Moga Ada Ruang Buatku

Saturday 18 August 2012

Kisah Tentang Cinta


Buta Cinta: Sesat Di Dunia, Merana Di Akhirat



Di Sebuah Taman Kota Kosmopolitan 2001
Para pekerja yang sibuk membersihkan kawasan taman rekreasi gempar. Raungan bunyi ambulan begitu
mengejutkan ketika pagi yang masih terlalu awal ini. Kelihatan beberapa petugas paramedik begitu
sibuk memberi pertolongan kepada sepasang muda-mudi yang terperangkap di dalam sebuah kereta di
taman tersebut. Nahas bagi pasangan merpati dua sejoli itu, malaikat maut telah mencabut nyawa
mereka dalam keadaan yang sungguh tragik.


Apa yang terjadi sebenarnya?

Ternyata sepasang muda-mudi itu nekad membunuh diri dengan menutup saluran ekzos kereta dengan
keadaan enjin kereta masih terpasang. Akibatnya mereka mati dalam keadaan berpelukan dan saling
berciuman sehingga begitu sukar pihak bertanggung jawab memisahkan antara dua jasad tersebut.
Begitu
‘mengharukan’!. Didalam kereta tersebut ditemui selembar kertas yang telah mereka tanda
tangani. Antara kandungannya; tolong jangan pisahkan mayat kami dan terus dikebumikan bagi
membuktikan cinta abadi kami sehidup semati. Dan di bahagian akhir surat tersebut tercatat bahawa
mereka melakukan ini demi menyelamatkan cinta
‘sejati’ yang ‘suci’ ini kerana orang tua tidak
merestui hubungan cinta mereka. Astaghfirullah
…!


Di sebuah rumah di Jazirah Arab 1400 tahun yang lampau


Abdullah bin Abu Bakar RA baru saja melangsungkan pernikahan dengan Atikah binti Zaid, seorang
wanita cantik rupawan dan berbudi luhur. Dia seorang wanita berakhlak mulia, berfikiran cemerlang
dan berkedudukan tinggi. Sudah tentu Abdullah amat mencintai isteri yang sebegitu sempurna menurut
pandangan manusia.


Pada suatu hari, ayahnya Abu Bakar RA lalu di rumah Abdullah untuk pergi bersama-sama untuk solat
jemaah di masjid. Namun apabila beliau dapati anaknya sedang berbual-bual dengan Atikah dengan
lembut dan mesra, beliau membatalkan niatnya dan meneruskan perjalanan ke masjid.


Setelah selesai menunaikan solat Abu Bakar RA sekali lagi melalui jalan di rumah anaknya. Alangkah
kesalnya Abu Bakar RA apabila beliau dapati anaknya masih begurau senda dengan isterinya
sebagaimana sebelum beliau menunaikan solat di masjid. Lantas Abu Bakar RA segera memanggil
Abdullah, seterusnya bertanya :
“ Wahai Abdullah, adakah kamu solat berjemaah ?” Tanpa berhujah
panjang Abu Bakar berkata :
““Wahai Abdullah, Atikah telah melalaikan kamu dari kehidupan dan
pandangan hidup malah dia juga telah melengahkan kamu dari solat fardhu, ceraikanlah dia!

Demikianlah perintah Abu Bakar kepada Abdullah. Suatu perintah ketika Abu bakar dapati anaknya
mula melalaikan hak Allah. Ketika beliau dapati Abdullah mula sibuk dengan isterinya yang cantik.
Ketika beliau dapati Abdullah terpesona keindahan dunia sehingga menyebabkan semangat juangnya
semakin luntur.


Lalu bagaimana tanggapan Abdullah? Tanpa berdolak dalih apatah lagi cuba membunuh diri, Abdullah
terus menyahut perintah ayahandanya dan menceraikan isteri yang cantik dan amat dicintainya.
Subhanallah!!!


Dari dua petikan kisah di atas, marilah kita sama-sama merenung tentang hakikat dan bagaimana
cinta sejati , tulus dan suci itu sebenarnya. Sesungguhnya perjalanan hidup manusia akan sentiasa
dipenuhi dengan warna-warna cinta. Malah boleh kita ungkapkan bahawa kehadiran manusia di muka
bumi ini disebabkan Allah SWT mencampakkan suatu perasaan di dalam jiwa manusia, itulah CINTA.


Membicarakan tentang cinta ibarat menuras air lautan dalam yang kaya dengan pelbagai khazanah
alam. Tak kan pernah habis dan kita akan sentiasa menemui berjuta macam benda. Dari sekecil-kecil
ikan hingga ikan paus yang terbesar. Dari kerang sampai mutiara malah jika diizinkan Allah, kita
mungkin menemui bangkai kapal dan bangkai manusia!!!


Usia sejarah cinta seumur dengan sejarah manusia itu sendiri. Jika di suatu tempat ada 1000
manusia maka di situ ada 1000 kisah cinta. Dan jika di muka bumi ini ada lebih 5 million manusia,
maka sejumlah itu pulalah kisah cinta akan digelar.


Walau berapa banyak pun nuansa cinta yang menjelma menjadi sebuah syair, drama, filem, lagu dan
berbagai bentuk hasil seni lain, namun pada hakikatnya cinta itu hanya ada dua buah versi sahaja.
Versi cinta nafsu (syahwat) dan cinta Rabbani.


Yang menjadi persoalan sekarang adalah mampukah kita membezakan yang mana cinta syahwat dan mana
cinta Rabbani?


Derasnya arus ghazwul fikr (serangan pemikiran) dalam kesenian terutamanya, telah mampu membungkus
cinta syahwat sehingga ia tampil sebagai cinta
“suci” yang mesti diperjuangkan, dimenangkan dan
diraih seterusnya untuk dinikmati.


Manusia seakan lupa pada sejarah. Lupa pada kisah-kisah tragik yang berakhir di hujung pisau atau
dalam segelas
‘penawar’ rumpai. Mereka semua rela diseret dan dijeremuskan ke dalam lubang
neraka’ hanya untuk mengejar salah satu rasa dari sekian banyak rasa yang ada disudut hati
manusia, itulah cinta.


Cinta memiliki kekuatan luar biasa. Dan kekuatan cinta (the power of love) mampu menjadikan
manusia peribadi yang sangat nekad atau sangat taat. Nekad dalam konteks sangat berani dalam
melanggar peraturan-peraturan Allah seperti berkhalwat (berdua-duaan dengan bukan mahram),
berkasih-kasihan lelaki dan perempuan, berpegangan tangan, mempertontonkan adegan berahi percuma
di khalayak ramai apatah lagi dalam sembunyi. Atau jika cinta tak mendapat restu dari orang tua,
pasangan akan nekad, terus lari dari rumah atau berzina (na
’udzubillah min dzalik). Dan tidak
sedikit pula yang begitu nekad sanggup melakukan perbuatan yang dilaknat Allah iaitu membunuh diri
demi cinta.


Peribadi-peribadi nekad seperti ini menjadikan cinta sebagai tujuan bukan sebagai sarana mencapai
tujuan. Oleh itu tidak hairanlah jika kita temui pelbagai kelakuan aneh para pencari cinta yang
tak masuk akal. Sebab apa yang mereka tuju adalah suatu yang abstrak, tidak jelas dan bukan
perkara yang pokok. Mereka sibuk mencari dan mengertikan makna cinta sementara lalai terhadap Dzat
yang menganugerahkan cinta. Dzat yang menumbuh suburkan rasa cinta. Dzat yang memberikan kekuatan
cinta. Dzat yang paling layak dicintai, kerana Dia juga Empunya nikmat cinta. Allah Rabbul
Alamin.


Kisah tragik di awal tulisan ini memberikan gambaran jelas sikap manusia yang rela mengorbankan
diri demi sepotong cinta. Muda-mudi yang nekad bunuh diri dengan pelbagai cara ini pada dasarnya
belum mengenali hakikat cinta. Cinta yang mereka kenal selama ini adalah cinta yang ditunggangi
oleh nafsu syahwat. Dan joki penunggangnya adalah syaitan laknatulllah. Pada momen ini syaitan
berteriak keriangan sambil mengibar-ngibarkan bendera kemenangan kerana berhasil menjerumuskan
anak cucu Nabi Adam dalam neraka jahannan dengan dalih cinta yang begitu murah nilainya.


Sebuah kisah lain tentang tragedi cinta dan kebodohan manusia yang amat memalukan berlaku di
Dhaka. Menurut laporan berita salah satu akhbar ibu kota di negeri tersebut, seorang ayah dan
anaknya mati saling tikam menikam hanya kerana merebut cinta seorang gadis. Tragedi bermula
apabila si gadis tidak tahu bahawa dua lelaki yang sering menjadi teman asmaranya pada waktu yang
berbeza adalah ayah dan anak. Sampailah pada suatu saat mereka terserempak pada waktu yang sama.
Maka tragedi pun bermula. Kedua-duanya sangat marah sehingga membawa kepada pertengkaran dan
akhirnya pergelutan dan perkelahian yang berakhir dengan si ayah mati akibat tertusuk di perutnya.
Namun sebelum rebah ia berjaya menancapkan belati di jantung anaknya. Matilah keduanya. Dan
pastilah neraka tempat kembalinya.


Itulah tragedi cinta. Cinta memang tak kenal warna. Cinta tak kenal baik-buruk. Cinta tak kenal
rupa dan pertalian darah. Memang begitulah adanya. Kerana yang mampu mengenal warna dan baik-buruk
adalah pelaku-pelaku cinta yang menggunakan akal fikirannya.


Sebaliknya cinta juga mampu melahirkan peribadi-peribadi yang mengagumkan. Peribadi yang tak takut
kehilangan suatu apa pun walau ia amat cinta pada sesuatu. Namun kerana cinta yang hadir dipenuhi
dengan nuansa keimanan, maka mereka rela mengorbankan apa saja yang mereka amat cintai demi
memperolehi keredhaan Dzat Pemberi cinta. Jiwa mereka tidak gundah gulana kerana kehilangan cinta
duniawi kerana Allah sebagai Dzat pemberi ketenteraman Peribadi-peribadi taat ini amat menyedari
bahawa cinta hanyalah sebagai sarana mencapai tujuan. Mereka yakin kenikmatan cinta tak ada
ertinya tanpa ada restu Allah sebagai Pemberi cinta. Maka yang mereka cari adalah redha dan cinta
Allah, bukan cinta yang bersifat sementara.


Kisah Abdullah putera Abu Bakar RA menjadi contoh kematangan pemuda yang mengenal erti cinta.
Bayangkan!! Dia memiliki isteri yang amat cantik, berakhlak mulia, berkedudukan tinggi dan
berharta. Namun apabila ayahandanya memerintahkan untuk menceraikan isterinya, dengan alasan
isterinya telah melalaikan Abdullah dalam menunaikan hak Allah seterusnya akan melengahkan
Abdullah berjihad di jalan Allah. Maka apa reaksi Abdullah? Tidak!! Abdullah tidak marah langsung
pada ayahnya. Atau berusaha mengambil pedang dan ingin memenggal kepala si ayah yang berusaha
memisahkan jalinan cinta yang memang sudah sah itu. Sekali lagi tidak!! Pemuda yang bernama
Abdullah melihat perintah itu dengan kacamata cinta yang diberikan Allah. Ia rela menceraikan
isteri yang dicintainya demi mempererat hubungan cinta dengan Allah. Subhanallah
… Masih adakah
pemuda-pemuda seperti peribadi Abdullah di zaman globalisasi kini?


Begitulah cinta. Ia mampu melambungkan manusia pada derajat kemuliaan yang tak terhingga. Manakala
frekuensi atau gelombang cintanya juga sudah selari dengan frekuensi atau gelombang cinta yang
Allah kehendaki. Semuanya akan senada seirama. Tak ada dengung sumbang, tak ada nada ternoda.
Demikian indah dan asli irama cinta sejati

No comments:

Post a Comment