh nostalgia. Diulit oleh kenangan indah musim lalu, ketika dia begitu manja di sisi. Aku ingin mendengar lagi suaranya yang dulu-dulu. Mengadu tentang ini dan itu. Bercerita dan berkisah, dengan lidahmu yang petah dan lagak yang penuh keletah.

Pergilah. Aku rela. Allah bersamamu.

Doaku mengiringi setiap langkah di alam rumah tanggamu nanti. Moga si dia akan menjaganya seperti aku menjaga ibunya, umminya.

Aku akan bersangka baik. Justeru Allah itu menurut sangkaan hamba-hamba-Nya. Aku bersangka baik, insyaAllah, dia dan aku akan mendapat yang terbaik..


 Aku cuba meletakkan diriku disituasi ayahdaku tercinta, seorang ayah yang tak pernah melarang aku dan adik-adiku bergiat aktif dalam dakwah kami, dia berjaya membesarkan 7 orang anaknya, 4 dari kami sering saja terlibat dengan program-program dakwah di luar sana, hebatnya dirimu ayahku kau tak pernah bosan mendengar cerita-cerita kami di medan itu. Walaupun agamanya tak setanding orang lain, namun dia tak pernah lupa siapa dirinya. Acap kali sebelum tidur bibirnya berzikir memuji ALLAH.. Pak? Diri ini menyayangimu, selamanya, terima kasih mendidik kami, dan terima kasih menjaga mamak dengan baik.. Coretan ini buatmu ayahdaku

Apa Yang Kau Cari?


Apa yang kau cari
Dalam mimpi penuh ilusi
Dalam jiwa tanpa gusar
Tanya hati kemana pergi
Kerna jalan penuh liku dalam cabaran
  
Apa yang kau cari
Untuk subuh yang mungkin terakhir kali
Tenangkan hati pergi hadapi Ilahi
Semurni hati jiwa mungkin tercarik lagi
Tenanglah diri kuat tepis godaan ini

Untuk apa-apa yang kau cari
Benarkah itu yang kau kejari
Tipu daya iblis hanya jambatan rapuh bertahtakan intan
Kenali diri melalui perkenalan dengan Ilahi
Agar kau bisa mandiri
Agar kau teguh berdiri

Sembunyikan dukamu dalam senyum manis wajahmu
Kerna apa yang kau cari bukan untuk kau kesali
Apa yang kau cari itu untukmu di sana nanti
Sebagai pelindung dalam dakapan kasih Ilahi

Kejarlah apa yang kau cari.. Simpan Allah dalam diri, capai impian tegakkan agama ini,
Andai aku pergi, coretan si pengemudi menjadi saksi
Peninggalan tulisanku selama ini..

Aku rindukan ISLAM tertegak seperti dahulu,
Sebab itu aku terus di sini, berdiri di sini dan bertemu insan-insan mesteri
Yang akhirnya aku rasa manisnya ukuwah kami
AllahuRobbi.....

Antara Dua Pilihan??


Antara topik yang sering dikongsikan adalah – membuat pilihan tentang jodoh.

Pilihan itu terasa lebih sukar kerana kedua-dua calon itu kelihatan baik dan punya kelebihan masing-masing.

Juga diketahui ada kelemahan masing-masing, yang membuatkan kita amat berhati-hati bercampur bimbang membuat pilihan.

Teman-teman dan adik-adik yang dikasihi, ambillah masa yang sewajarnya untuk ta’aruf dan bangunkan komunikasi samada secara direct atau melalui orang tengah.

Adalah penting usaha kita sebagai seorang insan untuk merisik, menyiasat, menyoal selidik dan segala bentuk pencarian maklumat dan latar belakang insan yang kita cenderung menerimanya sebagai teman hidup.

Bukan mencari kesempurnaan, bukan menyelongkar keaiban insan lain – namun penyiasatan dan pemerhatian kita kepada bakal pendamping adalah persediaan penting.

Ia menjadi pembuka mata untuk kita membina rumahtangga dengan lapang dada dan bersedia dengan kemungkinan yang tiba.

Sebaiknya penyelidikan kita itu, kita musyawarahkan dengan ibu dan ayah atau orang-orang yang amanah serta berilmu. Kita bukan meminta orang lain membuat keputusan, namun pandangan mereka akan menjadi extra ’mata’ dan ‘telinga’ untuk kita memilih teman hidup dengan teliti.


Jika kelak kita telah membuat keputusan memilih samada si A atau si B, ada perkara-perkara penting pula untuk DIRI KITA sendiri fokus dan lakukan.

Usah bermain-main dengan keraguan perasaan…

Akankah lelaki ini kelak membahagiakan diriku?

Adakah lelaki ini akan menjadi pemimpin yang baik untukku?

Akan tulus ikhlaskah cinta kasihnya padaku?

Adakah lelaki ini kelak akan menghormati dan menghargaiku sebagai seorang isteri?

Bagaimana kelak dia akan melayaniku sebagai isteri, akan santun dan baikkah pekertinya?

Adakah kelak lelaki ini akan boleh menyesuaikan diri dan berbuat baik dengan ahli keluargaku?

Adakah hati ini akan bahagia menjadi isteri kedua, terlibat dengan poligami?

Sesungguhnya persoalan-persoalan ini adalah penting bukan untuk si dia bakal suami, tapi manfaatkanlah persoalan ini untuk perbaikan diri kita dalam menjadi seorang isteri.

Jika jawapannya tidak seperti yang kita jangkakan dan harapkan, bila-bila masa sahaja alam pernikahan akan mengundang kecewa dan gundah berpanjangan.

Sebaliknya, marilah bertanya pada diri…

Wahai diri, adakah keperibadian seperti diri ku ini kelak akan membahagiakan hati seorang suami?

Adakah karakter diriku ini membuatkan suamiku tenang dan senang dengan diriku sebagai orang/ isteri yang dipimpin?

Mampuku diriku tulus mencintai suami kerana Allah, bersabar dan berhikmah dengan seribu satu kelemahannya?

Mampukah kelak diriku menghormati keputusan dan tindakan suamiku sebagai pemimpin, walau ia berbeza dengan kehendak dan rasa hatiku?

Mampukah diriku menjadi isteri yang merasa cukup (qanaah) dan menghargai pemberian dan kebaikan suami setulusnya?

Kelak adakah diriku mampu untuk memilih akhlak seorang isteri yang penuh ketaqwaan sewaktu hati dicuit ketidakpuasan dan kemarahan jua kesedihan?

Harus bagaimana nanti untukku menyesuaikan diri jika ibu bapa mertua dan ipar duai tidak serasi cara hidup dan pemikiran mereka denganku?

Seandainya diriku menjadi isteri kedua atau ketiga, apakah sumbangan dan perananku untuk menambah kebahagiaan suami dan keluarganya yang sedia ada?

Nah.. ayuh kita bersama menjawab persoalan ini, dan mengubah diri menjadi lebih baik.

Ya, kita takut tersalah pilih dalam membuat keputusan untuk pernikahan,namun percayalah Allah bersama-sama dengan orang yang melakukan kebaikan, yang sentiasa melakukan perubahan ke arah kebaikan.

Sikap, karakter diri, dan penghayatan Islam pada diri kita sendiri insya-Allah kelak akan bawa pengaruh yang besar pada suami dan rumahtangga.




Saat ini, berusahalah memilih calon suami yang beriman, usah keterlaluan memikirkan masa depan yang kita tak ada kawalan.

Isteri yang baik, tidak semestinya memiliki suami yang baik, kerana pernikahan adalah ruang ujian, teman hidup kita boleh saja menjadi ujian getir dalam hidup yang sebentar ini.


Suami akan berubah – cepat atau lambat, namun moga sifat dan sikap kita yang penuh nilai-nilai kebaikan mampu menjemput suami dan anak anak berubah kepada jalan yang dicintai tuhan.

Moga perkongsian ini memberikan makna pada yang membaca ^_^

Thursday, 20 June 2013

Mengenalimu Memberikan Aku Satu Makna



 Dari sebuah pulau di teruskan ke sebuah daerah pekan kecil. Mengenali seorang hambah Allah pelanduk dua serupa itu mengejutkan aku dari sebuah kemewahan duniawi yang aku miliki. Perjalanan hidupnya yang penuh liku dan onak duri mengimbaukan aku tentang sebuah sejarah hidup keluargaku yang lalu. Pada mataku perjalanan cerita kami sama namun ceritanya berbeza. Bila dia menceritakan tentang keluarganya air mata kesedaran seorang hambah berhati insani mula menitis, fikiranku terus membayangkan keadaan itu, benarlah apa yang di sebut dalam Al-Quran

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
(Surah Al-Baqarah ayat 286)

 Hebat jiwa-jiwa insan seperti itu, aku mula kagum dengan keperibadiannya. Aku mula belajar dari satu sudut yang aku lihat terselit seribu satu hikmah didalamnya. Hebat tarbiah Allah pada dirinya, selama ini aku menyangka bahawa keperihtan hidup yang aku lalui ini hanya aku sahaja merasainya, rupanya ada lagi ujian yang hebat Allah turunkan pada orang lain. Aku mula jadikan ayat-ayat Allah sebagai muhasabah pada diriku, terkenang satu ayat Al-Quran yang menyebut

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yg beriman." 
(Surah Al-Imran ayat 139)

Allahuakhbar.. Maha suci Allah. Dia mula kehilangan kasih sayang seorang ibu saat usianya masih muda untuk menerima cabaran hidup yang sebenar. Saat ujian hidup sudah bertandang di usia itu siapa kita mahu menidakkan takdirNya. Allah sayang dia, Allah suka mendengar keluhan hatinya, saat titisan air matanya mengalir Allah mengangkat darjatnya, para malaikat kagum akan sifat sabar yang dia miliki.

 Saat orang lain merasai kemewahan dia hanya merasai kepayahan, di sebuah rumah yang memerlukan pembantu rumah untuk membersihkannya, dia mengisi kekosongan itu demi mencari secicip rezeki untuk membantu ayahnya membesarkan adik-adiknya yang lain selain untuk keperluannya. Kepayahan keluarganya mengajar dia erti hidup, kesusahan keluarganya membuat dia sentiasa bersederhana. Itulah hambah ALLAH yang aku kenal dalam hidupku. Jika dinilai baginya tiada apa-apa mampu aku banggakan namun kesungguhannya membuka mataku dan membuat aku terpegun dengan kegigihan yang dia miliki. Dari sebuah mimpi ngeri dia bangkit membela keluarganya, kesusahan itu tidak sama sekali menjauhkan dirinya dari ALLAH namun mendekatkannya pada yang memberikan ujian hidup ini.



 Kisahnya sama dengan kisah hidup mak dan ayahku satu masa dahulu. Mamaku hidup  dalam dunia keprihtan, dia seorang kakak terpaksa membesarkan  dua orang adik-adiknya di samping ibu tirinya menjadi episot cerita hidup mereka semakin mencabar. Ayahku pula lahir dalam sebuah keluarga yang besar namun hanya dia sahaja yang diharapkan oleh mak dan ayahnya bagi menyara adik-adik dan abang-abangnya, ayahku dari seorang pengilap kasut di lorong kaki jalan akhirnya saat ini duduk di sebuah bilik lengkap dengan meja dan penghawa dingin. Ayahku berusaha membuktikan bahawa dia mampu membela keluarganya yang hidup dalam sebuah rumah beratapkan daun nipah yang diayam rapi oleh nenekku.

 Allahurobbi menitis pula air mata saat tangan ini rancak membicarakan kehidupan keluargaku dan aku cuba menyelami dunia keluarganya. Ya ALLAH engkau sebaik baik perancang saat kami insan yang lemah ini mengatur perjalanan hidup kami, Maha suci engkau Ya ALLAH, Engkau membuka mataku saat aku sentiasa memandang manusia ini sama merasai kesenangan tanpa aku fikir ada insan lain di sana Engkau turunkan ujian hidup padanya kerana tanda kasih dan sayangmu pada mereka, moga Engkau tempatkan dia, keluarganya dan ibu tersayangnya di dalam rahmatMu Ya ALLAH…..




Bertali arus dugaan tiba
Menakung sebak airmata
Namun tak pernah pun setitis
Gugur berderai di pipi

Tidak ditempah hidup sengsara
Suratan nasib yang melanda
Menongkah badai bergelora
Diredah bersendirian

Bagaikan camar pulang senja
Patah sayapnya tetap terbang jua
Sekadar secicip rezeki
Buat yang sedang rindu menanti

Segenggam tabah dipertahankan
Buat bekalan di perjalanan
Kau bebat luka yang berdarah
Kau balut hati yang calar

Telah tertulis suratan nasibmu
Derita buatmu ada hikmahnya
Terlukis senyum di bibir lesu
Tak siapa tahu hatimu

Biarpun keruh air di hulu
Mungkinkah jernih di muara
Biarpun jenuh hidup dipalu
Pasti bertemu tenangnya