Moga Ada Ruang Buatku

Wednesday 29 August 2012

Penyakit EGO!


Bagi orang-orang yang Ego


Apabila seseorang manusia itu alim yakni banyak ilmu dan lebih 
dari orang lain samada ilmu dunia dan akhirat, dan apabila seorang 
itu berpangkat besar Atau bila seseorang itu otaknya lebih dari 
orang lain atau bila seseorang itu kaya atau keturunan mulia Dan 
ternama seperti raja, ulama, orang besar dan bila seseorang itu 
berkelulusan tinggi dan bila seseorang perempuan itu cantik dan 
bila seseorang lelaki itu gagah maka rasa tinggi diri, sombong, 
angkuh dan takabur hingaplah pada hatinya. Sedar atau tidak sedar, 
sengaja atau tidak sengaja.

Sebab apabila seseorang itu mampu, berkebolehan, berjaya,istimewa, 
lebih dari orang lain maka lenyaplah rasa kekurangan, kelemahan 
dan kehambaan diri kepada Allah SWT dari hati nuraninya.Maka ruang
yang kosong itu segera pula diisi oleh rasa hebat, rasa besar,rasa 
istimewa, rasa tuan bahkan rasa Tuhan.Maka apabila hati sudah jadi 
begitu meninggilah diri dengan yang lain,  memandang rendah sesama 
hamba Allah,jijiklah dia terhadap manusia yang lemah dan hina maka 
sombonglah ia , angkuh dan takaburlah ia.Samada secara sengaja dan 
dirancang ataupun bukan secara dirancang dan tidak disedari.

Sebab ada orang apabila tahu dia istimewa maka dia pun mengaturlah 
hidupnya sebagai orang yang istimewa dan berusahalah dia menjaga 
statusnya.Sebaliknya ada pula orang yang sedar keistimewaan dirinya 
tetapi kerana dia faham Islam maka tidaklah mahu ia membesar-
besarkan dirinya. Tapi oleh  kerana taqwanya lemah maka dia tidak 
dapat mengawal nafsu yang sudah rasa istimewa itu dari bertindak 
dengan perangai orang orang yang sombong dan takabur dan dia tidak 
mahu sebab dia tahu sikap itu dosanya besar tetapi dia tidak dapat 
melawan nafsunya. Maka termasuklah juga ia di dalam  senarai orang 
yang sombong, ego dan takabur.

Mazmumah yang sangat dibenci Allah ialah penyakit ego (sombong) 
sebab ego membawa implikasi yang sangat buruk.Iblis laknatullah 
kerana penyakit ego telah derhaka kepada Tuhan. Firman Allah:-

Terjemahannya: "Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para 
malaikat, sujudlah kamu kepada Adam maka sujudlah mereka kecuali 
iblis, ia enggan dan takabur dan ia termasuk golongan orang-orang 
kafir". (Surah Al-Baqarah : 34 )


Kerana merasa dirinya lebih istimewa daripada Adam,dia lebih mulia, 
lebih pandai, lebih senior dalam syurga maka sepatutnya dialah yg 
menjadi ketua dan orang lain sujud kepadanya. Tiba-tiba Allah 
meminta dia sujud pada Adam yang dipandang rendah itu hatinya
menolak dia lupa dia hamba Allah,keistimewaan itu pemberian Allah 
yang mana kalau Allah tarik kesemuanya kembalilah ia selaku hamba 
yang dhaif. Hatinya yang sudah dikuasai rasa hebat diri itu sudah 
cukup keras hingga dia tidak dapat sujud ketika Allah perintahkan
ia berbuat begitu. Sombongnya ia dan mendapat kemurkaan Allah lalu 
Allah menarik balik pinjamanNya pada Iblis lantas dihukum buang 
dari syurga ke satu tempat buangan yang susah dan hina iaitu 
di dunia ini.

Iblis sangat sombong sudah dihukum pun dia tidak mahu merendah 
diri juga bukannya dia minta ampun dengan Tuhan untuk sujud pada 
Adam malah dimintanya untuk menghasut dan menggoda manusia supaya 
manusia semua kufur  dengan Allah dan masuk neraka.

Pernah Iblis memberitahu Nabi Musa AS yang dia ingin bertaubat 
lantas Nabi Musa bertanya kepada Allah bagaimana caranya Iblis 
boleh bertaubat. Allah berfirman minta dia sujud di kubur Nabi 
Adam, mendengar itu dengan sombongnya Iblis bangun dan berkata. 
'waktu Adam hidup pun aku tidak sujud padanya inikan pula waktu 
dia sudah mati! tidak jadilah aku bertaubat kata Iblis. Begitu 
sekali kesombongan Iblis, dia cukup kenal Allah, sudah nampak api 
neraka namun kesombongannya membuatkan dia pandang kecil pada
Allah. Maka sekarang Iblis pun mengamuklah di tengah manusia untuk 
menjahanamkam anak cucu Nabi Adam agar semuanya masuk neraka 
bersamanya.

Beberapa ramai hari ini orang yang hatinya sudah jadi seperti hati 
Iblis. Merasa diri istimewa hingga memandang rendah pada orang 
lain, kalau ditegur melenting bahkan mencabar orang yang menegur 
hinggakan demi memuaskan hati sanggup melakukan dosa-dosa yang
boleh tercampak diri ke neraka. Allah berfirman dalam Hadis Qudsi:

"Kibir atau sombong itu selendangKu. Sesiapa yang memakai 
selendangKu nescaya dia tidak akan mencium bau syurga".

Itulah sombong namanya iaitu perangai Iblis, akhlak terkutuk dan 
siapa memilikinya maka nerakalah tempatnya.Rasulullah SAW dan para 
sahabat serta para ambia' & solehin (orang soleh) sangat tawadhuk
orangnya yakni merendah diri sesama manusia  Firman Allah dalam 
Al-Quran:

Terjemahannya: "Telah lahir Rasulullah di kalangan kamu, sangat 
susah dengan kesusahan kamu dan menginginkan keselamatan bagi kamu 
dan penyayang dengan orang-orang mukmin". (Surah At-Taubah:128)

Itulah hati orang yang tawadhuk yang rasa dirinya hamba Allah dan 
orang lain adalah saudara-saudaranya yang dikasihinya. Dia tidak 
merasa dirinya lebih dari orang lain walaupun dia telah diangkat 
oleh Allah menjadi kekasih Allah manusia paling mulia dan paling
tinggi pangkatnya, terkenal  namanya, luas pengaruhnya tetapi dia 
rasa dia hamba Allah seperti juga orang lain. Kalau dia tidak mahu 
susah orang lain pun tidak mahu susah, kalau dia tidak mahu 
dimalukan, dimarah, dicaci dan dihina orang lain pun begitu juga.

Kalau dia suka kepada keselamatan dan kebahgiaan maka orang lain 
pun turut demikian. Begitu dia menimbang perasaan orang sebab dia 
mengasihi orang lain seperti mana dia kasihkan dirinya. Hasilnya 
Rasulullah sangatlah menyayangi dan menghibur sahabat-sahabatnya 
dan seluruh orang-orang mukmin. Pada orang yang memusuhi beliau 
didoakan,"Wahai Tuhan berilah petunjuk kepada kaumku kerana mereka 
tidak mengetahui". Sebab itu Rasulullah boleh duduk dan bermesra 
dengan kasih sayang dengan orang-orang miskin dan orang-orang
kekurangan malah baginda memohon kepada Allah :

"Jadikanlah aku orang miskin, matikanlah aku dalam kemiskinan dan 
masukkanlah aku dalam syurga bersama-sama orang-orang miskin".
(Hadith Riwayat Tarmidzi)


Begitu hati Rasulullah dia tidak rasa yang dia istimewa dan hebat 
walaupun segala keistimewaan Allah limpahkan kepadanya, Sebab 
padanya keistimewaan itu semuanya hak Allah kerana itu baginda 
cukup hati-hati dengan nikmat itu malah dia takut ketika isterinya
Siti Aisyah Ummul Mukminin bertanya."kenapa tuan bersusah-payah 
begini sekali beribadah pada Allah hingga bengkak-bengkak kaki dan 
terjatuh-jatuh? bukankah tuan sudah dijamin selamat diakhirat 
bahkan disediakan syurga paling tinggi untuk tuan?".Lantas dijawab 
baginda,"terpulanglah pada Tuhan untuk buat atau beri  apa saja 
pada hamba-Nya ini, namun aku adalah hamba-Nya yang hina-dina, 
lemah dan kurang segala-galanya yang patu mengemis dan menyerah 
diri sepenuhnya pada Tuhanku itu".

Didalam kitab diriwayatkan suatu kisah bagaimana Alah bertanya 
kepada pesuruh-pesuruh-Nya:

 "Musa, engkau siapa?" Jawab Nabi Musa,"Ana Kalamullah".

 "Ibrahim, engkau siapa?"  Jawab Nabi Ibrahim,"Ana Khalilullah".

 "Isa, engkau siapa?" Jawab Nabi Isa, "Ana Rohullah".

Lalu Allah bertanya kepada Nabi kita,"Muhammad, engkau siapa?"
Jawablah Rasulullah dengan rendahnya."Ana yatim" terus Allah 
menyahut,"Engkau kekasihku, Habibullah". Orang yang merendah diri 
Allah angkat setinggi-tingginya. Rasulullah boleh makan sedulang
dan duduk sebelah-menyebelah bertindih lutut dengan orang dusun 
yang selekeh, hodoh, bodoh,berlendir-lendir, berdarah dan bernanah 
malah kudis di seluruh tubuhnya ketika orang itu berdiri di pintu
majlis makan baginda. Baginda bagaikan seorang ayah yang kasihnya 
lebih pada anaknya yang cacat dan lemah. Itulah Nabi kita yang 
patut kita contohi dan hayati agar benar-benar kita menjadi 
pengikutnya dan pewarisnya. Dan rupanya roh baginda yang terus 
hidup itu memandang kita dengan penuh kasih rindu dan supaya
disyafaatkan kita nanti di hari kiamat.

Abu Bakar habis harta bendanya dikorbankan untuk perjuangan Islam 
kemudian dia berkata,"Yang tinggal padaku hanyalah Allah dan Rasul 
dan aku merasa cukup dengan keduanya. Sayidina Umar yang keras dan
tegas melaksanakan hukum Allah berkata,"Sekiranya diberitahu 
bahawa  semua orang masuk syurga kecuali seorang maka aku rasa 
akulah yang seorang itu". Dia merasakan dialah yang paling banyak 
dosa sebab itu dia sangat merendahkan diri pada rakyatnya.  
Ditanggungnya guni gandum dibelakangnya dan dibawa kerumah seorang
janda bersama anak-anaknya yg ketiadaan makanan.Khadamnya meminta 
agar dialah yang menanggung guni gandum itu lantas dijawab Sayidina 
Umar."Bukan engkau yang akan menanggung beban tanggungjawab 
di akhirat nanti".

Kesombongan manusia hari ini jarang dimuktamarkan sedangkan itulah 
punca bagi segala krisis di dunia ini. Penyakit yang bahaya ini 
jika dibiarkan melanda dunia tanpa usaha untuk mengubatinya maka 
akan ranplah dunia ini nanti dikerjakan oleh manusia yang sudah
mengikut telunjuk dan sikap Iblis itu. Bila-bila masa saja Allah 
boleh hantar penyakit-penyakit bahaya pada kita bahkan bila-bila 
masa Allah boleh miskinkan kita jika Allah mahu. Sepatutnya kita 
takut dengan Allah, bila terbuat perangai sombong segeralah 
bertaubat jangan sampai Allah murka. Namrud yang kononnya hendak
lawan Allah, baru nyamuk masuk telinga terus kekepala bermain-main
di dalam otaknya itupun tewas terus mati masuk neraka. Firaun yang 
sombong mengaku dirinya Tuhan maka Allah belah lautan tenggelamlah 
ia mati dek air jadi bangkai yang tercampak.

Apalah dibanggakan kehebatan kita itu,dia tidak menyelamatkan kita 
malah mungkin kalau salah gayanya sebab nikmat itu boleh jatuh 
di dunia apalagi di akhirat jatuh neraka hidup menderita. Kitakan
dari setitis mani, air mani itu kan hina? kalau jatuh ke air itik 
pun tidak sudu di daratan  ayam pun tak patuk. Maka kalau kita 
mahu sedar diuntung patutnya kita selalu menghinakan diri kita dan 
merasa hina untuk Allah sehina air mani. Kemudian bermurah hati
dengan manusia, hiburkan manusia sebagaimana kita suka dihiburkan 
barulah orang suka dengan kita. Katakan selalu pada diri:"Wahai 
diri, engkau bagaikan sampah yang selau menyusahkan orang. Bila-
bila masa Allah boleh buangkan engkau ke dalam bakul sampah-Nya 
iaitu Neraka Jahannam". Dan selawatlah pada Nabi sebanyak
mungkin setiap masa sebagai ubat untuk melembutkan
hati.

"Tuhanku, aku tidaklah layak untuk syurgamu tetapi aku tidak pula 
sanggup menanggung siksa nerakamu oleh itu kurniakanlah keampunan 
kepadaku.....ampunkanlah dosaku bahawa sesungguhnya Engkaulah 
pengampun dosa-dosa besar".


No comments:

Post a Comment