Kadang-kadang hati sakit bila disindir, tapi itu adalah
lebih baik daripada bercakap di belakang, bila disindir menangis sebentar tapi
impak selepasnya amat besar. Perubahan diri yang ketara dan lebih baik dari
sebelumnya.
Belajarlah menerima sindiran walaupun sebenarnya tidak
begitu beradab menyindir orang. Semuanya kerana di atas paksi kebaikan dan
kemaslahatan yang lebih besar pada masa hadapan.
Aku bukanlah manusia yang sempurna. Mungkin pada zaman silam
aku pernah melukakan hati, mencabut rasa tenang. Mungkin kata-kataku sungguh
menyakitkan hati, tiada apa yang aku persembahkan melainkan huluran tangan
memohon seribu kemaafan. Maafkan aku bersama dengan doamu.
Aku menulis bukan untuk memberitahu diri ini baik.
Aku menulis hanya untuk memberitahu diri ini supaya menjadi
baik.
Bersama menginsafkan diri dalam mencari keredhaan Ilahi.
Ambil hati. Sakit hati. Pedih hati. Terasa hati. Bila
perasaan ini dibiarkan terlalu lama membengkak dalam hati, maka akan tidak
sihatlah hati itu. Pemiliknya pun akan muram, jauh dari keceriaan. Lebih parah
lagi, menjauhkan manusia dari Rabb-Nya.
Mengapa tidak untuk berhusnuzon, sedangkan itu lebih mulia.
Mengapa tidak memahami, sedangkan kita bersaudara.
Mengapa tidak bersikap positif, sedangkan ikhtilaf hati itu
padah jawabnya.
Mengapa tidak bersama dalam perjuangan ini,sedangkan
tanggungjawab kita adalah sama.
Mengapa tidak meluangkan masa bersama sedangkan, kita semua
adalah dai’e.
Positif menjadikan kita bersangka baik. Bersangka baik lebih
menenangkan hati. Orang hebat biasanya kerana dia hebat dalam hubungan dengan
Allah. Tapi ada juga yang hebat dunia sahaja, hubungan dengan Allah entah ke
mana. Dia tidak bersangka baik dengan Allah apatah lagi dengan makhluknya. Adab
dan akhlak dalam pengurusan hati masih lagi samar untuk diiktiraf sebagai
seorang dai’e.
Sekiranya semakin kita bijak, semakin jauh diri kita
daripada-Nya, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan diri. Jauhkanlah sifat
itu dari dalam diri.
Apa pun, jangan resah andai ada yang membenci. Andai ada
yang tidak berpuas hati. Andai ada yang tidak menyenangi. Kerana masih ramai
yang mencintai kita di dunia. Resahlah andai Allah membenci kerana tiada lagi
yang mencintai kita di akhirat.
Nabi SAW bersabda “Sesungguhnya Allah memberikan dunia
kepada siapa yang dicintai-Nya dan siapa yang tidak dicintai-Nya, tetapi Allah
tidak memberikan iman kecuali kepada siapa yang dicintai-Nya.”
No comments:
Post a Comment