Antara topik yang sering dikongsikan adalah – membuat
pilihan tentang jodoh.
Pilihan itu terasa lebih sukar kerana kedua-dua calon itu
kelihatan baik dan punya kelebihan masing-masing.
Juga diketahui ada kelemahan masing-masing, yang membuatkan
kita amat berhati-hati bercampur bimbang membuat pilihan.
Teman-teman dan adik-adik yang dikasihi, ambillah masa yang
sewajarnya untuk ta’aruf dan bangunkan komunikasi samada secara direct atau melalui
orang tengah.
Adalah penting usaha kita sebagai seorang insan untuk
merisik, menyiasat, menyoal selidik dan segala bentuk pencarian maklumat dan
latar belakang insan yang kita cenderung menerimanya sebagai teman hidup.
Bukan mencari kesempurnaan, bukan menyelongkar keaiban insan
lain – namun penyiasatan dan pemerhatian kita kepada bakal pendamping adalah
persediaan penting.
Ia menjadi pembuka mata untuk kita membina rumahtangga
dengan lapang dada dan bersedia dengan kemungkinan yang tiba.
Sebaiknya penyelidikan kita itu, kita musyawarahkan dengan
ibu dan ayah atau orang-orang yang amanah serta berilmu. Kita bukan meminta
orang lain membuat keputusan, namun pandangan mereka akan menjadi extra ’mata’
dan ‘telinga’ untuk kita memilih teman hidup dengan teliti.
Jika kelak kita telah membuat keputusan memilih samada si A
atau si B, ada perkara-perkara penting pula untuk DIRI KITA sendiri fokus dan
lakukan.
Usah bermain-main dengan keraguan perasaan…
Akankah lelaki ini kelak membahagiakan diriku?
Adakah lelaki ini akan menjadi pemimpin yang baik untukku?
Akan tulus ikhlaskah cinta kasihnya padaku?
Adakah lelaki ini kelak akan menghormati dan menghargaiku
sebagai seorang isteri?
Bagaimana kelak dia akan melayaniku sebagai isteri, akan
santun dan baikkah pekertinya?
Adakah kelak lelaki ini akan boleh menyesuaikan diri dan
berbuat baik dengan ahli keluargaku?
Adakah hati ini akan bahagia menjadi isteri kedua, terlibat
dengan poligami?
Sesungguhnya persoalan-persoalan ini adalah penting bukan
untuk si dia bakal suami, tapi manfaatkanlah persoalan ini untuk perbaikan diri
kita dalam menjadi seorang isteri.
Jika jawapannya tidak seperti yang kita jangkakan dan
harapkan, bila-bila masa sahaja alam pernikahan akan mengundang kecewa dan
gundah berpanjangan.
Sebaliknya, marilah bertanya pada diri…
Wahai diri, adakah keperibadian seperti diri ku ini kelak
akan membahagiakan hati seorang suami?
Adakah karakter diriku ini membuatkan suamiku tenang dan
senang dengan diriku sebagai orang/ isteri yang dipimpin?
Mampuku diriku tulus mencintai suami kerana Allah, bersabar
dan berhikmah dengan seribu satu kelemahannya?
Mampukah kelak diriku menghormati keputusan dan tindakan
suamiku sebagai pemimpin, walau ia berbeza dengan kehendak dan rasa hatiku?
Mampukah diriku menjadi isteri yang merasa cukup (qanaah)
dan menghargai pemberian dan kebaikan suami setulusnya?
Kelak adakah diriku mampu untuk memilih akhlak seorang
isteri yang penuh ketaqwaan sewaktu hati dicuit ketidakpuasan dan kemarahan jua
kesedihan?
Harus bagaimana nanti untukku menyesuaikan diri jika ibu
bapa mertua dan ipar duai tidak serasi cara hidup dan pemikiran mereka
denganku?
Seandainya diriku menjadi isteri kedua atau ketiga, apakah
sumbangan dan perananku untuk menambah kebahagiaan suami dan keluarganya yang
sedia ada?
Nah.. ayuh kita bersama menjawab persoalan ini, dan mengubah
diri menjadi lebih baik.
Ya, kita takut tersalah pilih dalam membuat keputusan untuk
pernikahan,namun percayalah Allah bersama-sama dengan orang yang melakukan
kebaikan, yang sentiasa melakukan perubahan ke arah kebaikan.
Sikap, karakter diri, dan penghayatan Islam pada diri kita
sendiri insya-Allah kelak akan bawa pengaruh yang besar pada suami dan
rumahtangga.
Saat ini, berusahalah memilih calon suami yang beriman, usah
keterlaluan memikirkan masa depan yang kita tak ada kawalan.
Isteri yang baik, tidak semestinya memiliki suami yang baik,
kerana pernikahan adalah ruang ujian, teman hidup kita boleh saja menjadi ujian
getir dalam hidup yang sebentar ini.
Suami akan berubah – cepat atau lambat, namun moga sifat dan
sikap kita yang penuh nilai-nilai kebaikan mampu menjemput suami dan anak anak
berubah kepada jalan yang dicintai tuhan.
Moga perkongsian ini memberikan makna pada yang membaca ^_^
No comments:
Post a Comment